Meningkatkan kesediaan menangani krisis menerusi latihan simulasi


Dari kiri:
  1. Ruth Walters, Penasihat Kanan, Financial Stability Institute, Bank for International Settlements;
  2. Nadine Saryeddine, Pengarah, Crisis Simulations Centre of Excellence, Canada Deposit Insurance Corporation (CDIC);
  3. Ihda Muktiyanto, Pengarah, Pengurusan Risiko dan Perundangan, Sekretariat bagi Financial System Stability Committee, Indonesia;
  4. David Farelius, Penasihat Kanan, Riksbank, Sweden; dan
  5. Christopher Jackson, Ketua Bahagian, International Resolvability, Bank of England.


“Kekukuhan anggota jaringan keselamatan kewangan dalam keadaan krisis ditentukan oleh bahagian rantaian yang paling lemah,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dalam ucapan penutupnya di webinar bertajuk “Inter-agency Knowledge Sharing Session: Simulation Exercises” yang diadakan baru-baru ini.

“Perancangan rapi dan pelbagai sumber diperuntukkan untuk menjalankan simulasi supaya kita dapat mengenal pasti faktor atau bidang yang berisiko tinggi dan bagaimana kita boleh bekerjasama dalam membina kekuatan untuk melengkapi bidang tersebut. Langkah pertama untuk menanganinya adalah dengan membiasakan diri dengannya, walaupun ia hanya dalam situasi yang disimulasikan,” katanya.

Webinar itu disertai hampir 100 peserta daripada PIDM, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan Persatuan Penginsurans Deposit Antarabangsa (International Association of Deposit Insurers - IADI).

Kesediaan menangani krisis terus menjadi agenda penting bagi PIDM pada tahun 2021, seperti yang digariskan dalam Rancangan Korporat 2021 - 2023. Ini dapat dicapai menerusi dengan memastikan kesediaan dalaman yang tinggi dan memantapkan lagi koordinasi antara kalangan anggota jaringan keselamatan di Malaysia menerusi simulasi secara berkala.

Ruth Walters, Penasihat Kanan, Financial Stability Institute, Bank for International Settlements mengendalikan sesi perkongsian tersebut, yang telah membincangkan objektif, rancangan dan manfaat pelbagai simulasi yang berbeza.

Para penceramah daripada bidang kuasa lain turut berkongsi pengalaman mereka dalam merancang dan menyertai simulasi yang melibatkan pemegang kepentingan dalaman, antara agensi tempatan dan rentas sempadan.

Antara isu yang dibincangkan termasuk aspek simulasi dan pengujian yang berbeza, seperti membangunkan pendekatan berpusat dan programatik untuk menguji keupayaan dalam seluruh organisasi, prinsip-prinsip merancang simulasi antara agensi yang efektif, perancangan tadbir urus bagi simulasi yang melibatkan pelbagai pihak berkuasa, dan jenis latihan yang digunakan dalam konteks rentas sempadan.

Perbincangan panel turut dijalankan untuk menjawab pertanyaan para peserta berkenaan ukuran keberkesanan dan faktor-faktor kejayaan simulasi. Para penceramah juga berkongsi pandangan mereka mengenai cara-cara terbaik perancang simulasi boleh membuat susulan ke atas pelan tindakan hasil daripada simulasi antara agensi dan rentas sempadan.

Sesi perkongsian pengetahuan antara agensi seterusnya oleh PIDM dirancang diadakan pada September 2021.
 
Share to