Webinar membincangkan risiko dan implikasi berkaitan iklim terhadap kestabilan kewangan

Kemampanan – sebagai satu konsep – boleh dirujuk kembali kepada Laporan Brundtland Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1987 yang bertemakan “Our Common Future”. Menjangkaui lebih dari tiga dekad kemudiannya, persoalan yang timbul adalah - bagaimana penginsurans deposit, pihak berkuasa resolusi dan skim jaminan insurans boleh membantu menangani risiko berkaitan iklim untuk melindungi kestabilan kewangan?

Pada 30 Mac 2021, PIDM menganjurkan satu webinar secara kerjasama dengan Korea Deposit Insurance Corporation (KDIC). Bertemakan “A Race Against Time – Climate-Related Risks and Financial Stability Implications”, webinar ini membincangkan tentang sifat kompleks yang ada pada risiko berkaitan iklim serta langkah-langkah praktikal yang boleh diambil untuk menangani cabaran tersebut. Seramai 160 peserta daripada 34 organisasi di seluruh dunia telah menyertai webinar ini dan mereka terdiri daripada penginsurans deposit daripada Persatuan Penginsurans Deposit Antarabangsa (IADI), Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik (APRC), ahli-ahli Forum Antarabangsa Skim Jaminan Insurans (IFIGS) serta pelbagai institusi lain.

Risiko berkaitan iklim dalam bentuk risiko fizikal, peralihan atau liabiliti, mempunyai kesan meluas dengan impak yang tidak dapat diramalkan ke atas sistem kewangan. Ini seharusnya mendorong tindakan segera, berlanjutan dan kolektif untuk menangani risiko sedemikian bagi jangkamasa sederhana dan panjang oleh peserta jaringan keselamatan kewangan dalam negara dan dengan sokongan kerjasama merentasi sempadan. Pandangan ini - yang diketengahkan oleh Seongbak Wi, Pengerusi APRC dan Presiden KDIC, serta Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM - memenuhi konteks meluas webinar ini.

Webinar ini yang dikendalikan oleh moderator memaparkan perbincangan antara empat ahli panel. Pelbagai perspektif yang berbeza dibentangkan mengenai gambaran strategik risiko berkaitan iklim dan cabaran-cabaran utama, peranan bank pusat, implikasi ke atas penginsurans deposit dan penilaian risiko iklim dalam sektor insurans.

Isu-isu yang dibincangkan termasuk potensi impak negatif risiko-risiko berkaitan iklim ke atas daya tahan sistem kewangan, terutamanya memandangkan jalinan interaksi kukuh antara sektor perbankan dan insurans (gambarajah di bawah menunjukkan saluran penghantaran antara kedua-dua sektor).


Climate-webinar-pic-1.png

Penginsurans deposit boleh mempertimbangkan respons terhadap risiko-risiko ini dari segi pemantauan risiko, pembiayaan, sistem premium berbeza (berasaskan risiko), operasi, pelaburan dan pengurusan dana penginsurans deposit, dan resolusi bank-bank bermasalah. Ahli panel juga sedia maklum tentang kemajuan ketara yang dicapai bank-bank pusat ASEAN, termasuk pembangunan taksonomi serantau bagi kewangan mampan.

Bagi sektor insurans, aspek polisi, keperluan kawal selia dan model penilaian dipertimbangkan. Ketika sesi soal jawab akhir, ahli-ahli panel dan para hadirin telah berinteraksi mengenai tindakan untuk meningkatkan kesedaran iklim dalam kalangan industri kewangan dan pemegang kepentingan, keprihatinan berhubung data dan pengukuran risiko, keseimbangan polisi dan isu-isu lain.

Kesimpulannya, topik mengenai risiko berkaitan iklim dalam sektor kewangan dijangka berkembang dengan meluas dan mendalam. Pada masa hadapan, perbincangan akan merangkumi tindakan praktikal yang boleh diambil oleh penginsurans deposit dan skim jaminan insurans. Penyelarasan secara strategik mengikut hubungan peserta sektor kewangan, strategi nasional dan inisiatif global juga perlu berlaku bagi menangani kebimbangan terhadap kestabilan kewangan. Pelan tindakan organisasi boleh digunapakai, bermula daripada asas penilaian kendiri hingga kepada mengemukakan hasil daripada inisiatif hijau, membina keupayaan intelektual dan mewujudkan jalinan kolaborasi.

Climate-risk-20webinar-20picture-20compilation.jpg

Dari kiri atas: Encik Seongbak Wi (Pengerusi dan Presiden KDIC dan Pengerusi IADI APRC), Encik Rafiz Azuan Abdullah (Ketua Pegawai Eksekutif PIDM dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Penyelidikan IADI APRC), Encik Raja Syamsul Anwar (Pengarah Jabatan Antarabangsa, Bank Negara Malaysia), Puan Afiza Abdullah (Pengurus Besar, Polisi dan Antarabangsa, PIDM dan Naib Pengerusi Pertama IFIGS), Encik Mark Lee (Ketua, Perkongsian Strategik dan Penyelidikan Gunaan, PIDM), Dr. Bert Van Roosebeke (Penasihat Kanan Polisi dan Penyelidikan, IADI), Encik. Jeffery Yong (Penasihat Kanan, Financial Stability Institute, Bank for International Settlements), Encik. Joseph Noss (Sekretariat, Financial Stability Board).
Share to