PIDM

Lembaga Pengarah

Lembaga Pengarah

Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz
Ahli Lembaga Pengarah
 

 

Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia sejak Mei 2000 dan merupakan seorang daripada dua ahli ex officio Lembaga Pengarah. 

Di Bank Negara Malaysia, Dr. Zeti memainkan peranan penting dalam menangani dengan jayanya pemulihan sistem kewangan dan ekonomi Malaysia semasa Krisis Kewangan Asia. Beliau juga memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan dua pelan 10 tahun berturut-turut bagi pembangunan sistem kewangan yang membawa kepada pembaharuan kewangan menyeluruh dan kejayaan penggubalan lapan perundangan utama baharu bagi sektor kewangan. 

Dr. Zeti terlibat secara aktif dalam mengukuhkan kerjasama dan penyepaduan kewangan serantau di rantau Asia. Beliau mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif Pasukan Petugas Khas Bank-Bank Pusat Asia Pasifik Timur mengenai "Kerjasama Serantau dalam kalangan Bank-Bank Pusat di Asia" yang menyediakan laporan bagi kerjasama kewangan Bank Pusat pada masa hadapan yang masih berterusan hari ini. Beliau merupakan ahli pengasas Kumpulan Perundingan Asia bagi Asia untuk Bank for International Settlements (BIS) dan pengerusi bersama pertama Kumpulan Perundingan Serantau bagi Asia untuk Financial Stability Board (FSB). Dr. Zeti juga bergiat secara aktif dalam forum-forum antarabangsa. Beliau merupakan ahli Suruhanjaya Pakar Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pembaharuan Sistem Monetari dan Kewangan Antarabangsa pada tahun 2009, iaitu pasukan petugas khas peringkat tinggi untuk mengkaji reformasi dalam sistem kewangan antarabangsa dan ketika ini menjadi pengerusi BIS Central Bank Governance Group, yang telah dianggotai oleh beliau sejak tahun 2001. 

Dr. Zeti terus terlibat secara aktif dalam pembangunan kewangan Islam di peringkat antarabangsa. Ini termasuk menganggotai pasukan Gabenor yang menubuhkan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam dan Pengurusan Mudah Tunai Islam Antarabangsa. Beliau menerajui pasukan petugas yang menyediakan laporan mengenai “Islamic Finance: Global Financial Stability” yang mengenal pasti komponen-komponen binaan yang akan mengukuhkan lagi susunan institusional dalam sistem kewangan Islam. Di Malaysia, dekad baru-baru ini menyaksikan transformasi sistem kewangan Islam termasuk pengembangannya ke peringkat antarabangsa. Dr. Zeti juga memainkan peranan penting dalam pembangunan tenaga kerja dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.

Dr. Zeti menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya dan Ijazah Doktor Falsafah daripada University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.