English  |  中文  |  தமிழ
 

Siaran Akhbar
Laman Utama > PIDM Dalam Berita > Siaran Akhbar
 
Cari Akhbar
Kata kunci carian:
 
Dari Hingga:
   
Susun mengikut:

Siaran Akhbar
 
PIDM mahu dapatkan maklum balas umum bagi Sistem Premium Berbeza serta Terma dan Syarat Keanggotaan
03/05/2007

Kuala Lumpur, 3 Mei 2007: Penginsurans deposit nasional, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) mahu mendapatkan maklum balas umum terhadap cadangan peraturannya yang bertujuan mengenal pasti, meningkat dan memberi insentif untuk amalan pengurusan risiko yang baik di kalangan institusi anggota. PIDM juga mahu mendapatkan pandangan mengenai peraturan berkaitan dengan pematuhan kepada terma dan syarat keanggotaan oleh bank-bank perdagangan dan Islam.

Langkah ini diambil susulan daripada penerbitan dua kertas kerja perundingan mengenai rangka kerja Sistem Premium Berbeza (SPB) dan draf Peraturan-Peraturan Terma dan Syarat Keanggotaan untuk institusi anggota, pada hari ini.

“Objektif SPB, yang akan dilaksanakan tahun depan, adalah untuk menggalakkan pengurusan risiko wajar dalam bank-bank anggota. PIDM akan menaksir dan mengumpul premium untuk memberi insentif kepada institusi anggota yang menambah baik amalan pengurusan risiko mereka dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Jean Pierre Sabourin.

Pada masa yang sama, cadangan Peraturan-Peraturan Terma dan Syarat Keanggotaan menggariskan obligasi dan tanggungjawab institusi anggota PIDM dalam pelbagai bahagian berkaitan dengan keselamatan dan kekukuhan mereka, deposit, premium dan caj-caj lain serta komunikasi dengan pendeposit, tambah beliau.

“Penerbitan kertas-kertas perundingan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menggalakkan ketelusan dan melibatkan orang awam dalam proses penggubalan polisi kami. Proses ini memastikan bahawa pandangan pihak-pihak yang berminat akan diambil kira agar peraturan tersebut lebih jelas, saksama dan efektif,” kata Sabourin.

PIDM merupakan penginsurans deposit pertama di rantau ASEAN yang menyediakan SPB   berdasarkan kepada amalan terbaik antarabangsa dan direka khusus untuk sistem perbankan Malaysia, katanya.

Kedua-dua kertas kerja tersebut boleh didapati di laman web PIDM (Klik disini untuk muat turun). Institusi anggota dan orang ramai dipelawa mengusulkan komen-komen bertulis mereka kepada PIDM pada 15 Jun 2007 bagi kertas perundingan Terma dan Syarat Keanggotaan dan pada 2 Julai bagi kertas kerja perundingan rangka kerja SPB.

PIDM akan mengumpulkan semua komen yang diterima dan menyiarkan maklum balasnya, termasuk sebarang pindaan kepada draf peraturan, di laman webnya. Selepas itu, draf peraturan tersebut akan tertakluk kepada proses perundangan sebelum dikuatkuasakan.  

Encik Sabourin menjelaskan bahawa cadangan SPB yang akan menggantikan sistem premium kadar rata ketika ini, mengambil kira model perniagaan berbeza yang diguna pakai oleh bank konvensional, bank Islam dan skim perbankan Islam bank-bank perdagangan di samping mengekalkan prinsip bahawa ia perlu dilaksanakan secara sama rata kepada semua anggota tanpa mengira saiz atau situasi kompleks perniagaan mereka.

Bank-bank akan dinilai dan diberi markah berdasarkan profil risiko mereka masing-masing dan sehubungan ini, akan terdapat wajaran 60-40 yang ditetapkan kepada kriteria kuantitatif dan kualitatif dalam mendapatkan skor SPB bagi setiap bank.

“Penggunaan gabungan pendekatan kriteria kuantitatif dan kualitatif memastikan SPB telus dan objektif, di samping mengandungi elemen-elemen prospek masa hadapan,” katanya.

Antara kriteria kuantitatif utama yang akan digunakan adalah ukuran modal, keuntungan dan kualiti aset, manakala kriteria kualitatif termasuklah penarafan oleh badan pengawal selia dan maklumat-maklumat lain seperti pematuhan kepada peraturan dan penarafan yang ditentukan oleh agensi-agensi yang sesuai.

“Terdapat empat kategori premium utama berdasarkan kepada skor SPB yang diperoleh. Meskipun kebanyakan bank-bank akan ditempatkan di dua kategori teratas, bank-bank yang mempunyai modal kukuh dan diuruskan dengan baik akan diberi insentif menerusi premium lebih rendah yang dibayar berdasarkan deposit mereka yang diinsuranskan, manakala bank-bank berprofil risiko lebih tinggi perlu membayar lebih banyak lagi. Ini akan menyediakan insentif kepada bank-bank untuk mengurangkan profil risiko mereka,”  kata Encik Sabourin.  

Menyentuh mengenai draf Peraturan-Peraturan bagi Terma dan Syarat Keanggotaan, Encik Sabourin berkata kegagalan untuk mematuhi peraturan tersebut mungkin akan menyebabkan surcaj premium atau bentuk-bentuk denda yang lain dikenakan.

Di bawah cadangan Terma dan Syarat Keanggotaan, institusi anggota diminta menyediakan kepada PIDM maklumat-maklumat yang diperlukannya untuk memantau kekukuhan bank-bank.

Anggota juga digalakkan untuk mematuhi amalan keperluan modal dan pengurusan risiko wajar yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, dan jika gagal mematuhinya mungkin menyebabkan PIDM mengenakan surcaj premium ke atas bank terbabit.

“Penggubalan peraturan tersebut sejajar dengan peranan PIDM dan mandatnya untuk memperuntukkan insentif untuk pengurusan risiko wajar oleh institusi anggota yang akan menggalakkan lagi kestabilan sistem kewangan,” tambah Encik Sabourin.

Untuk keterangan lanjut tentang penyataan akhbar ini, sila hubungi :

S.Loganathan, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam
(Tel : 03-22742615)

Zeti Zahariah Zainul, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam
(Tel : 03-2260 7436 samb 112)


MENGENAI PIDM


PIDM menguruskan insurans deposit sokongan Kerajaan di Malaysia. Kami melindungi pendeposit – secara automatik – sehingga RM60,000 setiap pendeposit  untuk setiap anggota. Untuk keterangan lanjut:
    • Hubungi talian 1-800-88-1266, 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin – Jumaat (tidak termasuk hari cuti umum)
    • Emel: info@pidm.gov.my
    • Layari: www.pidm.gov.my 
 
   
 
   Back to Search Results | Back to Press Releases
     



Name :  
Email :&nsbp; 
Message :  
Hantar ke rakan
Mesej anda (klik disini):