Berdikit-dikit Ke Arah Matlamat Kewangan Anda
Tidak dinafikan ramai menyimpan wang hanya apabila merasakan perlu membuat demikian. Malah, anda sendiri mungkin mempunyai matlamat kewangan yang diiginkan seperti merancang percutian dengan keluarga, memulakan perniagaan atau membeli rumah idaman anda. Tidak kiralah apa yang anda ingin lakukan, senaraikan semua matlamat anda dan simpan di tempat yang senang untuk anda lihat (untuk cara mudah mungkin simpan sahaja dalam dompet anda)
Dalam artikel ini kami akan kongsikan beberapa tip bagaimana untuk berdisiplin dalam mencapai senarai matlamat anda. Anda boleh ulanginya setiap minggu/bulan bila tiba waktu gaji atau terima bayaran.
1) Cipta ‘tabung’ untuk setiap matlamat
Katakan anda mempunyai tiga matlamat untuk dicapai, anda perlukan tiga buah ‘tabung’ berasingan. Sebagai contoh:
- Percutian dengan keluarga di Melaka (RM500)
- Tabung Kecemasan (RM5,000)
- Bayaran pendahuluan rumah pertama (RM30,000)
Di sini kita boleh lihat, percutian merupakan matlamat jangka pendek (boleh dicapai dalam masa 3 hingga 6 bulan). Manakala, matlamat kedua pula mempunyai tempoh sederhana (boleh dicapai dalam masa 1 hingga 2 tahun) dan yang terakhir majoriti memerlukan tempoh lebih dari 2 tahun.
Jumlah simpanan bagi setiap tabung bergantung kepada matlamat yang ditetapkan dan kemudiannya anda tentukan ‘bentuk tabung’ untuk menyimpan. Jika anda merancang menyimpan beberapa ratus ringgit, dengan menggunakan kotak kecil pun sudah memadai tetapi jika jumlahnya besar, lebih selamat simpan di bank.
Untuk simpanan bank, anda ada pilihan untuk membuka akaun baharu atau menggunakan akaun yang sedia ada. Ada yang berpendapat jika simpanan melibatkan jumlah yang besar contohnya untuk tujuan persaraan, melabur dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah pilihan yang lebih baik. Ini kerana cara pengeluarannya lebih remeh dan pulangan yang ditawarkan juga lebih baik berbanding akaun simpanan biasa.
Simpanan bulanan diasingkan mengikut matlamat jangka pendek dan panjang
Katakan anda memperuntukkan RM300 daripada jumlah pendapatan untuk disimpan pada bulan ini, anda harus membahagikan jumlah tersebut untuk ketiga-tiga matlamat jangka pendek dan panjang berdasarkan keutamaan anda. Dalam contoh ini, mungkin RM60 diperuntukkan sebagai simpanan untuk percutian keluarga ke Melaka, RM120 bagi tabung kecemasan manakala RM120 lagi untuk disimpan sebagai wang pendahuluan rumah pertama anda.
Jumlah simpanan tabung perlu sesuai dengan matlamat simpanan anda mengikut tempoh yang anda sasarkan. Mungkin dalam bulan-bulan tertentu anda ingin menambah jumlah simpanan untuk jangka pendek kerana keperluan untuk membelikan hadiah ulang tahun buat ibu atau pasangan. Tidak perlu ragu-ragu untuk berbuat demikian tetapi sebaik sahaja matlamat itu dipenuhi, anda harus kembali menyimpan mengikut jumlah simpanan yang ditetapkan sebelum ini.
💡 Tip : Jika anda rasa tidak cukup berdisiplin untuk menyimpan wang secara konsisten bagi satu tempoh yang panjang setelah terima gaji atau bayaran, anda mungkin boleh membuat pindaan automatik dari akaun bank ke dalam pelaburan/akaun ASB, serta akaun KWSP anda.
2) Beri ganjaran kepada diri sendiri, anda layak mendapatkannya!
Tentunya anda masih ingat lagi sewaktu kecil, ibu bapa menjanjikan gula-gula atau sejumlah wang (untuk membeli gula-gula) sebagai ganjaran sekiranya anda berkelakuan baik.
Kita lebih terdorong mengekalkan sikap atau tabiat yang baik sekiranya diberikan ganjaran untuk berbuat demikian. Kaedah yang sama boleh menjadi motivasi kepada diri sendiri untuk mengamalkan tabiat menyimpan dan mendapat ganjaran jika anda berjaya mencapainya. Contohnya, matlamat anda untuk mencapai jumlah RM5,000 tabung kecemasan. Bukan mudah untuk kekal menyimpan dalam satu tempoh yang panjang tetapi jika anda berjaya kenapa tidak raikannya untuk mengurangkan tekanan. Contohnya, setiap kali anda berjaya menyimpan wang sebanyak RM1,000, sebagai ganjaran kepada diri sendiri raikannya dengan ‘
bubble tea’ atau keluar menonton wayang bersama kawan-kawan.
Ganjaran sebegini mungkin mampu mendorong anda untuk terus menyimpan wang. Selain itu anda juga boleh menggunakannya untuk mengubah tabiat-tabiat lain seperti mengelakkan diri daripada menghabiskan masa di media sosial atau menggalakkan diri untuk bangun awal pagi atau mengekalkan rutin sihat.
3) Renung matlamat anda dan bayangkan kejayaannya
Tidak dinafikan agak sukar untuk mengekalkan motivasi diri dalam usaha mencapai matlamat yang anda tetapkan. Namun anda tidak perlu risau, jika ia membebankan keluarkan senarai matlamat yang dibuat sebelum ini dan anda boleh menelitinya kembali.
Tidak kiralah di mana anda berada (kecualilah di tempat atau waktu yang boleh mengundang bahaya), cuba pejamkan mata anda dan bayangkan kehidupan anda selepas berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan. Tentunya seronok melihat senyuman pada wajah yang tersayang ketika bercuti atau memberikan hadiah kepada mereka. Kehidupan hari tua anda juga lebih mudah kerana boleh membeli apa sahaja barangan yang diingini. Ini hasil pilihan bijak yang anda lakukan bermula sekarang.
Dengan membayangkan apa yang anda boleh capai, ia mampu mengelakkan diri agar tidak tersasar daripada matlamat yang ditetapkan. Anda tidak mudah tergoda untuk memiliki gajet baharu, membeli tudung baharu atau melanggan perkhidmatan digital premium lain yang tidak perlu.
Dengan membayangkan matlamat yang ingin dicapai, ia menjadi motivasi luar biasa kepada diri anda. Cubalah sendiri!
4) Pengaruh rakan/kelompok yang sama
Sebenarnya rakan atau kelompok memiliki pengaruh besar terhadap tingkah laku anda. Jika anda berada dalam kalangan mereka yang gemar berbelanja, anda akan terdorong melakukan perkara yang sama. Bukan kami meminta anda meninggalkan rakan yang sedia ada, namun jika anda boleh mengawal perbelanjaan ketika bergaul dengan mereka, ia satu perkara yang baik. Jika anda tidak mampu, anda mungkin perlu menjadi lebih selektif dalam memilih rakan-rakan supaya tidak menjadi boros apabila bergaul dengan mereka.
Sekiranya anda ingin memperbaiki tabiat menyimpan, anda perlukan sokongan rakan yang boleh bertindak sebagai ‘
peer pressure’ supaya anda mampu mengekalkan tabiat menyimpan dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.
Memang tidak dinafikan, kebanyakan orang menyimpan wang untuk mendapatkan apa yang dihajati. Cuba tanya kepada diri anda, apa yang anda inginkan. Mempertahankan matlamat tidak mudah, namun dengan kumpulan sokongan yang betul dan sistem yang teratur, pengorbanan anda pasti tidak sia-sia.
Sekarang mudah saja untuk anda sertai kelompok ‘celik kewangan’. Anda juga boleh melanggan kandungan digital (seperti ini 👍) atau melayari blog berkaitan pengurusan wang atau kunjungi media sosial tertentu yang menawarkan akses komuniti kewangan seperti
Ringgit Oh Ringgit atau
Multiply.org dan menyertai mereka yang mempunyai matlamat kewangan sama dengan anda.
Kami yakin anda boleh berjaya dan mencapai matlamat yang diimpikan. Semoga berjaya! 💪