Gabriel Chua: Usahawan Sosial Masa Hadapan

Gabriel Chua Chin Seng, pelajar tahun kedua di Universiti Multimedia (MMU) Melaka, merupakan seorang usahawan sosial yang mempunyai masa hadapan yang cerah. Setelah memerhatikan kesukaran yang dihadapi oleh pelajar-pelajar di kampusnya, beliau memutuskan untuk membantu mereka dengan satu projek ilham beliau.

“Terdapat ramai pelajar yang berpotensi tinggi, namun apa yang saya perasan adalah mereka meletakkan tekanan yang terlalu tinggi ke atas diri mereka sendiri dalam mencapai matlamat mereka. Ada yang enggan mendapatkan bantuan kerana mereka tidak mahu berkongsi kerisauan dan fikiran negatif mereka," jelas Gabriel.

Pada April 2020 Gabriel dan sekumpulan rakannya memulakan projek En-Light. Ia merupakan platform sosial yang diwujudkan untuk membantu pelajar menghadapi cabaran dalam kehidupan dan untuk melahirkan usahawan masa hadapan.

“Saya berhasrat membangunkan sesuatu yang boleh membantu orang lain, dan saya amat teruja kerana kami dapat memulakan projek ini pada waktu yang mencabar ini," kata Gabriel.

Sejak projek itu dimulakan, En-Light telah menjayakan beberapa webinar mengenai pelbagai tajuk termasuk pengurusan wang, kecerdasaan emosi dan menguruskan pengajian pada masa krisis. Gabriel dan rakan-rakannya berharap En-Light akan dapat menganjurkan lebih banyak webinar dan meluaskan capaiannya di luar kampus MMU Melaka pada masa hadapan agar mereka dapat membantu lebih ramai orang.

Apabila ditanya tentang apa yang beliau harapkan daripada En-Light untuk dirinya sendiri, tanpa teragak-agak beliau berkata, “Ada ramai orang dalam kalangan kami yang memerlukan pertolongan dan saya bernekad untuk cuba membantu mereka. Pada masa ini, mungkin saya tidak dapat membantu dari segi kewangan tetapi saya mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang boleh dikongsikan. Ilmu yang diperolehi harus dikongsi."

Mengatasi sifat introversi

Gabriel tegas menyatakan bahawa beliau merupakan seorang yang introvert. Ini sukar untuk dipercayai kerana beliau mempunyai sikap ramah dan keyakinan diri yang tinggi.

Semasa zaman kanak-kanaknya, beliau takut dengan orang yang ramai dan selalu cuba berundur dan mengelak mereka, termasuk rakan-rakan sekolahnya. Bimbang dengan sikap pemalu yang melampau, guru-guru Gabriel telah menggalakkan beliau menyertai pelbagai aktiviti di sekolah terutamanya yang melibatkan pengucapan awam.

“Pada mulanya, memang menakutkan tetapi saya patuh pada arahan dan bimbingan guru-guru saya. Akhirnya, saya dapat mengatasi rasa janggal saya itu," ujarnya. "Dengan usia yang semakin matang, saya mula sedar bahawa saya suka bekerja dengan dan memimpin orang lain."

Sekarang ini, Gabriel tidak lagi gementar untuk bercakap di hadapan orang ramai atau memegang jawatan kepimpinan.

“Kadang kala saya masih lagi bergelut dengan sifat introversi ini tetapi saya mengatasinya dengan berusaha keras untuk mendapatkan peluang-peluang yang terbaik untuk diri saya," katanya.

Antara pergelutan dengan sifat introversi ini adalah apabila beliau menawarkan diri sebagai ketua sebuah kumpulan pelajar bagi Program Pertukaran Pelajar Antarabangsa selama 15 hari dengan sebuah universiti di Indonesia, Universitas Mercu Buana. Sebagai seorang ketua, Gabriel bertanggungjawab membantu, membimbing dan menjaga kebajikan rakan-rakannya.

“Sebagai seorang ketua, saya perlu menguruskan tanggungjawab saya dan menjadi seorang pemimpin yang baik. Pada masa yang sama, saya juga mahu mengekalkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan saya. Walaupun saya meragui kebolehan saya, saya memutuskan untuk mengekalkan pemikiran yang positif sepanjang program itu.

Saya benar-benar percaya bahawa sikap seseorang dan cara mereka berfikir, akan memberi kesan kepada tindakan atau hasil keputusan yang telah dibuat. Semasa berurusan dengan pelajar-pelajar lain, saya perlu bersikap objektif dan melayan semua orang dengan cara yang sama tidak kira sama ada mereka adalah kawan rapat saya ataupun tidak, dan saya perlu berkelakuan baik."

Momen lain yang membanggakan Gabriel adalah semasa beliau dan pasukannya mewakili MMU dalam pertandingan International Islamic University Malaysia Economics and Management Sciences Society (IIUM EMSS) International Challenge 2019. Gabriel dan pasukannya adalah antara 20 pasukan yang menyertai pertandingan tersebut termasuk pasukan-pasukan dari Indonesia dan Brunei. Pasukan-pasukan diberi cabaran untuk menyelesaikan masalah sebenar dengan mengaplikasikan teori ekonomi, perniagaan, perakaunan dan kewangan.

“Walaupun kami mendapat tempat keempat, ia merupakan satu pengalaman yang hebat kerana saya dapat belajar daripada ahli-ahli pasukan saya dan juga pasukan-pasukan lain," kata Gabriel.

Demi Membanggakan PIDM

Menurut Gabriel, beliau tidak pernah membayangkan dapat melakukan pelbagai perkara dalam tempoh yang singkat di kampus.

“Dulunya, saya sering berfikir bahawa hidup hanya untuk belajar dan mendapat kerja yang baik," ujar Gabriel. “Menerima biasiswa daripada PIDM telah memberi rangsangan kepada saya untuk melakukan semua perkara yang saya mahu lakukan dan lebih banyak lagi."

Sebagai pemegang biasiswa PIDM, Gabriel tidak teragak-agak untuk memainkan peranan sebagai duta PIDM. Sejak menerima biasiswanya pada tahun 2019, Gabriel telah menjadikannya sebagai satu misi beliau untuk menguar-uarkan peranan PIDM dalam sistem kewangan Malaysia setiap kali diberi peluang.

“Ramai orang tidak mengetahui mengenai PIDM atau fungsi insurans deposit. Saya mahu berkongsi pengetahuan ini bersama orang lain, jadi apabila pensyarah saya meminta saya melakukan pembentangan mengenai PIDM, saya terus mengambil peluang tersebut," jelas Gabriel.

Gabriel bakal menamatkan pengajiannya pada tahun 2022. Beliau merancang untuk bekerja dalam industri perkhidmatan kewangan namun mengimpikan untuk menjadi seorang penceramah motivasi satu hari nanti.

“Saya suka memberi dorongan, menaikkan semangat dan memberi inspirasi kepada orang lain. Suatu yang saya pelajari sebagai seorang pemegang biasiswa PIDM adalah untuk memberi semangat dan rangsangan kepada orang lain dalam usaha saya untuk mencapai kejayaan," kata Gabriel.
Share to