Kuala Lumpur, 24 Jun 2009: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) akan berada di Kuching minggu depan sebagai sebahagian daripada program Capaian Korporat tahunannya untuk mendidik orang awam mengenai perlindungan penyimpan dan mengeratkan hubungannya dengan pemegang kepentingan di kalangan komuniti tempatan.
Program Capaian Korporat tahunan 2009 ini merupakan yang ketiga dianjurkan oleh PIDM untuk meningkatkan lagi kesedaran awam mengenai insurans deposit dan peranan PIDM sebagai penginsurans deposit nasional. Program Capaian Korporat PIDM sebelum ini diadakan di Pulau Pinang pada 2007 dan Kota Kinabalu tahun lepas.
“Kami sentiasa mencari peluang untuk berhubung dengan masyarakat tempatan menerusi inisiatif kesedaran awam berterusan kami. Program Capaian Korporat ini menyediakan peluang kepada kami untuk bertemu dengan komuniti tempatan dan mewujudkan kesedaran lebih besar mengenai peranan kami yang menyediakan perlindungan kepada penyimpan dan menggalakkan kestabilan sistem kewangan. Kami yakin penyimpan yang berpengetahuan dapat menyumbang kepada keyakinan awam yang lebih tinggi terhadap sistem kewangan,” kata Jean Pierre Sabourin, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan PIDM akan mengadakan taklimat media, beberapa siri mesyuarat serta taklimat awam percuma mengenai perlindungan pengguna kewangan yang efektif.
Taklimat awam itu merupakan acara utama dalam program Capaian Korporat tahunan PIDM. Selain PIDM, taklimat awam itu juga menampilkan penceramah daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Biro Pengantaraan Kewangan (FMB). Orang awam boleh mendapat manfaat daripada pelbagai topik yang dibicarakan termasuk perlindungan insurans deposit, perbankan, pengurusan kredit dan kaedah penyelesaian pertikaian kewangan.
“Kami mengalu-alukan orang awam untuk menyertai taklimat awam percuma ini. Ini merupakan satu daripada peluang yang mana agensi perlindungan pengguna kewangan utama bersama-sama menyediakan maklumat berkaitan hal ehwal kewangan kepada orang awam. Kami berharap dapat bertemu dan mendengar pandangan komuniti yang mendapat manfaat daripada peranan dan fungsi kami,” kata Sabourin.
Taklimat awam itu akan diadakan di Ballroom, Tingkat Lobi, Hilton Hotel Kuching, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuching pada Khamis, 2 Julai 2009, dari 8.30 pagi hingga 12.15 tengah hari. Orang awam yang berminat menghadiri taklimat itu perlu mendaftar lebih awal bagi mendapat tempat duduk.
Untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai taklimat awam itu, layari laman web www.pidm.gov.my atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-1266.
|
Untuk maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
S.Loganathan, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel : 03-2173 7455; Emel: loga@pidm.gov.my)
Sarina Ariffin, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7457; Emel: sarina@pidm.gov.my)
|
MENGENAI PIDM
PIDM mentadbir sistem insurans deposit berkanun di Malaysia yang menyediakan perlindungan – secara automatik – bagi semua deposit ringgit dan mata wang asing dengan bank perdagangan, bank Islam, bank pelaburan, bank Islam antarabangsa dan institusi kewangan pembangunan yang menerima deposit dan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia.
Untuk maklumat lanjut:
- Hubungi talian 1-800-88-1266 dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin – Jumaat (kecuali cuti umum)
- Emel: info@pidm.gov.my
- Layari: www.pidm.gov.my