Kuala Lumpur, 7 Julai 2022: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) melaporkan tahap indeks kesedaran awam sebanyak 81% bagi tahun 2021, pencapaian yang tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 2005. Menurut
Laporan Tahunan PIDM 2021, yang dilancarkan hari ini, tahap kesedaran orang awam terus meningkat dari tahun ke tahun, berbanding 62% pada tahun 2019 dan 72% pada tahun 2020.
“Dalam usaha PIDM untuk memperkukuhkan sistem perlindungan konsumer kewangan dan rejim resolusi yang efektif, kami juga perlu memperkasa konsumer kewangan melalui program kesedaran dan literasi kewangan untuk terus mempertingkatkan keyakinan mereka terhadap sistem kewangan di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah.
Beliau turut berkata, “Menerusi aktiviti-aktiviti penglibatan awam dan program literasi kewangan serta kerjasama kami dengan Jaringan Pendidikan Kewangan, kami berhasrat untuk beralih daripada kesedaran asas kepada keyakinan terhadap PIDM dan sistem perlindungan yang kami tadbir, selain usaha untuk membina daya tahan konsumer kewangan melalui pengurangan jurang literasi kewangan.” Usaha ini merupakan salah satu tumpuan strategik PIDM selaras dengan teras strategik kedua Pelan Sektor Kewangan 2022 - 2026 untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan.
Susulan daripada kejayaan kempen daya tahan kewangan #SediaPayungKewangan pada tahun 2021 yang meraih capaian sebanyak 9.5 juta orang menerusi pelbagai saluran digital, PIDM bakal melancarkan kempen #SediaPayungKewangan 2.0 tidak lama lagi. Ini termasuk penerbitan siri video animasi baharu yang memaparkan ikon pengurusan kewangan yang baik PIDM iaitu
Chief BerUang, dan laman web mikro di mana orang awam boleh mendapat petua kewangan, pengetahuan serta aplikasi untuk menambah baik daya tahan kewangan mereka.
Laporan Tahunan PIDM 2021 juga mengetengahkan usaha berterusan PIDM dalam memenuhi mandatnya untuk menyediakan perlindungan deposit dan perlindungan manfaat takaful dan insurans kepada konsumer kewangan, serta peranannya sebagai pihak berkuasa resolusi bagi institusi ahlinya.
Ini termasuk usaha PIDM untuk menambah baik pengalaman pembayaran balik kepada pendeposit. Kerjasama PIDM dengan PayNet melalui platform pembayaran DuitNow membolehkan pembayaran balik deposit jika perlu. Sebagai ahli Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata PayNet, PIDM boleh melakukan pembayaran balik pukal dengan segera dan selamat melalui kaedah pembayaran DuitNow, dengan merujuk kepada proksi pendeposit berdasarkan nombor MyKad. Kaedah pembayaran DuitNow merupakan tambahan kepada kaedah pembayaran sedia ada untuk pendeposit yang terkesan.
Bagi memastikan kesediaan resolusi, PIDM akan mengeluarkan Draf Pendedahan Rangka Kerja Perancangan Resolusi yang memperincikan keperluan perancangan resolusi untuk bank ahli, yang dijangka akan dilancarkan pada tahun 2023. Ini adalah susulan program rintis perancangan resolusi yang telah dimuktamadkan pada tahun 2021.
Melangkah ke hadapan, tumpuan strategik PIDM boleh didapati dalam
Rancangan Korporat PIDM 2022 – 2024, yang merangkumi sesi penglibatan bersama pemegang kepentingan utama yang berterusan bagi mempertingkatkan kepercayaan dan keyakinan terhadap PIDM dan sistem kewangan. PIDM akan melancarkan sebuah video informasi baharu tentang perlindungan PIDM bagi konsumer kewangan dan peranannya sebagai salah satu pihak berkuasa dalam jaringan keselamatan kewangan.
Video sorotan Laporan Tahunan 2021 PIDM boleh didapati di laman web PIDM.
Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.