|
Apakah itu Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans?
Sistem ini ditubuhkan oleh Kerajaan bagi melindungi pemilik sijil takaful dan polisi insurans terhadap kehilangan manfaat takaful atau insurans yang layak sekiranya berlaku kegagalan ahli penginsurans dan ahli penginsurans tidak dapat memenuhi tuntutan manfaat takaful atau insurans yang layak. Pengendali takaful dan syarikat insurans yang merupakan institusi ahli PIDM juga dikenali sebagai ‘ahli penginsurans’.
Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans mula berkuat kuasa pada 31 Disember 2010 dan ditadbir oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).
Manfaat kepada pemilik sijil takaful dan polisi insurans
- PIDM melindungi anda terhadap kehilangan manfaat takaful atau insurans yang layak sekiranya berlaku kegagalan ahli penginsurans.
- Perlindungan ini disediakan oleh PIDM secara automatik dan tidak memerlukan sebarang permohonan.
- Pemilik sijil takaful dan polisi insurans tidak dikenakan bayaran bagi perlindungan ini.
Manfaat kepada sistem kewangan
- PIDM memupuk keyakinan awam dalam sistem kewangan Malaysia dengan melindungi pemilik sijil takaful dan polisi insurans terhadap kehilangan manfaat mereka.
- PIDM memperkukuh dan melengkapi rangka kerja pengawalseliaan yang sedia ada dengan menyediakan insentif bagi pengurusan risiko yang wajar dalam sistem kewangan.
- PIDM meminimumkan kos kepada sistem kewangan dengan mengenal pasti penyelesaian kos terendah bagi mengurus institusi ahli yang tidak berdaya maju.
- PIDM menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan dengan mengurus kegagalan institusi ahli dengan segera.
|