Kuala Lumpur, 25 Januari 2017: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini mengumumkan pelantikan Encik Johan Mahmood Merican dan Puan Gloria Goh menyertai Lembaga Pengarahnya (Lembaga).
Encik Johan kini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Modal Insan) Unit Perancang Ekonomi (UPE), jawatan yang disandangnya sejak Jun 2016. Sebelum pelantikan jawatannya sekarang, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) sejak penubuhannya pada Januari 2011, dengan tujuan merangsang perkongsian awam-swasta bagi memenuhi keperluan modal insan Malaysia. Antara tahun 2004 dan 2010, beliau merupakan Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan dan kemudiannya, di UPE, dengan tumpuan terhadap pembangunan dasar. Beliau telah bekerja di sektor swasta selama sembilan tahun dan memegang beberapa jawatan dalam bahagian kewangan korporat dan perakaunan di MRCB, Sime Darby dan PricewaterhouseCoopers.
Encik Johan adalah Akauntan Bertauliah terlatih dan ahli Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW). Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada University of Cambridge, United Kingdom.
Puan Goh adalah rakan kongsi yang telah bersara dari Ernst & Young, Malaysia dan merupakan bekas Ahli Majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Persekutuan Akauntan ASEAN. Beliau juga adalah bekas presiden Persatuan Audit dan Kawalan Sistem Maklumat (ISACA) Bahagian Malaysia. Beliau kini merupakan Ahli Lembaga Penasihat Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, University of Melbourne, Australia.
Puan Goh merupakan ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), Felo Certified Practising Accountant (CPA) Australia dan ahli MIA. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Kepujian) daripada University of Melbourne, Australia.
Tan Sri Datuk Dr. Abdul Samad Haji Alias, Pengerusi PIDM, berkata, “Kami berbesar hati mengalu-alukan individu-individu yang sangat dihormati ini menyertai Lembaga Pengarah PIDM. Pengalaman professional mereka yang luas serta kepakaran dalam bidang masing-masing akan membawa perspektif berwawasan kepada Lembaga Pengarah dan kami berharap untuk mendapat manfaat daripada bimbingan mereka”.
Pelantikan baharu ini adalah bagi tempoh tiga tahun dan untuk mengisi kekosongan jawatan berikutan persaraan dua ahli Lembaga Pengarah, Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi Yusoff dan Encik George Anthony David Dass.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Rahamat dan Encik Dass atas sumbangan dan sokongan padu mereka semasa bersama PIDM. Kami mengharapkan yang terbaik dalam usaha mereka pada masa hadapan,” kata Tan Sri Datuk Dr. Abdul Samad.
Dengan pelantikan baharu ini, ahli-ahli Lembaga Pengarah PIDM terdiri daripada:
- Tan Sri Datuk Dr. Abdul Samad Haji Alias (Pengerusi)
- Datuk Seri Muhammad bin Ibrahim (Gabenor Bank Negara Malaysia) – ex officio
- Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) – ex officio
- Encik Alex Foong Soo Hah
- Encik Mohamad Abdul Halim bin Ahmad
- Dato’ Dr. Gan Wee Beng
- Dato Dr. Nik Ramlah Mahmood
- Encik Johan Mahmood Merican
- Puan Gloria Goh
Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
Syed Mohammed Idid, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7455; 012-3430848; Emel: syedidid@pidm.gov.my)
Mimi Rashid, Pengurus Kanan, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7570; Emel: mimifaizura@pidm.gov.my)
|
MENGENAI PIDM
PIDM mentadbir Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans berkanun di Malaysia. Menerusi sistem-sistem ini, pendeposit serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans kini menikmati perlindungan yang eksplisit dan tertakluk pada undang-undang bagi deposit bank serta manfaat takaful dan insurans mereka yang layak.
Bagi maklumat lanjut: