Sistem Perlindungan Patuh Syariah PIDM - Bahagian 2

Bahagian 2: Pengaturan Syariah bagi Sistem Insurans Deposit Islam (SIDI) PIDM

Dalam Bahagian 1, kami memberikan maklumat umum mengenai perlindungan deposit Islam berkaitan dengan peranan PIDM. Dalam artikel ini, kami akan berkongsi bagaimana PIDM mentadbir sistem insurans deposit patuh Syariah dalam sistem jaringan keselamatan kewangan.

Konsep Syariah perlu bagi SIDI untuk, antara lainnya, menggariskan terma-terma insurans deposit seperti hubungan antara PIDM dan institusi perbankan Islam ahlinya (IPIA), peranan setiap pihak dan bagaimana perlindungan deposit Islam dilaksanakan.

Sebagai perbandingan, konsep Syariah juga digunakan oleh institusi kewangan Islam seperti institusi perbankan Islam dan pengendali takaful untuk menggariskan hubungan dan terma-terma kontrak bagi produk dan perkhidmatan mereka.

PIDM mengguna pakai konsep Syariah “jaminan dengan fi” (atau kafalah bi al ujr dalam Bahasa Arab) bagi perlindungan deposit Islam di bawah SIDI.

Kesesuaian konsep ini ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (MPS), pihak berkuasa Syariah tertinggi yang memberikan fatwa mengenai perbankan Islam dan takaful di Malaysia. Di bawah konsep ini, SIDI berfungsi seperti berikut:
  • PIDM adalah penjamin. IPIA adalah pihak yang dijamin kerana ia mempunyai obligasi kewangan terhadap pendepositnya. Pendeposit adalah benefisiari kerana deposit mereka dilindungi oleh PIDM.
  • Apabila sesebuah IPIA gagal, atau dalam kata lain, muflis, PIDM akan melindungi deposit yang layak. Jika IPIA yang gagal itu akan dibubarkan, perlindungan deposit PIDM adalah dalam bentuk pembayaran balik kepada pendeposit yang dilindungi. Susulan pembayaran balik ini, PIDM boleh menampung semula kerugiannya akibat daripada pembayaran balik tersebut daripada penjualan aset IPIA yang gagal itu
  • Untuk PIDM menjamin obligasi kewangan IPIA terhadap pendepositnya, setiap IPIA perlu membayar fi bagi komitmen jaminan PIDM dalam bentuk premium tahunan. Premium yang diterima daripada semua IPIA disimpan dalam Dana Insurans Deposit Islam (DIDI) dan diasingkan daripada Dana Insurans Deposit Konvensional, yang dimiliki oleh PIDM.
Protection-System-Diagram-BM-2.png
Gambar rajah 1: Mekanisme SIDI, yang berasaskan kepada konsep kafalah bi al ujr (jaminan dengan fi)

SIDI mengalami evolusi berikutan pembangunan berterusan dalam sistem kewangan Islam dan ini mungkin membawa perubahan dalam ciri-ciri reka bentuk SIDI. Bagaimanapun, di sebalik perubahan yang perlu dibuat kepada ciri-ciri reka bentuk SIDI, PIDM akan memastikan perubahan itu selari dengan pengaturan Syariah yang telah diterima pakai.

Dalam Bahagian 3, kami akan menjelaskan jenis deposit Islam yang dilindungi oleh PIDM.

Sila klik di sini untuk memuat turun artikel.
Share to