Sistem Insurans Deposit ialah sistem yang ditubuhkan oleh Kerajaan bagi melindungi pendeposit daripada kehilangan deposit diinsuranskan yang disimpan di institusi ahli sekiranya sesebuah institusi ahli mengalami kegagalan. Bank perdagangan dan bank Islam yang merupakan institusi ahli PIDM juga dikenali sebagai bank 'ahli'.

image

Sebagai komponen penting jaringan keselamatan kewangan yang efektif, sistem insurans deposit memantapkan perlindungan konsumer dengan menyediakan perlindungan eksplisit kepada pendeposit. Pendeposit akan tahu bila, berapa banyak dan bagaimana deposit mereka dilindungi sekiranya sesebuah bank ahli menjadi muflis atau tidak berupaya membuat pembayaran kepada pendeposit.

Di Malaysia, Sistem Insurans Deposit berkuat kuasa pada September 2005 dan ditadbir oleh PIDM.

 

MANFAAT KEPADA PENDEPOSIT

  • PIDM melindungi deposit bank anda dan akan membayar balik dengan segera deposit yang diinsuranskan sekiranya berlaku kegagalan bank ahli.
  • Perlindungan ini disediakan oleh PIDM secara automatik - tiada permohonan diperlukan untuk perlindungan ini.
 

MANFAAT KEPADA SISTEM KEWANGAN

  • PIDM memupuk keyakinan awam dalam sistem kewangan Malaysia dengan melindungi pendeposit daripada kehilangan deposit mereka.
  • PIDM memperkukuh dan melengkapi rangka kerja pengawalseliaan yang sedia ada dengan menyediakan insentif bagi pengurusan risiko yang wajar dalam sistem kewangan.
  • PIDM meminimumkan kos kepada sistem kewangan dengan mengenal pasti penyelesaian kos terendah bagi mengurus institusi ahli yang tidak berdaya maju.
  • PIDM menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan dengan mengurus kegagalan institusi ahli dengan cepat dan membuat pembayaran balik kepada pendeposit dengan segera.