PIDM mengumumkan pelantikan Rafiz Azuan Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif

Kuala Lumpur, 3 Ogos 2017: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini mengumumkan pelantikan Rafiz Azuan Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa dari 28 Ogos 2017.

“Saya gembira bahawa Menteri Kewangan, atas syor Lembaga Pengarah telah melantik Rafiz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif,”  kata Tan Sri Datuk Dr. Abdul Samad Alias, Pengerusi PIDM.

“Pelantikan beliau adalah hasil proses perancangan penggantian Ketua Pegawai Eksekutif yang diterajui oleh Lembaga Pengarah mulai tahun 2013. Proses ini memastikan peralihan kepimpinan yang lancar, yang mana penting dalam mengekalkan pasukan pengurusan yang mantap. Lembaga Pengarah yakin bahawa Rafiz berupaya mengambil alih tanggungjawab kepimpinan dan terus memajukan PIDM,” tambah Tan Sri Samad.

Rafiz akan menggantikan Jean Pierre Sabourin, Ketua Pegawai Eksekutif  pengasas yang akan bersara pada 27 Ogos 2017, selepas 12 tahun menyumbang khidmat cemerlang bersama Perbadanan.  

Rafiz berkhidmat dengan PIDM sejak tahun 2007 dan ketika ini menyandang jawatan Pengurus Besar Eksekutif. Sebelum  ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengurus Besar, Bahagian Insurans, Penilaian dan Pemantauan Risiko. Di bawah kepimpinan beliau, Perbadanan telah membangunkan dan melaksanakan Sistem Penilaian Risiko dan Sistem Levi Berbeza bagi ahli penginsurans.

Di peringkat antarabangsa, Rafiz adalah ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Penginsurans Deposit Antarabangsa  (International Association of Deposit Insurers - IADI). Beliau juga adalah Pengerusi Kumpulan Insurans Deposit Islam IADI yang memberi tumpuan kepada pembangunan prinsip teras bagi sistem insurans deposit Islam yang efektif.

Sebelum menyertai PIDM, Rafiz berkhidmat selama 10 tahun di Agensi Penarafan Malaysia (Rating Agency Malaysia - RAM), dengan pengkhususan dalam penarafan institusi kewangan, hartanah, serta syarikat perladangan dan pembinaan.

Rafiz merupakan lepasan ijazah dari Lancaster University, United Kingdom pada tahun 1995, dengan pengkhususan dalam Perakaunan dan Kewangan. Beliau kemudiannya memperoleh kelayakan perakaunan profesional (Association of Chartered Certified Accountants – ACCA) di Emile Woolf College, London, United Kingdom.

 

Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:

Syed Mohammed Idid, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7455; 012-3430848; Emel: syedidid@pidm.gov.my)

Mimi Rashid, Pengurus Kanan, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7570; Emel: mimifaizura@pidm.gov.my)

MENGENAI PIDM

PIDM mentadbir Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans berkanun di Malaysia. Menerusi sistem-sistem ini, pendeposit serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans kini menikmati perlindungan yang eksplisit dan tertakluk pada undang-undang bagi deposit bank serta manfaat takaful dan insurans mereka yang layak.

Bagi maklumat lanjut:

 

Share to