PIDM melancarkan Laporan Tahunan 2023

Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah melancarkan Laporan Tahunan 2023 yang mengetengahkan pencapaian dan kemajuannya berdasarkan Rancangan Korporat 2023 – 2025 bertemakan “Merealisasikan Kesediaan”. Berpaksikan Rancangan Korporat bertempoh tiga tahun, PIDM memberi tumpuan kepada tiga tonggak strategik yang mengutamakan kesediaan resolusi, sistem perlindungan konsumer kewangan yang efektif, dan pelaksanaan transformasi digital.
 
Pada tahun 2023, PIDM menumpukan usahanya ke arah mempertingkatkan persediaan bagi mengharungi landskap kewangan yang sentiasa berubah, di mana peristiwa penuh ketidaktentuan, ketidakpastian, kerumitan dan kesamaran (volatile, uncertain, complex and ambiguous – VUCA) kerap berlaku. PIDM sentiasa bersedia dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama bagi memastikan institusi ahlinya bersedia untuk melaksanakan resolusi dan pada masa yang sama, dapat mengekalkan keyakinan konsumer kewangan serta mempertahankan kestabilan sistem kewangan.
 
Sorotan Laporan Tahunan 2023 berdasarkan tiga tonggak strategik adalah seperti berikut:
 
Tonggak Strategik 1: Merealisasikan Kesediaan Resolusi dan Pengurusan Krisis
 
PIDM telah menganjurkan Simposium Resolusi Kebangsaan yang julung kali diadakan untuk memupuk kerjasama dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan pakar kawal selia dan pengamal industri serta melancarkan terbitan Kajian Kes Resolusi yang mengumpulkan pengalaman dan pembelajaran di peringkat global pada masa lalu sebagai rujukan masa depan. PIDM juga telah menerbitkan Peraturan Sistem Premium Berbeza (Differential Premium Systems – DPS) yang disemak semula pada bulan Julai 2023 dan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar, PIDM juga menerbitkan Nota Panduan Mengenai Pelaporan Peralihan untuk membimbing bank ahli tentang pengumpulan maklumat untuk petunjuk baharu bertumpuan resolusi. PIDM turut menerbitkan garis panduan perancangan resolusi bagi membantu bank ahlinya membangunkan keupayaan penting untuk menyokong pelaksanaan resolusi yang teratur, serta menjalankan latihan simulasi dan kerjasama antara agensi dalam meningkatkan kesediaan krisis.
 
Tonggak Strategik 2: Meningkatkan Keyakinan Terhadap Sistem Perlindungan PIDM
 
PIDM berjaya meningkatkan tahap kesedaran awamnya kepada 86% (berbanding 80% pada tahun 2022), hasil peningkatan aktiviti dalam platform digital dan media sosialnya serta penglibatan yang dipergiatkan bersama kumpulan pihak berkepentingan bersasar. Berdasarkan tinjauan kesedaran awam tahunan di seluruh negara, tahap pengetahuan dan pemahaman orang awam mengenai peranan PIDM dalam sistem kewangan juga bertambah baik dengan adanya komunikasi dan aktiviti penglibatan yang konsisten. PIDM menyokong agenda literasi kewangan melalui pelbagai inisiatif, termasuk kempen terasnya #SediaPayungKewangan dan program-program yang dijalankan bersama Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network – FEN).
 
Tonggak Strategik 3: Menjayakan Kesediaan PIDM melalui Keberkesanan Organisasi, Transformasi Digital dan Tadbir Urus Kukuh
 
PIDM kekal komited dalam membina tenaga kerja yang bersedia menerajui masa depan dan melaksanakan resolusi. Melalui inisiatif peningkatan kemahiran dan latihan semulanya, PIDM memperkenalkan rangka kerja pembelajaran dan pembangunan di seluruh peringkat korporat. PIDM juga menambah baik infrastrukturnya untuk bersedia menerajui masa depan dan memperkukuhkan kedudukan keselamatan sibernya supaya mampu menangani sebarang potensi ancaman siber. Selain itu, PIDM meningkatkan komitmennya terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat dengan menerapkan elemen kelestarian alam sekitar dalam pelbagai aktiviti korporatnya serta menganjurkan inisiatif dalaman berkaitan kitar semula.
 
Laporan Tahunan 2023 PIDM boleh didapati di www.pidm.gov.my/AR2023.
Share to