PIDM Mulakan Inisiatif Bersama Pemegang Kepentingan melalui ‘PIDM KL Sentral Community Outreach’

Kuala Lumpur, 25 Januari 2018: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini memulakan ‘PIDM KL Sentral Community Outreach’ di NU Sentral, Kuala Lumpur Sentral. Program selama tiga hari ini merupakan permulaan inisiatif PIDM bersama pemegang kepentingan yang dirancang bagi tahun 2018 dan merupakan sebahagian daripada usaha Perbadanan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman awam terhadap peranannya dalam sistem kewangan dan perlindungan yang ditadbir olehnya.
 
“Sebagai sebahagian daripada sistem jaringan keselamatan kewangan Malaysia, PIDM diberi mandat untuk melindungi kepentingan pendeposit dan pemilik sijil takaful dan polisi insurans terhadap kegagalan mana-mana institusi ahli PIDM. Kesedaran awam mengenai peranan PIDM dan sistem perlindungannya adalah penting dalam memupuk kepercayaan serta keyakinan terhadap PIDM yang seterusnya akan menggalakkan dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan di Malaysia,” menurut Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.

Sejak beberapa tahun lalu, PIDM telah menjalankan pelbagai usaha dan memperuntukkan sumber untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang awam  terhadap peranannya sebagai pihak berkuasa bagi perlindungan konsumer kewangan dan resolusi. Program mendekati masyarakat memberi peluang kepada PIDM untuk bertemu secara langsung dan mendampingi pemegang kepentingannya.

“Ramai rakyat Malaysia mengenali PIDM menerusi logo kami yang tertera di premis institusi ahli serta melalui kempen pengiklanan kami. Walau bagaimanapun, terdapat keperluan untuk meningkatkan dan memupuk kefahaman pengguna kewangan mengenai peranan PIDM dalam sistem kewangan serta ciri-ciri, manfaat dan had Sistem Insurans Deposit (DIS) dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS),” tambah Rafiz.

“Kami mahu pengguna kewangan mengetahui bahawa simpanan di bank, serta manfaat insurans dan takaful mereka dilindungi dan perlindungan ini adalah automatik, tiada permohonan dan bayaran diperlukan. Dengan kesedaran yang lebih tinggi, kami berharap pengguna akan diperkasa untuk membuat pilihan kewangan yang tepat untuk diri mereka sendiri,” tambah Rafiz lagi.
 
‘PIDM KL Sentral Community Outreach’ berlangsung di Tingkat Bawah Tanah, NU Sentral, Kuala Lumpur Sentral, dari 25 hingga 27 Januari 2018 dan menampilkan aktiviti yang mesra keluarga. Para pengunjung juga berpeluang menerima hadiah menarik daripada PIDM apabila mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti tersebut.

Untuk maklumat lanjut, layari www.pidm.gov.my.
 
Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
 
Sarina Ariffin, Pemangku Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7457; 012 – 347 5014; Emel: sarina@pidm.gov.my)
 
Mimi Faizura Mohd Rashid, Pengurus Kanan, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7570; Emel: mimifaizura@pidm.gov.my)

MENGENAI PIDM
 
PIDM adalah sebuah badan berkanun yang menyediakan perlindungan terhadap kehilangan deposit dan manfaat insurans dan takaful yang disimpan dengan institusi ahlinya sekiranya berlaku kegagalan. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk beroperasi. Ia mempunyai cara di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana sedemikian seperti yang diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya bagi melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan kewangan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.   
 
Bagi maklumat lanjut:
  • Hubungi 1-800-88-1266, 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat  (tidak termasuk cuti umum)
  • Emel: info@pidm.gov.my
  • Layari: www.pidm.gov.my 
Share to