5 Tip Menarik Untuk Anda Urus Wang!

5 Tip Menarik Untuk Anda Urus Wang!
 
#1 Elakkan belanja berlebihan pada hari gaji
 
Elina, seorang event planner, berkongsi tips untuk mengurangkan perbelanjaan secara dorongan atau impulse: Elakkan belanja berlebihan pada hari gaji. Hari gaji di sini bermaksud apabila mendapat bayaran hasil gaji tetap mahupun ‘freelancer’ yang mendapat bayaran berdasarkan tugasan bebas mereka.
 
Alasan Elina cukup mudah. Lumrah manusia selalunya merasakan diri mereka lebih mewah setelah gaji masuk atau terima bayaran. Anda juga mungkin ‘terperangkap’ dengan pemikiran apa salahnya belanjakan untuk diri sendiri, bukan? Seperti yang pernah dialami Elina, satu pembelian kecil boleh jadi berganda sebab terlalu mengikut nafsu membeli yang akhirnya memudaratkan poket sendiri.
 
Keadaan sekeliling juga tidak membantu kerana kita terlalu terdedah dan mudah terpengaruh dengan promosi pelbagai jenama di media sosial dan platform membeli-belah atas talian. Asyik tengok promosi sana sini, tau tau dah pun terperangkap dan terbeli. Tambah pula dalam fikiran dah cakap ‘SAYA NAK BARANG TU!’  
 
Jika anda seseorang yang mudah terpengaruh dengan taktik ‘beli 1, percuma 1’ atau ‘potongan diskaun 50%’, elakkan situasi seperti ini. Tetapkan matlamat utama anda untuk membuat pembelian tertentu berdasarkan senarai pembelian yang telah dibuat.
 
Kesimpulannya, jika anda tidak mempunyai alasan kukuh untuk membeli – jangan buat pembelian tersebut.
 
Tip: Ingat selesaikan bayaran hutang dan ketepikan simpanan anda dahulu sebelum berbelanja pada hari gaji. Cara ini baik untuk masa depan anda J
 
#2 Manfaatkan barangan preloved
 
Anzalna (bukan selebriti yang anda sangkakan), ibu kepada 2 anak lelaki yang comel berkongsi rahsia bagaimana beliau menjana pendapatan sampingan melalui penjualan barangan preloved dalam talian. Baru-baru ini beliau berjaya menjual stroller bayi yang dibeli lima tahun lalu dengan harga RM300.
 
Dengan adanya pelbagai saluran transaksi jual beli seperti Mudah.my, Carousell, Ebay dan sebagainya, ini lebih memanfaatkan kita untuk menjual barangan terpakai dengan lebih mudah. Selain dapat menjana pendapatan, penjualan barangan preloved juga dapat membantu kita mengurangkan menyimpan barangan lama yang masih elok digunakan lagi. Contohnya, lebih baik jika anda menjual perkakasan rumah yang masih lagi berfungsi dengan baik dan tidak lagi digunakan daripada ianya terbiar simpan di dalam stor simpanan rumah anda.
 
Menurut beliau, barangan pembelian preloved mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat di luar sana kerana harganya yang jauh lebih berpatutan berbanding dengan harga barangan baru.
 
#3 Strategi ‘Bargain Hunter’
 
Menurut Bakri, seorang pemandu lori, beliau merupakan seorang ‘Bargain Hunter’ yang sering mencari potongan harga untuk memastikan perbelanjaannya sentiasa terkawal. Beliau sentiasa membeli barangan keperluan menggunakan harga diskaun dengan memanfaatkan pengunaan baucer yang beliau kumpul. Selain mendapat potongan harga beliau telah berjimat cermat!
 
Beliau juga mengamalkan pembelian barangan keperluan bersama dengan ahli keluarga atau rakan-rakannya secara pembelian pukal. Melalui perkongsian ini, di samping dapat berjimat cermat sesama mereka, beliau tidak perlu kerap keluar membuat pembelian serta dapat mengawal perbelanjaan membeli barangan yang tidak diperlukan.
 
#4 Tabung Hijau
 
Ming, seorang pemandu ‘ride hailing’ telah mengamalkan Tabung Hijau sejak enam tahun lalu. Tabung Hijau menurut Ming ialah tabung yang beliau amalkan untuk menabung kepingan RM5 yang beliau terima tunai ketika berbelanja atau berurusan dengan pelanggannya. Beliau mengkhususkan Tabung Hijau tersebut untuk tujuan yang spesifik seperti membeli perkakasan rumah, percutian atau sebagai tabung kecemasan.
 
Ini nampak mudah kan? Namun tabiat ini perlu konsisten agar ia dapat menjadi satu amalan tetap. Antara salah satu daripada perbelanjaan yang berhasil daripada Tabung Hijau beliau ialah set pinggan mangkuk yang telah lama beliau idamkan!
 
Ming juga mengajar anak-anaknya menabung dengan konsep ini.Untuk mendorong mereka, beliau sanggupmenyediakan ganjaran atau ‘reward’ sekiranya mereka berjaya mencapai matlamat yang telah mereka tetapkan.

#5 Menderma jika berpeluang
 
Hafiz, seorang ejen jualan produk manisan berkongsi pengalaman beliau menderma kepada golongan yang lebih memerlukan telah mengubah persepsi beliau terhadap wang. Beliau percaya amalan mulia ini, bukan sahaja dapat membantu lebih ramai orang yang berdepan dengan kesempitan wang malah ianya secara tidak langsung membantu beliau meningkatkan hasil jualan produk manisan yang diusahakannya. Menurut Hafiz, beliau sentiasa berasa amat teruja apabila dapat merasai sendiri kegembiraan si penerima setelah menerima bantuan yang diberikan walaupun ianya sedikit. 
 
Untuk lebih berdisiplin dalam menderma, Hafiz mengasingkan bajet tetap seperti RM10 setiap bulan untuk diberikan kepada sesiapa yang memerlukan. Kadangkala beliau berikan kepada anak kecil yang sedang membantu ibunya berniaga di pinggir jalan, ada kalanya beliau berikan kepada orang cacat penglihatan yang meminta bantuan.
 
Melalui perkongsian ini mungkin dapat membuka minda anda untuk menjadi lebih kreatif dalam mengawal perbelanjaan dan amalan menabung. Terdapat pelbagai cara yang boleh dipraktikkan untuk menyimpan dan tidak semestinya anda perlu mempunyai teknik asas sahaja. Oleh kerana anda lebih arif dengan transaksi wang harian anda maka penting untuk anda tahu bagaimana menguruskannya dengan lebih baik!
 
Share to