Kuala Lumpur, 18 Oktober 2007: Kesedaran kewangan dan perlindungan pengguna menjadi tumpuan di dua acara yang dianjurkan oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), penginsurans deposit nasional, sebagai sebahagian daripada insiatif untuk memupuk celik kewangan dan menyumbang kepada keyakinan awam dalam sistem kewangan Malaysia.
PIDM akan melangsungkan Pameran Kewangan Malaysia 2007 (MYFex2007) terulung, bersempena dengan Persidangan Tahunan Ke-enam Persatuan Penginsurans Deposit Antarabangsa (International Association of Deposit Insurers - IADI) di Kuala Lumpur. MYFex2007 merupakan salah satu perhimpunan terbesar agensi-agensi perlindungan pengguna dan peserta-peserta pasaran pada tahun ini manakala Persidangan Tahunan merupakan satu acara kemuncak tahunan untuk anggota IADI berkongsi pengalaman dan kemahiran dalam mempertingkatkan amalan insurans deposit di serata dunia.
“Memupuk kesedaran mengenai insurans deposit adalah lebih bermakna dalam konteks pengetahuan kewangan yang menyeluruh. Walaupun objektif utama PIDM adalah mengenai kesedaran insurans deposit, MYFex2007 bertujuan sebagai satu pusat sehenti yang komprehensif untuk memberi peluang bagi orang ramai mendapat jawapan kepada persoalan kewangan mereka. Dengan penyertaan agensi-agensi perlindungan pengguna dan penyedia-penyedia perkhidmatan kewangan, orang ramai boleh mendapat akses kepada maklumat sedia ada mengenai hal kewangan yang melibatkan mereka,” menurut Jean Pierre Sabourin, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM dan Presiden IADI.
Selain PIDM, pempamer termasuk Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Biro Pengantaraan Kewangan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia, agensi tertentu di bawah Kementerian Kewangan, bank-bank perdagangan dan bank-bank Islam serta penyedia-penyedia pendidikan kewangan seperti International Centre for Leadership in Finance dan Institut Bank-Bank Malaysia. Satu siri taklimat awam dan peraduan “buruan maklumat” (infohunt) harian dengan hadiah menarik juga ditawarkan.
MYFex2007 akan berlangsung dari 30 Oktober hingga 4 November di Pusat Pameran Mid Valley, Mid Valley Megamall. Waktu pameran adalah di antara 11 pagi dan 8 malam setiap hari, kecuali 4 November (hingga 6 petang). Masuk percuma.
PIDM juga merupakan tuan rumah Persidangan Tahunan Ke-enam IADI dari 31 Oktober hingga 1 November 2007 di Kuala Lumpur. Persidangan tersebut, bertema “Insurans Deposit dan Perlindungan Pengguna”, akan menghimpunkan kira-kira 200 pengamal insurans deposit dan industri kewangan dari seluruh dunia dan juga wakil dari bank-bank dan agensi Kerajaan di Malaysia, untuk berkongsi dan membincangkan isu dan dasar berhubung dengan inisiatif perlindungan pengguna, kestabilan kewangan, urus tadbir korporat dan kesedaran awam. Satu sesi mengenai insurans deposit berunsurkan Syariah, yang diperjuangkan oleh Malaysia di peringkat antarabangsa, akan diadakan.
Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, akan menyampaikan ucap utama di Persidangan ini dan merasmikan MYFex2007. Pengucap-pengucap ternama di Persidangan ini termasuk Martin Gruenberg, Naib Pengerusi Federal Deposit Insurance Corporation, Amerika Syarikat; Usha Thorat, Timbalan Gabenor, Reserve Bank of India; Alexander Berg, Ketua Urus Tadbir Korporat di World Bank; Su Ning, Timbalan Gabenor, The People’s Bank of China; Datuk Seri Panglima Andrew Sheng, Ketua Penasihat kepada China Banking and Regulatory Commission; dan Dato’ Mohd. Razif Abdul Kadir, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia.
“Persidangan ini bertujuan untuk mengumpulkan pengalaman pengamal-pengamal antarabangsa dalam bidang insurans deposit, perbankan pusat dan pengawalseliaan perbankan serta peserta-peserta pasaran bagi mempertingkatkan keberkesanan insurans deposit di serata dunia, dan dengan itu, mengukuhkan kestabilan kewangan. Bagi pengawalselia, ia merupakan semakan realiti bagi dasar perlindungan pengguna dan kedudukan semasa. Bagi peserta-peserta pasaran, ini merupakan forum bagi mereka mengikuti perkembangan isu pengawalseliaan berkenaan dengan perlindungan pengguna yang melibatkan mereka. Ia memberikan perspektif yang menyeluruh dan kami menggalakkan peserta-peserta pasaran kewangan untuk menghadiri Persidangan ini,” Sabourin menjelaskan.
Peluang perniagaan dan hubungan kerja (networking) juga disediakan di Persidangan Tahunan ini, terutamanya semasa Wadah Pameran Negara Asia, iaitu forum untuk menggalakkan potensi pelaburan dalam sektor perkhidmatan kewangan negara-negara Asia terpilih pada 30 Oktober 2007 sebelum Persidangan utama. Negara-negara seperti Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam akan terlibat dan memberikan maklumat tentang dasar, inisiatif dan insentif masing-masing.
Maklumat lanjut mengenai Persidangan Tahunan IADI, butiran pendaftaran dan acara berkaitan boleh dimuat turun dari laman web PIDM di pautan ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini sila hubungi:
S. Loganathan,
Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7455)
Zeti Zahariah Zainul,
Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7457)