English  |  中文  |  தமிழ
 

Siaran Akhbar
Laman Utama > PIDM Dalam Berita > Siaran Akhbar
 
Cari Akhbar
Kata kunci carian:
 
Dari Hingga:
   
Susun mengikut:

Siaran Akhbar
 
Penginsurans deposit nasional terbitkan laporan tahunan, menggariskan amalan urus tadbir baik
24/04/2007

Kuala Lumpur, 24 April 2007: Penginsurans deposit nasional, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), hari ini melaporkan bahawa inisiatif-inisiatif utamanya telah disempurnakan mengikut masa dan bajet yang ditetapkan, selaras dengan pengurusan kewangan berhemat dan piawaian urus tadbir yang baik.

Objektif PIDM adalah untuk membina satu organisasi yang diurus tadbir dan disenggarakan dengan baik, berdasarkan amalan perniagaan dan kewangan yang mantap, kerana sebagai pentadbir dana awam, ianya komited untuk diteladani sebagai organisasi yang boleh dipercayai dan berhemat.

“Dalam hal ini, kami akan terus memegang dan mengamalkan urus tadbir yang baik untuk memenuhi mandat dan objektif korporat kami,” kata Jean Pierre Sabourin, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, semasa melancarkan laporan tahunan 2006 organisasi tersebut kepada pihak media hari ini. Ini adalah laporan tahunan kedua bagi PIDM dan laporan bagi tahun penuh yang pertama. Laporan tahunan sulungnya bagi tahun 2005 hanya merangkumi empat bulan pertama operasinya dari bulan September hingga Disember 2005. Ini juga merupakan tahun kedua berturut bagi PIDM menepati keperluan statutori yang menghendakinya mengemukakan laporan tahunannya kepada Menteri Kewangan dalam masa tiga bulan dari akhir tahun kewangan pada 31 Disember.

Laporan Tahunan 2006 boleh didapati di laman web dalam empat bahasa – Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2006, PIDM mencatatkan pendapatan sebanyak RM105 juta yang merangkumi pendapatan premium sebanyak RM102 juta dan pendapatan pelaburan sebanyak RM3 juta. Perbelanjaan operasinya berjumlah RM15 juta, iaitu kurang RM5 juta daripada yang dibajetkan.

Ini menghasilkan lebihan bersih sebanyak RM90 juta bagi tahun tersebut dengan kumpulan dana insurans deposit (DID) berjumlah RM122 juta pada akhir tahun 2006, merangkumi DID konvensional (RM111 juta) dan DID Islam (RM11 juta).

Sepanjang tahun lepas, PIDM menumpukan usahanya untuk memperkukuhkan kapasiti dan keupayaannya sebagai penginsurans deposit nasional. Ini termasuk memeterai Perjanjian Perikatan Strategik dengan Bank Negara Malaysia, yang memudahkan perkongsian maklumat penting, dan mengeluarkan Peraturan-Peraturan mengenai Keperluan Pendedahan bagi Akaun Amanah dan Akaun Bersama.

“Bagi jangka masa akan datang, kami akan melaksanakan peraturan-peraturan selanjutnya untuk menjadikan perundangan kami lebih operatif, terutamanya mengenai pelaksanaan Sistem Premium Berbeza (SPB), terma dan syarat keanggotaan, keperluan pendedahan maklumat dan kelayakan insurabiliti produk,” kata Sabourin.

SPB bermatlamat untuk menggalakkan institusi anggota untuk mengamalkan pengurusan risiko mantap. Inisiatif lain, seperti pendedahan maklumat dan kelayakan insurabiliti produk, dijangka dapat meningkatkan keyakinan awam dalam sistem insurans deposit kerana inisiatif-inisiatif ini akan membolehkan para pendeposit mendapat maklumat yang relevan dan perlu berkenaan produk deposit yang diinsuranskan.

Pada tahun lepas, PIDM turut aktif melibatkan dan mendidik pelbagai pemegang kepentingan, seperti bank-bank, badan pengawal atur, entiti kerajaan dan orang awam, sebagai sebahagian dari usahanya untuk mewujudkan tahap kesedaran yang lebih tinggi mengenai peranannya, menurut Sabourin di sidang akhbar tersebut, yang diadakan selepas dialog pertama PIDM dengan institusi-institusi anggotanya.

“Kajian antarabangsa membuktikan bahawa pendeposit yang berpengetahuan menyumbang secara langsung kepada keberkesanan sistem insurans deposit. Keyakinan awam dalam sistem insurans deposit menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan sesebuah negara,” tambah Sabourin.

Dalam konteks ini, PIDM turut melancarkan kempen pengiklanannya pada sidang akbar laporan tahunan tersebut. Kempen ini merangkumi iklan cetak dan media penyiaran, yang akan bermula pada 28 April 2007.

Iklan-iklan media cetak dan televisyen ini, dalam tiga versi, boleh didapati di laman web PIDM di www.pidm.gov.my

Untuk keterangan lanjut tentang penyataan akhbar ini, sila hubungi :

S.Loganathan, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam
(Tel : 03-22742615)

Zeti Zahariah Zainul, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam
(Tel : 03-2260 7436 samb 112)

Mengenai PIDM

PIDM mentadbir insurans deposit di Malaysia yang disokong oleh Kerajaan. Kami melindungi para pendeposit – secara automatik – sehingga RM60,000 bagi setiap pendeposit di setiap institusi anggota. Untuk maklumat lanjut:

  • Sila hubungi 1-800-88-1266, dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum)
  • E-mel: info@pidm.gov.my
  • Layari: www.pidm.gov.my
 
   
 
   Back to Search Results | Back to Press Releases
     



Name :  
Email :&nsbp; 
Message :  
Hantar ke rakan
Mesej anda (klik disini):