English  |  中文  |  தமிழ
 

Siaran Akhbar
Laman Utama > PIDM Dalam Berita > Siaran Akhbar
 
Cari Akhbar
Kata kunci carian:
 
Dari Hingga:
   
Susun mengikut:

Siaran Akhbar
 
Malaysia Mengambil Langkah-Langkah Awal Pencegahan
16/10/2008

Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan langkah-langkah untuk mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara. Langkah yang diambil ini sejajar dengan inisiatif serantau untuk memelihara keyakinan dalam sistem kewangan masing-masing.

Langkah-langkah ini merupakan langkah awal pencegahan memandangkan permodalan institusi kewangan Malaysia kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi, serta keyakinan pendeposit yang mantap.

Berikut ialah langkah-langkah yang sedang dilaksanakan dengan serta-merta:
  • semua deposit dalam ringgit dan mata wang asing dengan bank perdagangan, bank Islam dan bank pelaburan, serta institusi kewangan pembangunan yang menerima deposit dan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia, akan diberikan jaminan sepenuhnya oleh Kerajaan melalui Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga bulan Disember 2010. Jaminan ini diberikan kepada semua institusi perbankan domestik dan institusi perbankan asing yang diperbadankan di dalam negeri; dan
  • akses kepada kemudahan mudah tunai Bank Negara Malaysia akan juga diberikan kepada syarikat insurans dan pengendali takaful yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.
Memandangkan permodalan institusi perbankan Malaysia adalah kukuh dan teguh, besar kemungkinan jaminan ini tidak akan digunakan. Malaysia mempunyai rangka kerja pengawalseliaan yang diperkukuh oleh disiplin kewangan yang dikenakan oleh PIDM. Sistem premium berbeza negara memberikan insentif yang kuat untuk bank menerapkan amalan pengurusan risiko yang mantap termasuk mempunyai penampan modal yang kukuh. PIDM juga mempunyai kuasa penyelesaian yang perlu untuk melindungi pendeposit.

Bank Negara Malaysia sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan risiko dan cabaran yang bakal wujud dalam sistem kewangan Malaysia. Sekiranya terdapat sebarang kesan yang menggugat kestabilan selanjutnya akibat perkembangan luaran, Bank Negara Malaysia akan menjamin pinjaman antara bank bagi institusi perbankan, dan memudahkan akses kepada modal untuk institusi perbankan mengekalkan kecukupan modal pada paras sasaran yang lebih tinggi daripada piawai minimum. Di samping itu, Bank Negara Malaysia juga terus memastikan mudah tunai sentiasa mencukupi dalam sistem perbankan.

Bank Negara Malaysia akan terus memastikan rangka kerja pengawalseliaan responsif kepada keadaan pasaran dan mengekalkan insentif yang sesuai untuk pengurusan risiko yang berhemat oleh institusi kewangan. Ini bertujuan mengekalkan perjalanan pengantaraan sistem kewangan dan pasaran kewangan yang teratur.

Untuk butiran dan penjelasan selanjutnya, anda boleh hubungi:

Encik S. Loganathan
Pengurus Besar Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia
Tel.: 603-2173 7455
 
   
 
   Back to Search Results | Back to Press Releases
     



Name :  
Email :&nsbp; 
Message :  
Hantar ke rakan
Mesej anda (klik disini):