PIDM Meminta Orang Ramai Berwaspada Terhadap Penipuan Pembayaran Perlindungan

Kuala Lumpur, 16 October 2017: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak atas sebarang permintaan untuk pembayaran atau pindahan wang bagi tujuan membayar perlindungan yang disediakan oleh PIDM.

“Kami ingin menekankan bahawa perlindungan yang disediakan untuk pendeposit, pemilik sijil takaful dan polisi insurans adalah automatik. PIDM tidak meminta sebarang pembayaran daripada orang ramai," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rafiz Azuan Abdullah.

PIDM telah dimaklumkan mengenai insiden baru-baru ini di mana orang awam telah dihubungi oleh pihak-pihak yang kononnya mewakili pelbagai organisasi meminta bayaran bagi perlindungan yang disediakan oleh PIDM.
“Sila hubungi pusat panggilan kami di talian 1800-88-1266 untuk mendapatkan penjelasan atau emel kepada kami di info@pidm.gov.my. Kami juga mengingatkan orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat kewangan mereka, terutamanya akaun bank atau butiran kad kredit mereka kepada pihak ketiga," kata Rafiz.

PIDM adalah agensi Kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta PIDM untuk mentadbir Sistem Insurans Deposit (DIS) dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS).

PIDM melindungi pendeposit, sama ada individu atau perniagaan, terhadap kehilangan simpanan bank mereka yang diinsuranskan dan pemilik sijil takaful dan polisi insurans terhadap kehilangan manfaat takaful dan insuran mereka yang layak, sekiranya berlaku kegagalan institusi ahlinya, yang terdiri daripada bank perdagangan dan bank Islam, serta syarikat insurans dan pengendali takaful.

Bagi maklumat lanjut mengenai sistem perlindungan yang ditadbir oleh PIDM dan senarai institusi ahli, hubungi pusat panggilan kami di talian 1800-88-1266 atau layari laman web kami di www.pidm.gov.my.

 

Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:

Sarina Ariffin, Pemangku Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7457; 012-3475014; Emel: sarina@pidm.gov.my)

Mimi Rashid, Pengurus Kanan, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2265 4622; Emel: mimifaizura@pidm.gov.my)

MENGENAI PIDM

PIDM mentadbir Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans berkanun di Malaysia. Menerusi sistem-sistem ini, pendeposit serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans kini menikmati perlindungan yang eksplisit dan tertakluk pada undang-undang bagi deposit bank serta manfaat takaful dan insurans mereka yang layak.

Bagi maklumat lanjut:

 

Share to