PIDM mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi Yusoff sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah

Kuala Lumpur, 3 Ogos 2017: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi Yusoff sebagai Pengerusi Lembaga Pengarahnya bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa dari  15 Ogos 2017.  Beliau akan menggantikan Tan Sri Datuk Dr. Abdul Samad Haji Alias, yang telah tamat perkhidmatnya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah PIDM. 

Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi menganggotai Lembaga Pengarah PIDM dari Januari 2012 hingga 2017, dan merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi. Sebelum itu, beliau merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, yang bertanggungjawab bagi Bahagian Sistem dan Kawalan.

Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi memegang ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi) (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia dan  ijazah Sarjana Ekonomi dari Western Michigan University, Amerika Syarikat. Beliau dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Australian National University, Australia.

Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi menganggotai Lembaga Pengarah Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand. Beliau juga merupakan ahli Majlis Penasihat Penyelidikan Perbadanan Nasional Bhd.

“Perancangan yang efektif dan pelaksanaan penggantian kepimpinan yang lancar adalah penting bagi kejayaan berterusan Perbadanan. Perancangan bagi penggantian dan peralihan kepimpinan Lembaga Pengarah telah menjadi sebahagian tumpuan utama untuk  beberapa tahun. Saya gembira menyerahkan kepimpinan Lembaga Pengarah kepada Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi, yang membawa kepakaran serta wawasan global kepada Lembaga Pengarah untuk fasa pembangunan seterusnya," kata Tan Sri Datuk Dr. Abdul Samad Haji Alias.

Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi berkata, “Lembaga Pengarah ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Datuk Dr. Abdul Samad Haji Alias atas kebijaksanaan, bimbingan dan sumbangan beliau yang tidak ternilai. Beliau terkenal dengan integriti dan semangat tingginya dalam melaksanakan tadbir urus dan telah memastikan Lembaga Pengarah yang mantap dan efektif di bawah kepimpinannya. Kami mengharapkan yang terbaik dalam segala urusan beliau pada masa depan".

Dengan pelantikan baharu ini, ahli Lembaga Pengarah PIDM terdiri daripada:

  • Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi Yusoff (Pengerusi)
  • Datuk Muhammad bin Ibrahim (Gabenor Bank Negara Malaysia) – ex officio
  • Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) – ex officio
  • Encik Alex Foong Soo Hah
  • Encik Mohamad Abdul Halimbin Ahmad
  • Dato’ Dr. Gan Wee Beng
  • Dato Dr. Nik Ramlah Mahmood
  • Encik Johan Mahmood Merican
  • Puan Gloria Goh
 

Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:

Syed Mohammed Idid, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7455; 012-3430848; Emel: syedidid@pidm.gov.my)

Mimi Rashid, Pengurus Kanan, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7570; Emel: mimifaizura@pidm.gov.my)

MENGENAI PIDM

PIDM mentadbir Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans berkanun di Malaysia. Menerusi sistem-sistem ini, pendeposit serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans kini menikmati perlindungan yang eksplisit dan tertakluk pada undang-undang bagi deposit bank serta manfaat takaful dan insurans mereka yang layak.

Bagi maklumat lanjut:

 

Share to