Pada 9 Jun 2020, sebuah webinar yang bertemakan “Preparing Our Path to the New Normal” telah dihadiri oleh lebih 160 pegawai kanan dan kakitangan daripada 13 penginsurans deposit di rantau Asia Pasifik. Webinar ini dianjurkan oleh Korea Deposit Insurance Corporation (KDIC) dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dengan kerjasama International Association of Deposit Insurers (IADI) dan World Bank Group (World Bank).
Penceramah daripada IADI, World Bank, Bank for International Settlements (BIS) dan penginsurans deposit di rantau Asia Pasifik membincangkan perkembangan semasa dan perspektif baru dalam sektor kewangan dan implikasinya terhadap penginsurans deposit pada masa hadapan.
Webinar tersebut meneliti respons polisi antarabangsa oleh penginsurans deposit terhadap krisis pandemik COVID-19 dan bidang-bidang yang perlu diberi keutamaan pada masa hadapan seperti pengurusan krisis, kesedaran awam mengenai deposit insurans dan pembayaran balik deposit. Trend terkini turut diperbincangkan termasuk persekitaran baharu perbankan runcit dan opsyen polisi yang berkaitan untuk insurans deposit. Memandangkan Malaysia dan negara-negara lain kini memasukki fasa pemulihan krisis, para penginsurans deposit terus berusaha meningkatkan tahap kesediaan operasi dari segi teknologi dan komunikasi krisis, serta melalui kajian semula polisi berterusan.
Webinar ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Research Technical Committee di bawah IADI Asia Pacific Regional Committee (APRC RTC) yang bertujuan menyokong para penginsurans deposit dalam memperkukuhkan kestabilan sistem kewangan dan memelihara keyakinan masyarakat umum terhadap sistem insurans deposit di rantau Asia Pasifik.
APRC RTC dipengerusikan oleh En. Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, manakala IADI Asia Pacific Regional Committee dipengerusikan oleh En. Seongbak Wi, Pengerusi dan Presiden KDIC.
Kiri atas, En. Seongbak Wi (KDIC), kanan atas, En. Rafiz Azuan Abdullah (PIDM), kiri bawah, En. David K. Walker (IADI), kanan bawah, Dr. Hassan Zaman (The World Bank Group)