PIDM menerbitkan Laporan Tahunan 2016 - Terus meningkatkan kesediaan organisasi

Kuala Lumpur, 25 Januari 2017: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)  menerbitkan Laporan Tahunan 2016 dan mengumumkan keputusan daripada usaha berterusan PIDM dan kejayaannya dalam menyempurnakan inisiatif-inisiatif yang digariskan dalam Rancangan Korporat 2016–2018 mengikut pelan kewangan yang diluluskan Lembaga Pengarah.

Laporan Tahunan itu yang bertemakan ‘Melindungi Pengguna Kewangan’, mengetengahkan bagaimana PIDM menyediakan perlindungan deposit dan manfaat insurans dan takaful kepada rakyat Malaysia.  Laporan itu menekankan bagaimana PIDM telah menumpukan usaha berterusan bagi memastikan kesediaaan berterusan untuk menyumbang kepada kestabilan dalam sistem kewangan. Sebagai sebahagian daripada usaha-usaha ini, PIDM sentiasa menguji keupayaannya bagi memastikan orang awam mempunyai akses segera kepada simpanan mereka sekiranya berlaku kegagalan institusi ahli.

“Pada tahun 2016, Perbadanan menjalankan simulasi pembayaran balik bagi andaian pembubaran bank ahli bersaiz sederhana. Kejayaan kami menyempurnakan latihan ini menunjukkan bahawa sistem dan kakitangan kami boleh melaksanakan pembayaran balik deposit dengan pantas dan tepat pada masa kepada pendeposit sekiranya kami diminta berbuat demikian,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Pengurus Besar Eksekutif.

Sejajar dengan usaha kesediaannya, pada tahun 2016, PIDM juga mengusahakan rangka kerja perancangan resolusi utama yang membolehkan resolusi secara teratur bagi semua institusi ahli tanpa mengira saiz atau kerumitan, tanpa gangguan sistemik terhadap kestabilan sistem kewangan (‘perancangan resolusi’).
 
“Objektif perancangan resolusi ini adalah bagi memastikan terdapat  rancangan yang boleh dilaksana untuk memastikan resolusi yang  teratur bagi semua institusi ahli tanpa memberi kesan teruk terhadap sistem kewangan secara keseluruhan. Pada dasarnya, ini bermakna pihak berkuasa lebih mampu untuk memastikan kestabilan sistem kewangan dan ekonomi dan dengan usaha-usaha ini, PIDM akan dapat melindungi rakyat Malaysia dengan lebih baik lagi,” kata Rafiz.

Berkenaan dengan perancangan resolusi, PIDM akan melibatkan dan mengadakan kerjasama erat dengan industri, peserta jaringan keselamatan kewangan lain dan pemegang kepentingan yang relevan. Latihan perintis akan dijalankan untuk membangunkan pelan resolusi bagi bank-bank ahli tertentu, dengan tujuan untuk menguji dan memuktamadkan rangka kerja perancangan resolusi.
 
Laporan Tahunan 2016 juga memaparkan sorotan  daripada program berterusan PIDM untuk meningkatkan pemahaman rakyat Malaysia tentang peranan PIDM. Kesedaran awam semakin meningkat seperti yang dirancang.  Keputusan kaji selidik merekodkan peningkatan keseluruhan dalam tahap kesedaran awam berbanding tahun 2015. Kesedaran awam tentang PIDM meningkat sebanyak 6% kepada 59% (2015: 53%), manakala tahap kesedaran mengenai Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans  masing-masing meningkat sebanyak 9% kepada 50% (2015: 41%) dan 8% kepada 34% (2015: 26%).

Pada tahun 2016, PIDM mencatatkan pendapatan berjumlah RM557.4 juta dengan lebihan bersih operasi sebanyak RM458.5 juta, meningkatkan jumlah  dana dan rizab Perbadanan kepada RM3.1 bilion
Laporan Tahunan 2016 boleh didapatkan di laman web PIDM di www.pidm.gov.my.

 

 

Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:

Syed Mohammed Idid, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7455; 012-3430848; Emel: syedidid@pidm.gov.my)

Mimi Rashid, Pengurus Kanan, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7570; Emel: mimifaizura@pidm.gov.my)

MENGENAI PIDM

PIDM mentadbir Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans berkanun di Malaysia. Menerusi sistem-sistem ini, pendeposit serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans kini menikmati perlindungan yang eksplisit dan tertakluk pada undang-undang bagi deposit bank serta manfaat takaful dan insurans mereka yang layak.

Bagi maklumat lanjut:

 

Share to