PIDM anugerah biasiswa kepada 23 pelajar di peringkat pengajian tinggi

207 siswazah telah menerima biasiswa sejak tahun 2010

Kuala Lumpur, 26 September 2022: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menganugerahkan biasiswa kepada 23 pelajar di bawah Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM baru-baru ini dalam satu majlis yang dihadiri oleh ahli keluarga, penerima biasiswa daripada program tahun lepas dan juga yang telah menamatkan pengajian, serta pengurusan kanan PIDM.
 
Program biasiswa PIDM telah memasuki tahun ke-13 sejak diperkenalkan pada tahun 2010 dan setakat ini, program tersebut telah menawarkan sebanyak 207 biasiswa untuk pelbagai kursus pengajian di peringkat pengajian tinggi.
 
Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM berkata, PIDM terus komited menyokong pelajar-pelajar Malaysia yang layak untuk meneruskan pendidikan pengajian tinggi mereka sehingga tamat pengajian. PIDM telah menerima 690 permohonan untuk program tahun ini.
 
“Sokongan ini telah berjaya membawa perubahan kepada kehidupan penerima biasiswa PIDM untuk melakar masa depan yang lebih cerah bagi diri sendiri dan keluarga selepas menamatkan pengajian.  Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM merupakan bukti komitmen kami dalam membangunkan tenaga kerja dan pemimpin masa depan. Kami berharap dengan memberi sokongan dan bantuan kewangan, mereka boleh mencapai cita-cita dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara,” kata Rafiz Azuan. 
 
Norazimah Binti Muhammad Rizuan dari Cheras, Kuala Lumpur, berkata beliau bersyukur kerana terpilih sebagai penerima biasiswa tersebut. Pendapatan keluarganya terjejas selepas kematian bapa tirinya baru-baru ini dan beliau berharap dapat membantu ibunya serta mengurangkan bebanan kewangan keluarga dengan penerimaan biasiswa tersebut.
 
“Keluarga saya banyak bergantung kepada arwah bapa tiri saya. Semasa beliau masih bersama kami, keluarga saya sangat gembira apabila mendapat berita tentang biasiswa tersebut. Saya amat menggalakkan para pelajar lain untuk memohon biasiswa ini dan memanfaatkan program yang disediakan sepenuhnya,” kata Norazimah, yang akan meneruskan pengajian beliau dalam Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
 
Aravind a/l Supramaniam, yang berasal dari Ipoh, Perak, berkata beliau mendapat tahu mengenai program biasiswa tersebut secara dalam talian dan gembira kerana telah mendengar nasihat rakan-rakannya yang lebih senior untuk memohon.
 
“Dengan adanya biasiswa ini, saya boleh fokus kepada pelajaran tanpa perlu merasa bimbang dan belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang jurutera Kecerdasan Buatan (AI) yang berjaya,” kata Aravind yang akan meneruskan pengajiannya dalam Ijazah Sains Komputer (AI) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
 
Low Jun Wai, yang mengikuti pengajian dalam Ijazah Sarjana Pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata beliau gembira terpilih menerima biasiswa tersebut kerana dapat membantunya membeli buku teks dan membayar yuran universiti. Memandangkan keadaan pendapatan keluarganya yang tidak stabil dan beliau juga ada dua orang adik perempuan yang masih belajar, Jun Wai kini boleh meringankan bebanan yang ditanggung kedua ibu bapanya.  
 
“Saya mempunyai impian menjadi seorang usahawan yang berjaya. Selain daripada biasisiwa ini, program mentor yang disediakan juga akan dapat membimbing saya semasa belajar. Jika berpeluang, saya ingin menjalankan latihan praktikal saya dengan PIDM dan menimba segala pengalaman penting sebelum saya memasuki dunia pekerjaan,” ujar Jun Wai.
 
Menerusi Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM, setiap penerima biasiswa akan menerima bantuan kewangan tanpa bon yang merangkumi yuran pendidikan, kos sara hidup dan bahan-bahan berkaitan pengajian. Selain menyediakan biasiswa, PIDM juga menawarkan sokongan dan bimbingan mentor yang terdiri daripada kakitangan PIDM dan alumni program biasiswa, serta peluang untuk menjalani latihan praktikal di PIDM. 
 
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM, sila layari  laman web PIDM.  Video mengenai penerima biasiswa kami boleh didapati  di sini.
 
Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat​,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.
Share to