Pendeposit insurans Asia Pasifik membincangkan pengukuhan peranan insurans deposit

Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) baru-baru ini membincangkan peranan pendeposit insurans selepas COVID-19 di sebuah persidangan maya yang bertemakan “COVID-19 Legacy and Beyond: Building Operational Resilience and Recalibrating the Role of Deposit Insurance”.
 
Persidangan ini telah dianjurkan oleh PIDM sempena Mesyuarat Tahunan dan Persidangan Antarabangsa bagi Asia Pacific Research Committee (APRC) yang ke-19. APRC merupakan jaringan utama dalam kalangan ahli, pihak bersekutu dan rakan kongsi International Association of Deposit Insurers (IADI) di rantau Asia Pasifik bagi pertukaran maklumat dan pengetahuan untuk menambah baik lagi keberkesanan sistem insurans deposit.
 
Dalam ucapannya kepada 250 orang wakil daripada 17 bidang kuasa APRC, Pengerusi PIDM, Tan Sri Dr. Rahamat Bivi Yusoff berkata persidangan ini memberi peluang kepada pendeposit insurans untuk meneliti semula peranan insurans deposit bukan sahaja dalam masa terdekat dan jangka sederhana, tetapi juga dalam jangka panjang. Para peserta juga boleh menilai semula cabaran yang akan datang dan memikirkan cara untuk mengubah suai pendekatan keseluruhan yang diambil oleh pendeposit insurans dalam memenuhi mandat bagi menyumbang kepada sistem kewangan yang stabil.
 
Antara perkara yang dibincangkan pada hari pertama persidangan adalah implikasi digitalisasi dan fintech kepada pendeposit insurans, cabaran dan risiko baharu dalam sektor kewangan termasuk wang elektronik dan bank pencabar atau bank digital, serta peluang baharu untuk memanfaatkan teknologi bagi menambah baik daya tahan operasi dan kecekapan pendeposit insurans dalam memenuhi mandat mereka.
 
Penceramah pada hari kedua membincangkan beberapa trend mega jangka sederhana dan panjang yang relevan kepada deposit insurans seperti kemunculan mata wang digital bank pusat, risiko siber, penuaan populasi Asia dan perubahan tingkah laku konsumer kewangan. Persidangan diakhiri dengan sebuah perbincangan panel yang disertai oleh pendeposit insurans dari beberapa bidang kuasa, termasuk PIDM. Ia membincangkan keperluan untuk pengubahsuaian peranan pendeposit insurans sebagai respons kepada trend-trend mega ini.
 
Persidangan diakhiri dengan sebuah Dialog Ketua Pegawai Eksekutif yang dianjurkan oleh Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM. Dialog tersebut dihadiri hampir 50 orang pegawai kanan APRC. Forum peringkat tinggi ini dianjurkan untuk menukar pandangan dan strategi berkenaan prioriti urusan dan organisasi untuk mengatasi cabaran yang mungkin akan dihadapi oleh pendeposit insurans.
 
APRC merupakan salah satu daripada lapan jawatankuasa serantau yang ditubuhkan oleh IADI atas dasar kepentingan serantau dan penyelesaian isu-isu bersama melalui perkongsian dan pertukaran maklumat dan idea. Ia mempunyai 19 ahli termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Australia, Korea, Jepun, Taiwan, Russia, Kazakhstan, India dan Pakistan.

APAC-deposit-insurers-discuss-about-enhancing-the-role-of-deposit-insurance.png
Dari kiri:
  1. Tan Sri Dr. Rahamat Bivi Yusoff, Pengerusi, PIDM
  2. Seongbak Wi, Pengerusi, Asia Pacific Regional Committee dan President, Korea Deposit Insurance Corporation
  3. Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, PIDM
Share to