Kuala Lumpur, 8 Mei 2008: Peraturan Sistem Premium Berbeza Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) adalah satu insentif penting oleh penginsurans deposit tersebut untuk menggalak amalan pengurusan risiko yang mantap di kalangan bank anggotanya dengan menaksir premium mengikut profil risiko bank secara individu.
“Selaras dengan mandat PIDM untuk menyumbang ke arah kestabilan sistem kewangan, insentif di bawah Sistem Premium Berbeza (SPB) menggalakkan bank untuk memperbaiki profil risiko mereka dan ia turut memperkenalkan proses penaksiran premium yang lebih adil,” kata Jean Pierre Sabourin, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
Pada tahun-tahun sebelumnya, semua bank anggota membayar premium pada kadar yang sama iaitu sebanyak 0.06% daripada jumlah deposit diinsuranskan.
Mulai tahun 2008, sesebuah bank akan dikategorikan dan premiumnya akan ditaksir berdasarkan kategori tersebut. Terdapat empat kategori, bermula dari 1 (markah tertinggi) hingga 4 (markah terendah). Di bawah kategori premium 1, kadar premium ditetapkan pada 0.03%, kategori 2 (0.06%), kategori 3 (0.12%) dan kategori 4 (0.24%) daripada jumlah deposit diinsuranskan.
Walau bagaimanapun, bagi pelaksanaan pada tahun 2008, PIDM telah memperuntukkan tempoh peralihan selama setahun di mana markah bank akan dinaikkan sebanyak 20% manakala bank anggota yang berada dalam kategori 4 akan membayar premium berdasarkan kadar yang sama yang ditetapkan dalam kategori 3. Ini dibuat untuk memberikan bank anggota masa yang secukupnya untuk menyesuaikan diri dengan sistem tersebut.
PIDM akan memaklumkan kepada bank anggotanya mengenai markah, kategori dan kadar premium yang dikenakan sebelum atau pada 15 Mei dan bayaran premium harus dibuat kepada PIDM sebelum atau pada 31 Mei setiap tahun. Kadar ini berdasarkan jumlah deposit diinsuranskan pada 31 Disember tahun sebelumnya.
SPB mengambil masa dua tahun untuk dibangunkan dan PIDM merupakan penginsurans deposit yang pertama di rantau ASEAN yang mewujudkan sebuah SPB yang berdasarkan amalan terbaik antarabangsa dan disesuaikan dengan sistem perbankan Malaysia.
“SPB mengambil kira model perniagaan perbankan konvensional dan perbankan Islam yang berbeza di samping mengekalkan prinsip bahawa ia boleh diguna pakai oleh semua bank anggota, tidak kira saiz atau kekompleksan perniagaan mereka. Ia merupakan satu rangka kerja yang mantap yang menerapkan keunikan sistem dwi-perbankan Malaysia,” jelas Sabourin.
SPB Malaysia telah direka berdasarkan kajian ke atas SPB lain yang wujud di serata dunia dan dibangunkan secara rundingan dengan Bank Negara Malaysia, semua bank anggota dan pihak-pihak lain yang berminat.
Peraturan SPB dan Perintah Premium boleh didapati di laman web PIDM di pautan ini.
|
Untuk keterangan lanjut tentang penyataan akhbar ini, sila hubungi :
S.Loganathan, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam
(Tel : 03-2173 7455)
Zeti Zahariah Zainul, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam
(Tel : 03-2173 7457)
|
MENGENAI PIDM
PIDM menguruskan insurans deposit sokongan Kerajaan di Malaysia. Kami melindungi pendeposit – secara automatik – sehingga RM60,000 setiap pendeposit untuk setiap anggota. Untuk keterangan lanjut:
- Hubungi talian 1-800-88-1266, 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin – Jumaat (tidak termasuk hari cuti umum)
- Emel: info@pidm.gov.my
- Layari: www.pidm.gov.my