Memahami elemen-elemen utama sistem insurans deposit Islam yang efektif dan bagaimana ia mencerminkan isu-isu yang khusus kepada perbankan Islam adalah penting kepada penginsurans deposit dalam usaha untuk menggalakkan kestabilan dan ketahanan dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.
Persatuan Penginsurans Deposit Antarabangsa (
International Association of Deposit Insurers - IADI), Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (
Islamic Financial Services Board - IFSB) dan Arab Monetary Fund (AMF) pada 2 Jun 2021, menerusi satu webinar, telah membincangkan tentang perbandingan antara ciri-ciri penting insurans deposit Islam yang efektif dan Prinsip Teras bagi Sistem Insurans Deposit Efektif (
Core Principles for Effective Deposit Insurance System) yang diguna pakai untuk sistem konvensional. Turut dikongsi juga pandangan mengenai pendekatan umum dan khusus ciri-ciri tersebut sebagai penanda aras untuk menyepadukan lagi insurans deposit Islam ke dalam kerangka antarabangsa bagi kestabilan kewangan.
Salah seorang daripada ahli panel, Mohd Sobri Mansor, Ketua Unit Syariah dan Pembangunan Mampan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), telah membentangkan ciri-ciri penting sistem insurans deposit Islam yang efektif dari segi isu-isu rentas sempadan dan peranan penginsurans deposit dalam perancangan luar jangka dan pengurusan krisis, terutamanya yang berkaitan dengan kekhususan perbankan Islam dan sistem insurans deposit Islam.
Sobri menekankan bahawa apabila terdapat kehadiran ketara bank Islam asing dalam sesuatu bidang kuasa, penginsurans deposit perlu menjelaskan tentang perlindungan bagi deposit Islam, termasuk akaun pelaburan. Ini amat penting memandangkan interpretasi Syariah mengenai perlindungan antara bidang kuasa tempatan dan asing mungkin berbeza.
Sobri juga menitikberatkan kepentingan perancangan luar jangka patuh Syariah dan pengurusan krisis bagi penginsurans deposit, kerana ini akan memastikan respons efektif kepada risiko dan kejadian sebenar ketika berlakunya kegagalan bank Islam. Pematuhan Syariah dapat dipastikan menerusi sistem tadbir urus Syariah yang komprehensif dan berfungsi dengan baik.
Inti pati penting daripada webinar itu adalah:
- Sistem insurans deposit Islam berpotensi untuk menggalakkan kestabilan dan ketahanan dalam industri perkhidmatan kewangan Islam dengan meningkatkan keyakinan pendeposit.
- Terdapat keperluan untuk melindungi kepentingan pendeposit di negara-negara yang mana kegagalan sesebuah bank Islam akan memberi impak yang ketara kepada keseluruhan sistem kewangan.
- Dalam senario kegagalan, langkah-langkah yang diambil oleh penginsurans deposit bagi bank Islam yang gagal mestilah sentiasa selari dengan prinsip-prinsip Syariah.
Industri perkhidmatan kewangan Islam mencatatkan pertumbuhan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melangkaui ekonomi-ekonomi yang majoriti penduduknya Muslim. Ia beroperasi di lebih 80 negara dan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan antara 10 dan 20 peratus.
Pembangunan prinsip teras bagi sistem insurans deposit Islam yang efektif adalah berdasarkan kepada Prinsip Teras bagi Sistem Insurans Deposit Efektif IADI yang sedia ada dan apabila selesai kelak, akan menjadi panduan bagi pembangunan dan pelaksanaan sistem insurans deposit Islam yang efektif.
Begitu juga di Malaysia, pelaksanaan sistem insurans deposit Islam bergerak seiring dengan Sistem Insurans Deposit Konvensional untuk menyediakan jaringan keselamatan kewangan komprehensif kepada semua pendeposit yang layak. Kedua-dua sistem itu ditadbir oleh PIDM.
Webinar itu dihadiri lebih 100 wakil daripada organisasi insurans deposit dan institusi multilateral dari seluruh dunia.