Pada 6 November 2020, lebih daripada 100 peserta daripada 12 penginsurans deposit di rantau Asia Pasifik menghadiri sebuah webinar yang bertajuk ‘A Deep-Dive into the Differential Premium System’. Webinar yang dianjurkan oleh Korea Deposit Insurance Corporation membincangkan bagaimana Sistem Premium Berbeza (Differential Premium System) berfungsi sebagai insentif polisi yang berkesan untuk menggalakkan amalan pengurusan risiko yang lebih baik oleh bank-bank supaya sistem kewangan yang lebih stabil dapat dicapai.
Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), berkongsi tentang pengalaman Malaysia menggunakan Sistem Premium Berbeza sejak 15 tahun dahulu. Beliau juga membincangkan reka bentuk, fasa pematangan, isu-isu praktikal dan prospek masa hadapan sistem tesebut. Wakil dari Korea dan Taiwan turut membincangkan aspek teknikal Sistem Premium Berbeza secara mendalam temasuk prinsip-prinsip, petunjuk-petunjuk, sistem skor dan cabaran pelaksanaan.
Di akhir acara tersebut, Rafiz menggalakkan para peserta untuk memajukan rangka kerja Sistem Premium Berbeza mereka melalui “Change, Creativity, and Collaboration”. Menurut beliau, krisis COVID-19 yang berpanjangan ini memberikan peluang yang baik bagi penginsurans deposit untuk memikirkan, mengesahkan dan menetapkan semula Sistem Premium Bebeza supaya ia dapat terus menjalankan fungsinya pada masa hadapan. Dalam persekitaran yang tidak menentu, Sistem Premium Berbeza harus kekal relevan.
Ketika krisis berlaku, Sistem Premium Berbeza mungkin perlu dikaji semula dengan tujuan untuk menangani risiko-risiko sistem kewangan yang baru muncul, kewujudan isu procyclicality, potensi integrasi pertimbangan-pertimbangan berkaitan dengan resolusi (loss given default), dan perkara-perkara lain.
COVID-19 telah memberikan cabaran kepada PIDM dalam menzahirkan idea dan penyelesaian secara kreatif tetapi pragmatik. Pada masa yang sama, penglibatan bersama penyelia bank, pihak berkuasa lain dan seluruh industri kewangan adalah penting. Ini adalah kerana kerjasama dengan pemegang-pemegang kepentingan merupakan langkah utama dalam mencapai Sistem Premium Berbeza yang inovatif dan dapat terus menyokong keteguhan sistem kewangan dalam pelbagai situasi.