Perjalanan PIDM Sebagai Pihak Berkuasa Konsumer Kewangan

Anda mungkin pernah mendengar tentang PIDM. Sebagai sebuah agensi kerajaan yang telah wujud hampir 20 tahun, maklumat asas yang anda mungkin ketahui adalah bahawa PIDM melindungi simpanan anda di bank. Tetapi tahukah anda bahawa PIDM mempunyai peranan yang lebih meluas daripada itu? Teruskan membaca untuk mengetahui mengapa PIDM ditubuhkan dan bagaimana ia menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.

Penubuhan dan Perjalanan Awal PIDM

PIDM ditubuhkan pada 5 September 2005 di bawah Akta PIDM dengan tujuan utama untuk melindungi wang simpanan penyimpan di bank sekiranya berlaku kegagalan bank ahli. Dalam konteks ini, kegagalan merujuk kepada keadaan di mana bank tidak lagi berdaya maju untuk meneruskan perniagaan dan operasinya atau menjadi muflis.

Krisis kewangan Asia pada akhir tahun 1990-an telah mendedahkan kerentanan sistem kewangan dan menekankan keperluan untuk rangka kerja perlindungan bagi melindungi mereka yang paling terdedah dan terkesan, iaitu para penyimpan atau dipanggil ‘pendeposit’. Menjawab kepada keperluan ini, PIDM telah ditubuhkan dan Sistem Insurans Deposit (DIS) diperkenalkan untuk menyediakan perlindungan bagi simpanan di bank untuk deposit konvensional dan Islam, menjadikannya jaringan keselamatan kewangan yang inklusif untuk semua pendeposit di Malaysia.

Semenjak penubuhannya, PIDM berusaha secara berterusan bagi memastikan kepadaan peranan dan perlindungannya sebagai jaringan keselamatan kewangan kepada konsumer kewangan ketika situasi kritikal melanda sistem kewangan.

Pada tahun 2011, PIDM telah memperluas mandatnya dengan mentadbir Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS) untuk menyediakan perlindungan yang merangkumi pemilik sijil takaful dan polisi insurans, sekali gus mencerminkan komitmennya untuk memberi pelindungan yang komprehensif kepada konsumer kewangan. TIPS merupakan suatu sistem yang melindungi pemilik sijil takaful dan polisi insurans terhadap kehilangan manfaat takaful atau insurans yang layak sekiranya sesebuah ahli penginsurans tidak lagi berdaya maju dan seterusnya tidak dapat memenuhi tuntutan manfaat sijil takaful atau polisi insurans berkenaan. ‘Ahli penginsurans’ yang dimaksudkan adalah pengendali takaful dan syarikat insurans yang juga merupakan institusi ahli PIDM.

PIDM juga memberi tumpuan terhadap kesedaran dan pendidikan awam bagi memastikan pendeposit dan pemilik polisi insurans dan sijil takaful menerima maklumat yang jelas mengenai perlindungan yang disediakan. Antara inisiatif yang dijalankan termasuk kempen celik kewangan #SediaPayungKewangan, dengan kandungan yang mengetengahkan ikon pengurusan kewangan PIDM, Chief BerUang dan program capaian bersama komuniti. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan membina daya tahan kewangan rakyat Malaysia dan meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai peranan dan sistem perlindungan PIDM.

Kepentingan Mandat PIDM

Kestabilan sistem kewangan adalah tunjang ekonomi yang kukuh, dan peranan PIDM dalam mengekalkan kestabilan ini adalah amat penting. Sekiranya institusi kewangan mengalami kegagalan, PIDM akan memastikan pendeposit mempunyai akses berterusan kepada simpanan bank mereka. Ketersediaan akses berterusan ini mengurangkan risiko berlakunya bank run dan kepanikan yang boleh memberi kesan buruk kepada keseluruhan sistem kewangan.

Kepentingan mandat PIDM dan fungsinya mungkin akan lebih jelas kepada orang awam apabila situasi kritikal melanda. Namun begitu, kesedaran terhadap kepentingan mandat PIDM, fungsinya serta perlindungan yang disediakan di masa tenang adalah sangat penting bagi memberi keyakinan kepada pendeposit bahawa simpanan mereka selamat, sekali gus memupuk rasa lebih tenteram dan percaya terhadap sistem kewangan. Dengan cara ini, PIDM bukan sahaja menyokong kestabilan keseluruhan sistem kewangan, tetapi juga menyumbang kepada daya tahan ekonomi negara.

Memelihara Keyakinan Awam

Walaupun sebahagian besar operasi PIDM berjalan di sebalik tabir dan menyebabkan ia mungkin kurang dikenali oleh orang awam, namun PIDM kekal komited untuk bersedia menangani krisis yang timbul dengan pantas dan efektif.

Persediaan mendepani krisis ini bermula lebih awal lagi, melalui pemantauan aktif ke atas institusi ahli kami serta kerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia untuk mengenal pasti dan menangani risiko yang berpotensi. Apabila krisis berlaku, PIDM dapat memastikan isu-isu ditangani segera sebelum menjadi lebih parah.

Bagi orang awam, perlindungan yang disediakan oleh PIDM dapat memberi ketenangan fikiran kerana mereka mengetahui dan yakin bahawa PIDM melindungi mereka. Walaupun institusi ahli berisiko untuk gagal, PIDM sentiasa memastikan akses ke atas deposit bank dan manfaat takaful atau insurans mereka tidak akan terjejas, sekali gus meningkatkan keyakinan orang awam dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan Malaysia.

Adakah anda tahu bagaimana PIDM melindungi anda? Lawati www.pidm.gov.my dan ketahui lebih lanjut tentang sistem perlindungan serta had dan skop perlindungannya.
 
Share to