“Komunikasi ketika krisis (crisis communications) bukan penyelesaian pantas untuk sesuatu masalah yang rumit,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksektufi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dalam ucapan penutup beliau di webinar bertajuk ‘Inter-agency Knowledge Sharing Session: Crisis Communications’ baru-baru ini.
“Manual komunikasi ketika krisis yang paling komprehensif tidak menjanjikan sesuatu krisis dapat diuruskan secara lancar atau berjaya diselesaikan. Walau bagaimanapun, ia dapat menyediakan rangka kerja bagi pelbagai keputusan berkaitan pendekatan komunikasi ketika krisis dan mendorong pihak-pihak berkuasa untuk bertindak pantas apabila menghadapi kekangan masa, situasi yang tidak dijangka dan asimetri maklumat,” tambah beliau.
Webinar tersebut yang diadakan pada 14 September 2021 membincangkan koordinasi dalam komunikasi ketika krisis yang efektif dapat mengurangkan impak negatif kepada kestabilan kewangan. Ia dihadiri oleh lebih daripada 100 orang peserta daripada PIDM, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan pemerhati yang dijemput daripada International Association of Deposit Insurers (IADI).
Koordinasi dalam komunikasi ketika krisis penting untuk memastikan anggota jaringan keselamatan kewangan dapat bertindak balas secara pantas dan kohesif sewaktu krisis. Antara pembelajaran penting yang didapati daripada webinar termasuk:
- Mesej yang konsisten dan komunikasi yang jelas dapat membina kepercayaan pemegang kepentingan, terutamanya dalam krisis.
- Setiap pemegang kepentingan mempunyai isu-isu spesifik yang perlu diuruskan secara berasingan. Namun begitu, naratif yang disampaikan perlu konsisten untuk semua pihak.
- Pengalaman menunjukkan bahawa pemegang kepentingan tidak mempunyai reaksi yang tidak diingini sekiranya tindakan yang diambil adalah yang dijangkakan. Oleh itu, pengurusan jangkaan pemegang kepentingan adalah strategi penting dalam komunikasi ketika krisis.
Sesi perkongsian tersebut telah dikendalikan oleh Andrew Gracie, mantan Pengarah Eksekutif Resolusi di Bank of England. Setiap penceramah memberi tumpuan kepada pengalaman dalam bidang kuasa mereka dalam mengkoordinasi komunikasi ketika krisis, cabaran yang dihadapi dan bagaimana ianya diatasi, serta pembelajaran yang diperolehi melalui pengalaman-pengalaman tersebut.
Sesi ini didahului oleh sebuah sesi perkongsian yang telah diadakan pada bulan Julai tentang meningkatkan kesediaan menangani krisis menerusi latihan simulasi. Kedua-dua sesi anjuran PIDM ini merupakan antara inisiatif yang dirancang sepanjang tahun untuk meningkatkan kesediaan PIDM dalam menangani krisis, iaitu satu daripada tiga objektif strategik utama PIDM seperti yang digariskan dalam Rancangan Korporat 2021 - 2023.
Nama-nama penceramah:
- Jacques Botes, Ketua, Bahagian Perancangan Resolusi, South African Reserve Bank (SARB).
- João Marques, Ketua Bahagian, Jabatan Resolusi, Bank of Portugal.
- Professor Patrick Honohan, mantan Gabenor, Central Bank of Ireland.
- Atilla Arda, Pakar Kanan Sektor Kewangan, Kesediaan Krisis Kewangan, International Monetary Fund (IMF).
- Andrew Gracie, mantan Pengarah Eksekutif, Resolusi, Bank of England.