Langkah-langkah tindak balas COVID-19 telah dibincangkan dalam sebuah webinar yang bertemakan
‘Business Unusual: Normal, Disrupt’ yang dianjurkan oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dengan kerjasama International Forum of Insurance Guarantee Schemes (IFIGS) baru-baru ini. Seramai 158 peserta daripada 20 pihak berkuasa telah menghadiri webinar tersebut.
Selepas kata-kata aluan Pengerusi IFIGS, penceramah-penceramah daripada Financial Stability Institute, Bank for International Settlements and the International Association of Insurance Supervisors, membentangkan respons kawal selia terhadap COVID-19 yang telah dilaksanakan dan mungkin akan diguna pakai pada masa hadapan. Berdasarkan pemerhatian penceramah, kebanyakan respons ini bertujuan untuk membolehkan syarikat insurans menguruskan pendedahan COVID-19 mereka dengan lebih baik dan mengekalkan kesinambungan perkhidmatan insurans.
Naib Pengerusi Pertama IFIGS kemudiannya membicarakan tentang tinjauan yang dilakukan mengenai respons yang telah diambil oleh anggota IFIGS untuk melengkapi langkah-langkah yang telah diambil oleh anggota jaring keselamatan kewangan yang lain dalam situasi COVID-19 ini. Memandangkan Skim Jaminan Insurans adalah untuk meningkatkan keyakinan dalam industri insurans, kebanyakan Skim Jaminan Insurans pantas dalam tindak balas mereka dengan mengaktifkan pelan kesinambungan perniagaan mereka dan menjalankan inisiatif komunikasi untuk meyakinkan orang awam. Mereka juga bekerjasama rapat dengan anggota jaring keselamatan kewangan lain dalam memantau perkembangan risiko lain.
Berikutan sesi pembentangan daripada Rakan Kongsi Utama Actuarial Partners Consulting serta penceramah-penceramah daripada Swiss Re, webinar tersebut diakhiri dengan sebuah perbincangan panel yang dikendalikan oleh Pengerusi IFIGS. Ahli-ahli panel tersebut membincangkan perspektif keseluruhan mereka mengenai prospek perniagaan bagi syarikat insurans dalam persekitaran pasca COVID-19. Di akhir penutup acara, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM meminta semua Skim Jaminan Insurans terus memainkan peranan penting mereka dalam menggalakkan kestabilan kewangan dalam persekitaran pasca COVID-19.
Webinar tersebut merupakan salah satu platform bagi ahli IFIGS untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan kepentingan dan cabaran bersama. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan IFIGS dalam menggalakkan kerjasama antarabangsa antara Skim Jaminan Insurans dan pemegang kepentingan yang lain. Sekiranya anda berminat untuk menjadi ahli IFIGS, sila hubungi IFIGS di
admin@ifigs.org untuk maklumat lebih lanjut.
Kiri atas, En. Rafiz Azuan Abdullah (Ketua Pegawai Eksekutif, PIDM), kanan atas, En. Alister Campbell (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Property and Casualty Insurance Compensation Corporation (PACICC) dan Pengerusi, IFIGS), kiri bawah, En. Zainal Abidin Mohd Kassim (Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Utama, Actuarial Partners Consulting, Malaysia), kanan bawah, En. Nikhil da Victoria Lobo (Eksekutif Pasaran Eropah Timur dan Selatan bagi Insurans Semula, Swiss Re)