Ada beberapa benda yang kita perlukan: udara untuk bernafas, makanan untuk tenaga dan rumah untuk berteduh. Dan ada sesetengah benda yang kita mahukan: kasut baharu, Netflix atau menikmati stik sekali-sekala.
Apabila berkaitan dengan wang, cara terbaik untuk menguruskannya adalah dengan menyesuaikan kedua-dua keperluan dan kehendak kita ke dalam perancangan kewangan – lagipun, kita hanya manusia biasa!
Berikut adalah bagaimana anda belajar mengimbangi kedua-dua keperluan dan kehendak kewangan anda.
Apakah ‘keperluan’?
Keperluan adalah perbelanjaan yang penting bagi anda untuk hidup dan bekerja. Perbelanjaan ini biasanya mencakupi sebahagian besar daripada pendapatan anda.
Antara perbelanjaan di bawah kategori keperluan:
- Perumahan: bayaran sewa atau pinjaman
- Pengangkutan: pinjaman kereta, LRT, bahan api
- Utiliti: bil air bil elektrik dan bil telefon
- Makanan
- Insurans
Apakah ‘kehendak’?
Perbelanjaan yang boleh membuatkan hidup kita lebih selesa. Ia bukan sesuatu yang perlu bagi kelangsungan hidup, tetapi hidup akan menjadi lebih selesa dan menyeronokkan apabila anda memilikinya. Sebagai contoh, anda PERLU makan, tetapi memesan penghantaran makanan setiap hari adalah satu KEHENDAK*.
Perkara yang biasanya dikategorikan sebagai kehendak:
- Hiburan
- Langganan (contoh: keahlian gim, Netflix, PlayStation Plus, dan sebagainya)
- Melancong
- Pakaian berjenama
*Sila ambil perhatian apa yang anda kategorikan sebagai keperluan atau kehendak mungkin berbeza dengan individu lain. Bagi orang lain, memesan penghantaran makanan adalah satu KEPERLUAN kerana mereka mungkin tiada pilihan disebabkan batasan masa. Bagaimanapun, jika kita beri sedikit usaha dan kreativiti mungkin boleh mengubah sesuatu KEPERLUAN kepada TIDAK PERLU.
Ingat, kewangan peribadi adalah suatu yang PERIBADI. Lakukan apa yang terbaik bagi anda.
Bagaimana untuk mengimbangi keperluan dan kehendak anda
Langkah pertama adalah untuk menyenaraikan segala yang anda beli dan bayar – sekecil-kecil perkara seperti barang kelengkapan diri hinggalah sebesar-besar perkara seperti pinjaman perumahan anda.
Kemudian, tentukan setiap perkara itu berada dalam kategori mana: keperluan atau kehendak.
Selepas tentukan senarai keperluan, anda pasti dapat utamakan perbelanjaan dengan lebih mudah.
Jika anda sentiasa bergelut dengan masalah kewangan setiap bulan, cuba 3 langkah ini:
- Ubah kedudukan senarai: semak semula senarai tersebut. Mungkin sebahagian daripada keperluan sebenarnya satu kehendak.
- Kurangkan kehendak: kurangkan kehendak anda – tukar kasut sukan berjenama mewah kepada barangan yang sama kualiti tetapi berpatutan harganya.
- Kurangkan keperluan: dengan sedikit usaha anda boleh mengurangkan kos keperluan anda seperti mencari pelan telefon atau pelan insurans yang lebih mampu milik.
Adakah simpanan satu keperluan atau satu kehendak?
Jika anda adalah seorang ‘freelancer’ atau tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi, anda mungkin berdepan cabaran untuk merancang perbelanjaan kerana sumber pendapatan yang tidak konsisten. Kemungkinan anda juga tidak meneruskan niat menyimpan untuk jangka panjang seperti:
- Simpanan kecemasan
- Membayar hutang
- Simpanan bagi persaraan
Bagaimanapun simpanan adalah satu keperluan. Mula dengan jumlah yang lebih rendah – ingat, RM5 lebih baik daripada langsung tiada simpanan! Dan jika ada lebihan wang, ketepikan untuk simpanan supaya boleh membantu anda mencapai matlamat jangka panjang dengan lebih cepat.
💡Tip: Ingat, asingkan wang simpanan dan selesaikan hutang dahulu sebelum membelanjakan keperluan seperti sewa dan makanan. Amalan ini akan menjadi satu kebiasaan dan anda akan lebih konsisten dalam menyimpan. Ini juga dikenali sebagai “membayar diri sendiri terlebih dahulu”.