PIDM dan MAB bangunkan modul literasi kewangan bagi komuniti orang buta

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) meneruskan kerjasama mereka dengan melancarkan modul literasi kewangan yang bertujuan meningkatkan pendedahan komuniti orang buta di Malaysia kepada pendidikan kewangan. Komuniti orang buta menghadapi kesukaran untuk mengakses bahan-bahan yang dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman mereka tentang kewangan.
 
“Sebagai pihak berkuasa yang dimandatkan oleh kerajaan untuk melindungi simpanan pendeposit dalam bank-bank ahli kami, kami amat memahami kesukaran yang dihadapi golongan kurang upaya penglihatan. Seperti mana orang lain, mereka juga perlu mendapat akses kepada pengetahuan bagi meningkatkan kesihatan kewangan dan juga daya tahan kewangan mereka,” kata Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi, Naib Presiden Eksekutif, PIDM.
 
Beliau menjelaskan, PIDM juga mengambil langkah untuk memastikan maklumat tentang  insurans deposit mampu diperoleh dengan mudah oleh orang buta. Laman web PIDM telah ditambah baik pada awal tahun ini bagi memudahkan mereka yang mengalami masalah penglihatan untuk menggunakannya.
 
“Kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan PIDM untuk memastikan komuniti orang buta juga celik kewangan. Sememangnya menjadi visi MAB agar mereka yang buta dan kurang upaya penglihatan mempunyai pengetahuan yang dapat membantu mereka menguruskan kewangan dan pendapatan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAB, George Thomas.
 
Modul literasi kewangan tersebut menjadi sebahagian daripada latihan yang perlu diikuti untuk mendapat Sijil Kemahiran Malaysia di MAB dan ia boleh didapati dalam format tulisan Braille dan CD (cakera padat) audio. Modul ini merangkumi topik tentang perancangan kewangan, belanjawan, pengurusan hutang, produk perbankan dan insurans, selain maklumat berkaitan sistem perlindungan PIDM dan penipuan kewangan.
 
CD berkenaan akan diedarkan kepada  para pelajar dan ahli MAB, serta sekolah dan perpustakaan yang mempunyai kemudahan bersepadu untuk orang buta. Individu buta yang bukan ahli persatuan juga boleh mendapat salinan CD berkenaan daripada MAB.
 
PIDM telah memberikan sokongan kepada MAB sejak tahun 2020, bermula dengan sumbangan 1,000 kit keselamatan kepada ahli persatuan tersebut bagi memastikan mereka dijauhi daripada penularan wabak COVID-19.
 
Tahun lepas, PIDM telah menaja pembelian 10 unit mesin taip tulisan Braille atau Perkins Brailler bagi  memudahkan para pelajar buta mengikuti kelas literasi dan komunikasi, serta  menaja 2,000 pek makanan untuk  penerima suntikan vaksinasi dan petugas barisan hadapan, selain 170 bakul makanan untuk keluarga orang buta.
 
PIDM  juga sedang melaksanakan kempen daya tahan kewangan #SediaPayungKewangan yang kedua sehingga 30 September 2022. Orang ramai dipelawa untuk mengambil bahagian dalam kempen berkenaan bagi meningkatkan kefahaman dan daya tahan kewangan. Laman mikro kempen ialah www.pidm.gov.my/SPK.


Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat​,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.
Share to