Memperkukuh Kestabilan Landskap Kewangan Malaysia Melalui Kesediaan Resolusi

Para editor yang dihormati,
 
September merupakan masa bagi mereka yang bergiat dalam industri kewangan untuk merenung kembali sejarah Krisis Kewangan Asia (Asia Financial Crisis – AFC) 1997 dan Krisis Kewangan Global (Global Financial Crisis – GFC) 2008. Bagi kami di Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), bulan September adalah sama pentingnya kerana ia bersempena dengan bulan penubuhan PIDM pada tahun 2005. Pada tahun ini, selepas 16 tahun berlalunya GFC dan sempena ulang tahun ke-19 PIDM, kami meneliti semula sebab-sebab penubuhan kami dan peranan yang terus kami mainkan dalam landskap kewangan semasa.
 
Selepas AFC, Malaysia menyedari akan keperluan terhadap sistem perlindungan kewangan yang kukuh. Kesedaran ini membawa kepada penubuhan PIDM pada 5 September 2005, sebagai sebahagian daripada strategi komprehensif di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) 2001-2010 untuk mengukuhkan sektor kewangan Malaysia dan meningkatkan kestabilan sistem kewangan. Pada tahun-tahun awal penubuhannya, PIDM menumpukan usaha kepada membangunkan kesediaan dalaman dan rangka kerja asas yang diperlukan untuk perlindungan konsumer kewangan dan resolusi. PIDM telah berkembang selaras dengan peredaran masa. Kini, dalam era di mana risiko dan ketidaktentuan telah menjadi kebiasaan, kami memberi tumpuan kepada pembinaan kesediaan kolaboratif dan mengekalkan kepercayaan serta keyakinan konsumer kewangan dalam keadaan yang penuh ketidakpastian.
 
Berada Dalam Kawalan Mantap: Bagaimana PIDM Melindungi dan Melaksanakan Resolusi, serta Membina Keyakinan
Menurut mandatnya, PIDM memainkan dua peranan penting. Sebagai penginsurans deposit, PIDM berperanan melindungi deposit dan manfaat takaful dan insurans, serta memastikan keselamatan sistem kewangan jika institusi ahli gagal. Dengan peranan kedua sebagai pihak berkuasa resolusi, PIDM berhasrat untuk menyelesaikan institusi yang gagal dengan cara yang cepat dan teratur di samping meminimumkan potensi gangguan kepada sistem kewangan. PIDM bekerjasama rapat dengan peserta jaringan keselamatan kewangan lain, termasuk BNM dan Kementerian Kewangan, dalam mencapai mandatnya untuk menggalakkan kestabilan kewangan negara.
 
Bersedia Mengharungi Cabaran: Komitmen PIDM terhadap Perlindungan Pendeposit Ketika Krisis
 
GFC dan kejatuhan Lehman Brothers pada 2008 menyebabkan negara-negara di seluruh dunia mengambil langkah-langkah khusus untuk mengekalkan keyakinan orang awam. Di Malaysia, sebagai tindak balas kepada GFC, Kerajaan telah melaksanakan Jaminan Deposit Kerajaan (Government Deposit Guarantee – GDG) pada Oktober 2008 untuk menyediakan perlindungan penuh untuk semua deposit, dengan PIDM diamanahkan untuk mentadbir jaringan keselamatan kewangan yang kritikal ini. GDG meliputi semua deposit ringgit dan mata wang asing di Malaysia dan terbukti sebagai satu kerjasama yang berjaya antara PIDM, BNM dan Kerajaan Malaysia dalam melindungi pendeposit dan memelihara keyakinan orang awam semasa kegawatan kewangan global.
 
Bersiap siaga Menghadapi Sebarang Kemungkinan: Mewujudkan Rejim Resolusi yang Efektif & Keperluan Perancangan Resolusi sebagai Imperatif Pasca Krisis
Krisis biasanya membawa kepada pengenalan pembaharuan kawal selia oleh badan-badan penetapan standard antarabangsa yang bertujuan mengukuhkan lagi daya tahan sistem kewangan global. Terdapat keperluan mendesak, khususnya pasca GFC, untuk menangani cara institusi kewangan yang dianggap "terlalu besar untuk gagal" (too big to fail) diuruskan apabila berlakunya kegagalan. Ini membawa kepada pembangunan rangka kerja dan pendekatan untuk memastikan resolusi yang teratur tanpa memberi kesan teruk kepada sistem kewangan atau menggunakan dana yang dibiayai pembayar cukai.
 
Pada tahun 2011, Financial Stability Board menerbitkan Key Attributes of Effective Resolution Regimes for Financial Institutions (FSB’s Key Attributes), yang menetapkan penanda aras global. FSB’s Key Attributes menggariskan komponen penting rangka kerja resolusi yang teguh – mandat undang-undang yang jelas untuk pihak berkuasa, pendekatan resolusi baharu seperti bail-in untuk menyerap kerugian dan kerjasama rentas sempadan antara pihak berkuasa semasa proses resolusi. Aspek penting bagi FSB’s Key Attributes merupakan perancangan resolusi, yang disarankan ke atas sistem kewangan sistematik yang penting untuk membangunkan pelan resolusi (juga dikenali sebagai "living will") yang memperincikan bagaimana institusi boleh diselesaikan semasa kegagalan.
 
Sejajar dengan perkembangan di peringkat global, di Malaysia, BNM dan PIDM bersama-sama telah membangunkan rangka kerja dasar bagi Perancangan Pemulihan dan Resolusi (Recovery and Resolution Planning – RRP) untuk mengukuhkan persediaan krisis dan daya tahan institusi kewangan Malaysia. Perancangan pemulihan yang diterajui BNM memastikan bahawa bank berupaya bertindak balas dengan efektif terhadap masalah kewangan dan mampu memulihkan daya maju ketika menghadapi tekanan yang kuat. Perancangan resolusi yang diterajui PIDM memastikan resolusi bank-bank dapat dilaksanakan dengan cepat dan teratur tanpa gangguan yang teruk kepada sistem kewangan. Pada September 2023, PIDM mengeluarkan keperluan perancangan resolusi kepada bank-bank ahlinya. Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat, berpandukan prinsip perkadaran, bergantung pada saiz dan kerumitan bank.
 
“Perjalanan Yang Berterusan” – Sentiasa Bersedia dan Membina Kebolehselesaian Kolaboratif
Baru-baru ini, kegagalan Silicon Valley Bank (SVB) dan Credit Suisse (CS) pada 2023 menjadi peringatan yang nyata tentang ketidakpastian krisis kewangan dan risiko utama yang timbul akibat kegagalannya, walaupun bank-bank kelihatan stabil. (Baca artikel Laporan Tahunan PIDM 2023 mengenai kegagalan bank Musim Bunga 2023 di sini: https://pidm.gov.my/pidm2022/media/assets/annualreport/Article-from-AR2023_BM.pdf)
 
Peristiwa ini mengulangi kepentingan perancangan resolusi untuk bank-bank ahli PIDM:
 
  1. Perancangan resolusi bermaksud membuat persediaan awal untuk menangani kegagalan dan meminimumkan halangan ketika krisis memandangkan kita turut ‘berperang’ dengan masa. Dengan pilihan pendekatan resolusi yang disediakan, PIDM diberi kelonggaran untuk menangani bank yang gagal dengan pantas dan teratur.
  2. Perancangan resolusi juga bertujuan untuk memastikan bank-bank lebih mudah diselesaikan semasa kegagalan melalui pembinaan keupayaan semasa operasi seperti biasa untuk menyokong resolusi yang efektif.
  3. Dalam kes SVB dan CS, bank-bank tersebut atau sebahagian daripadanya telah dipindahkan kepada pembeli pihak ketiga. Di Malaysia, perancangan resolusi akan memastikan bahawa bank ahli PIDM berada dalam keadaan "sedia pindah" (transfer-ready). Sebagai sebahagian daripada proses perancangan resolusi, pelan akan disediakan untuk memastikan bank yang gagal boleh dipindahkan dengan lancar kepada pembeli yang boleh dipercayai, meminimumkan gangguan kepada perkhidmatan perbankan dan sistem kewangan secara meluas.
Untuk mencapai matlamat ini, PIDM akan bekerjasama rapat dengan institusi ahli dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mewujudkan ekosistem di mana semua pihak bersedia untuk mengambil bahagian secara aktif dalam resolusi dan meningkatkan pemahaman bersama tentang peranan dan tanggungjawab semasa krisis. Tumpuan akan diberikan kepada amalan prinsip "sentiasa bersedia" untuk memastikan institusi ahli PIDM dan pihak berkepentingan dapat mengekalkan persediaan berterusan untuk menangani krisis.
 
Sauh Telah Diangkat: Belayar, Jangan Hanyut
Evolusi PIDM di Malaysia, khususnya dengan tumpuannya kepada perancangan resolusi, mengetengahkan strategi bersasar dan disesuaikan untuk mengekalkan kestabilan kewangan. Sejak penubuhannya, PIDM telah membangunkan dan terus mempertingkatkan rangka kerja persediaan krisisnya, memastikan ia kekal teguh, terkini dan relevan untuk bertindak balas terhadap krisis dan melaksanakan resolusi yang efektif. Memandangkan sistem kewangan Malaysia terus berkembang, pendekatan proaktif "siap-sedia" PIDM akan kekal penting bagi mengharungi setiap cabaran yang timbul. Ia menyediakan asas yang kukuh untuk mengekalkan keyakinan terhadap sistem kewangan, walaupun ketika krisis. Bak kata pepatah, "Belayar bernakhoda, berjalan dengan yang tua, berkata dengan yang pandai".
 
Disumbangkan oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.
Dihantar pada 10 September 2024.
Share to