Eunice Jane Andrews, 22, telah menglibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan sejak di universiti lagi. Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Program Biasiswa Sarjana Muda Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) ini adalah bukti bahawa golongan muda boleh menjadi pemangkin kepada perubahan.
“Melalui kursus pengajian saya dalam hubungan antarabangsa, saya telah didedahkan kepada isu-isu global seperti keganasan, kemiskinan dan kelestarian. Ia menarik minat saya dalam inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertujuan untuk membina persekitaran yang lebih baik untuk masyarakat global,” katanya.
Sehubungan itu, beliau telah mengajak beberapa rakannya untuk menyertai beliau mengaktifkan semula Kelab UNESCO-UUM yang sebelum ini telah dibubarkan di universitinya.
Eunice juga berkongsi cerita mengenai beberapa projek yang diterajuinya termasuk program ‘Food for Friends’. Projek tersebut membantu golongan gelandangan di wilayah utara yang berdepan dengan isu kemiskinan serta tidak mempunyai makanan yang mencukupi.
Manakala di kampus, Kelab UNESCO-UUM mengumpulkan sekumpulan sukarelawan dalam kalangan pelajar UUM untuk project ‘Ramadan Beramai-ramai’. Mereka telah mendapatkan makanan yang tidak habis dijual daripada restoran dan penjual makanan untuk diagihkan kepada pelajar yang menghadapi masalah kewangan. Projek itu berjaya membantu kumpulan pelajar yang terpaksa mengikat perut untuk berjimat bagi supaya dapat pulang ke pangukan keluarga unuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya rasa puas hati melihat pelajar yang kami bantu kelihatan lebih sihat selepas beberapa minggu,” kata Eunice.
Kelab itu juga menganjurkan beberapa program khidmat masyarakat di tiga lokasi luar bandar bagi menangani ketidakseimbangan pendidikan dalam kalangan pelajar yang berkeperluan khas, seperti pelajar yang kurang daya tumpuan dan pelajar yang menghadapi masalah pertuturan dan penguasaan bahasa.
Projek-projek ini memberi beliau peluang untuk mengaplikasikan apa yang dipelajarinya di universiti dalam situasi sebenar. Ini telah mendorongnya kepada kerjaya dalam bidang mobiliti dan imigrasi.
Memainkan peranan sebagai duta
Selain terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan, Eunice mendapati beliau sering menerangkan tentang konsep insurans deposit setiap kali ditanya mengenai biasiswanya.
“Biasanya saya membincangkan perkara ini sambil minum kopi kerana penjelasan mengenainya agak mengambil masa!” jelas Eunice.
“Saya tidak tahu tentang insurans deposit sehinggalah saya memohon program biasiswa PIDM. Semasa sesi temuduga, saya membaca brosur PIDM dan ia terlintas di fikiran saya bahawa ia adalah satu konsep yang bijak. Saya tidak pernah terfikir bahawa pendeposit memerlukan perlindungan insurans sekiranya berlaku pengeluaran wang besar-besaran daripada bank.”
Anak tunggal kelahiran Georgetown, Pulau Pinang itu juga berkongsi perspektif beliau tentang insurans deposit:
“Sistem insurans deposit adalah sesuatu yang dimiliki oleh negara-negara maju dan kini lebih banyak negara membangun mula melaksanakannya. Ia menunjukkan bahawa negara kita sedang bergerak menuju kehadapan.”
Biasiswa yang menawarkan kelainan
Nasihat mudah Eunice kepada para pelajar yang berminat memohon Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM adalah:
“Jangan anggap ia sama seperti program biasiswa lain. Bersedia untuk belajar daripada seramai mungkin orang dan anda tidak akan menyesal,” katanya. Beliau tertarik kepada biasiswa itu disebabkan oleh program mentor yang ditawarkan.
“Saya gembira kerana dapat belajar daripada seseorang yang lebih berpengalaman dalam dunia profesional dan kehidupan. Banyak yang saya pelajari daripada mentor saya Kevin (Kevin Chew adalah seorang Timbalan Pengurus Besar Bahagian Polisi dan Antarabangsa di PIDM). Saya hargai setiap perbualan kami kerana ia banyak memberikan inspirasi kepada hala tuju masa hadapan saya,” katanya.
Eunice juga berterima kasih kepada PIDM kerana menyediakan peluang kepada beliau untuk menjalani latihan praktikal di EY Malaysia. Menurutnya, beliau berminat untuk bekerja dengan firma perundingan tersebut selepas menghadiri lawatan perindustrian beberapa tahun lepas.
“Saya masih ingat Beatrice (Beatrice Low adalah Pengurus Kanan yang bertanggungjawab mengendalikan Program Biasiswa PIDM) yang menggalakkan saya untuk pergi walaupun saya terpaksa mengambil cuti pengajian! Saya gembira dengan keputusan tersebut kerana jika bukan kerana lawatan itu, saya tidak akan bekerja di sini, hari ini."
Eunice kini bekerja di EY Malaysia dalam bahagian People Advisory Services - Global Mobility Immigration
Berminat untuk membaca lebih banyak kisah pemegang biasiswa PIDM? Klik di sini [pautan] bagi mendapatkan lebih banyak kisah yang berinspirasi.