Sejak kecil, Nur Ietrah binti Sahrum telah mengenali keperitan hidup tanpa ibu bapa. Sejak kematian ibunya lapan tahun yang lalu, Ietrah dikejutkan semula oleh kehilangan pak ciknya yang menjaganya sepanjang waktu tersebut pada tahun lepas.
Ietrah ialah anak kedua daripada tiga adik-beradik; kakaknya ialah lepasan kolej dengan ijazah sarjana muda, manakala adiknya pula baru memasuki kelas Tingkatan Enam. Sejak kecil, Ietrah sudahpun belajar untuk berdikari dengan mengambil kerja sambilan untuk mengurangkan beban keluarga yang menjaganya.
Apabila musim cuti sekolah tiba, Ietrah akan mengambil kerja sambilan untuk menampung perbelanjaannya. Bukan itu sahaja, Ietrah juga mempunyai cita-cita untuk membuka perniagaannya sendiri, dan ini adalah satu cara untuknya mendapatkan pengalaman kearah impian tersebut.
Titik Permulaan Ke Impian Yang Besar
Ietrah kini sedang menduduki kursus ijazah perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, dan ialah seorang penerima program biasiswa sarjana muda PIDM. Sebelum ini, Ietrah juga telah melengkapkan kursus diploma perakaunan di UiTM Segamat.
Sejak di bangku sekolah lagi, Ietrah telah menunjukkan minat yang mendalam untuk subjek perakaunan. Ietrah sedar bahawa dengan ilmu tersebut, dia boleh mengorak langkah sendiri untuk berjaya dan menbantu keluarganya keluar dari hidup yang daif.
Dengan kecekalan dan semangat membara, Ietrah mula mempelajari apa-apa sahaja yang boleh membantunya membuka sebuah perniagaan yang berjaya. Di dalam kelas, Ietrah bukan sahaja mempelajari konsep-konsep perakaunan, tetapi juga cara menguruskan kos, audit, dan juga tingkah-laku organisasi.
“Kursus perakaunan yang ditawarkan di UiTM ini bukan sahaja baik untuk mempelajari cara-cara untuk mengimbangi akaun syarikat, tetapi juga cara untuk berinteraksi dengan para pekerja sebagai seorang majikan, dan mengetahui jika seseorang itu sesuai bekerja untuk organisasi anda.”
Apabila dia mempunyai masa lapang, Ietrah biasanya akan mengambil peluang tersebut untuk menelaah buku-buku perniagaan untuk meningkatkan lagi pengetahuannya. Pada waktu lain, Ietrah biasanya akan meluangkan masa untuk berjalan-jalan sekeliling kampus untuk menghirup udara segar.
Untuk Ietrah, program biasiswa ijazah ini telah membantunya merealisasikan impian akademiknya. Tetapi lebih daripada itu, program bimbingan PIDM juga memberi semangat untuk mencekalkan hatinya supaya terus menyambung pelajaran di waktu kematian pak ciknya.
“Saya sangat berterima kasih kepada mentor saya, Shwu Ying (Siew Shwu Ying ialah Pengurus Portfolio di Bahagian Penilaian dan Penyelesaian Risiko PIDM) yang telah memberikan saya pertolongan dan kata-kata semangat sepanjang waktu pembelajaran saya, dan juga di saat-saat genting selepas pak cik saya meninggal dunia”.
“Pada waktu itu, saya hampir berputus asa dan hanya berfikir untuk kembali ke keluarga saya. Shwu Ying telah menasihati saya untuk terus menyambung pelajaran supaya saya boleh membantu mereka untuk mencari nafkahselepas saya menerima ijazah kelak.”
Untuk bakal penerima biasiswa sarjana muda PIDM ini, Ietrah mengatakan bahawa langkah pertama untuk berjaya ialah untuk percaya bahawa anda boleh lakukan apa sahaja yang anda fikirkan.
“Secara jujurnya, apabila saya memohon untuk biasiswa PIDM ini, saya tidak pasti samada saya benar-benar layak untuk menerimanya atau tidak. Keputusan peperiksaan saya tidak begitu baik, dan saya sentiasa memikirkan tentang pemohon-pemohon lain yang mungkin lebih layak daripada saya.”
“Walaupun begitu, saya cekalkan hati saya, dan menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh panel biasiswa secara jujur. Apabila saya diberitahu bahawa saya layak menerima biasiswa tersebut, saya sangat bersyukur kerana ini bermaksud impian saya semakin hampir untuk direalisasikan.”
“Nasihat saya kepada anda ialah untuk percaya pada keupayaan diri sendiri. Kita mungkin menghadapi pelbagai kesukaran dalam hidup, tetapi ia boleh menjadi sebuah pengajaran yang berguna untuk masa hadapan jika kita cekal menghadapinya.”
Bercakap mengenai pelan masa hadapan, Ietrah berharap bahawa suatu hari nanti, dia boleh membuka rangkaian kedai pencetakan dalam-kampus.
“Dengan perniagaan ini, saya berharap saya boleh sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan para pelajar di universiti supaya ia boleh digunakan untuk perkara-perkara yang lebih penting.”