Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) baru-baru ini menyumbangkan kit penjagaan diri kepada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia untuk diedarkan kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
Kit penjagaan diri ini dilengkapi dengan pelitup muka dan pensanitasi tangan (hand sanitiser) supaya penerima-penerima kit ini dapat terus melindungi diri mereka daripada dijangkiti virus COVID-19.
“Kami berharap sumbangan kecil ini berguna dalam mencegah penularan virus COVID-19 dalam komuniti-komuniti sekeliling kami,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
Menurut beliau, PIDM akan terus menyokong dan membantu golongan OKU penglihatan. PIDM akan bekerjasama dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia dalam membangunkan modul asas pengurusan kewangan peribadi serta inisiatif lain untuk golongan OKU penglihatan. Tujuan kerjasama ini adalah untuk membantu mereka meningkatkan daya tahan kewangan mereka pada jangka masa yang panjang.
Komuniti OKU penglihatan perlu menggunakan deria sentuhan bagi pekerjaan mereka dan disebabkan itu, sumber pendapatan golongan ini terjejas kerana penjarakan sosial dan perintah kawalan pergerakan akibat penularan pandemik COVID-19. Menurut Yayasan Orang Buta Malaysia, 95% komuniti OKU penglihatan di Lembah Klang tergolong dalam kumpulan pendapatan B40.