English  |  中文  |  தமிழ
 

Siaran Akhbar
Laman Utama > PIDM Dalam Berita > Siaran Akhbar
 
Cari Akhbar
Kata kunci carian:
 
Dari Hingga:
   
Susun mengikut:

Siaran Akhbar
 
PIDM mahu maklum balas untuk memastikan keperluan maklumat tepat dan semasa kepada pendeposit
19/06/2007

Kuala Lumpur, 19 Jun 2007: Penginsurans deposit nasional Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) ingin mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai draf peraturan-peraturan yang bertujuan untuk memastikan bahawa pihak awam mendapat maklumat yang tepat dan semasa mengenai insurans deposit daripada institusi anggota.

Pada masa yang sama, PIDM turut mengalu-alukan pandangan pihak awam mengenai cadangan garis panduan yang akan digunakan untuk menentukan produk deposit yang diinsuranskan mengikut sistem insurans deposit.

Inisiatif ini bertitik tolak dari penerbitan dua kertas rundingan hari ini mengenai draf Peraturan-Peraturan Keperluan Maklumat Mengenai Insurans Deposit dan cadangan Garis Panduan Mengenai Kriteria Bagi Menentukan Deposit Yang Diinsuranskan.

“Kami komited untuk memastikan bahawa orang awam mendapat maklumat yang tepat dan semasa daripada institusi anggota mengenai bagaimana insurans deposit melindungi pendeposit. Justeru, penerbitan peraturan-peraturan dan garis panduan ini selaras dengan peranan PIDM sebagai sebahagian daripada jaringan keselamatan kewangan untuk meningkatkan keyakinan awam dalam sistem perbankan. Individu yang membuat keputusan berdasarkan maklumat secukupnya mengenai deposit mereka akan mempunyai lebih keyakinan terhadap sistem perbankan,” kata Jean Pierre Sabourin, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.

Dengan Peraturan-Peraturan Keperluan Maklumat Mengenai Insurans Deposit, PIDM bercadang untuk melaraskan semua maklumat tentang insurans deposit yang harus disediakan oleh institusi anggota kepada para pelanggan mereka. Jenis pendedahan mengenai sama ada deposit diinsuranskan atau tidak serta representasi yang berkenaan juga akan dikawal selia. Institusi anggota terdiri daripada semua bank perdagangan dan bank Islam yang beroperasi di Malaysia.

“Berkenaan produk deposit yang diinsuranskan, institusi anggota dikehendaki menyenggarakan satu Daftar yang harus dipamerkan dengan jelas dan tersedia untuk rujukan orang awam di semua pejabat mereka. Pendeposit juga harus dimaklumkan, semasa mereka membuka akaun atau membeli sesuatu produk deposit, sama ada produk tersebut diinsuranskan atau tidak, dan sebagai tambahan, satu salinan brosur maklumat PIDM juga harus diberikan pada masa yang sama,” kata Sabourin.

Bagi institusi anggota, cadangan Garis Panduan Mengenai Kriteria Bagi Menentukan Deposit Yang Diinsuranskan menyediakan kriteria bagi mengenal pasti produk deposit yang layak untuk diinsuranskan.

Cadangan Garis Panduan bersama dengan Peraturan-Peraturan bertujuan untuk memberi kepastian mengenai produk deposit yang diinsuranskan atau tidak diinsuranskan oleh PIDM. Dengan ini, pendeposit akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang disediakan.

 “Penerbitan kertas rundingan ini adalah sebahagian dari usaha berterusan kami untuk menggalakkan ketelusan dan penglibatan pihak awam dalam proses penggubalan polisi kami. Kami telah menerbitkan dua kertas rundingan mengenai rangka kerja Sistem Premium Berbeza (SPB) dan draf Peraturan-Peraturan Mengenai Terma dan Syarat Keanggotaan pada awal bulan lepas,” kata Sabourin.

Kertas rundingan yang diterbitkan boleh didapati dalam laman web PIDM (Download Section). Institusi anggota dan pihak awam dijemput untuk mengemukakan komen bertulis mengenai kertas rundingan yang diterbitkan hari ni kepada PIDM sebelum 31 Julai 2007

PIDM akan mengumpul semua komen yang diterima dan menerbitkan maklum balasnya, termasuk mana-mana pindaan kepada draf Peraturan-Peraturan dan Garis Panduan, dalam laman webnya. Garis Panduan ini akan beroperasi pada akhir September 2007 manakala draf Peraturan-Peraturan akan berkuat kuasa setelah melalui proses perundangan biasa.

Untuk maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi :

S.Loganathan, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel : 03-2173 7455)

Zeti Zahariah Zainul, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel : 03-2173 7457)


MENGENAI PIDM

PIDM menguruskan insurans deposit sokongan Kerajaan di Malaysia. Kami melindungi pendeposit – secara automatik – sehingga RM60,000 setiap pendeposit  untuk setiap anggota. Untuk keterangan lanjut

  • Hubungi talian 1-800-88-1266, 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin – Jumaat (tidak termasuk hari cuti umum)
  • Emel: info@pidm.gov.my
  • Layari: www.pidm.gov.my 
 
   
 
   Back to Search Results | Back to Press Releases
     



Name :  
Email :&nsbp; 
Message :  
Hantar ke rakan
Mesej anda (klik disini):