Kuala Lumpur, 17 April 2018: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini menerbitkan Laporan Tahunan 2017 dan mengumumkan inisiatif-inisiatif utama bagi tahun dalam kajian telah disempurnakan mengikut pelan kewangan yang diluluskan.
Laporan Tahunan 2017 itu melaporkan usaha berterusan PIDM ke arah memperkukuhkan kesediaan dan menggalak serta menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan negara. Antara lain, PIDM telah berjaya menjalankan satu lagi simulasi pembayaran balik berkenaan sebuah bank ahli hipotetikal.
“Satu perkembangan penting pada tahun 2017 adalah penubuhan rangka kerja dasar untuk melaksanakan rancangan pemulihan dan resolusi bagi institusi kewangan di Malaysia, sebagai komponen utama rejim resolusi efektif bagi Malaysia. Inisiatif ini dilaksanakan secara bersama oleh PIDM dan Bank Negara Malaysia, untuk memastikan pendekatan bersepadu ketika melaksanakan rancangan pemulihan dan resolusi di Malaysia,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
“Rejim resolusi yang efektif membolehkan institusi kewangan diselesaikan tanpa gangguan sistemik yang serius kepada sistem kewangan, di samping melindungi dana awam,” tambah Rafiz.
Melangkah ke hadapan, PIDM akan menjalankan latihan perintis perancangan resolusi bagi bank-bank perintis terpilih. Ini adalah susulan daripada fasa pertama perancangan pemulihan dan resolusi, yang melibatkan latihan perancangan pemulihan perintis oleh Bank Negara Malaysia bagi bank-bank perintis terpilih yang dilancarkan pada Julai 2017. PIDM akan melibatkan institusi ahli dan pemain jaringan keselamatan kewangan sepanjang proses perancangan resolusi itu.
PIDM telah meningkatkankan strategi penglibatan pemegang kepentingannya untuk memastikan kerjasama yang lebih efektif dalam kalangan pemegang kepentingan utamanya. Inisiatif kesedaran awam juga akan terus membina pemahaman yang lebih baik mengenai PIDM, Sistem Insurans Deposit serta Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans.
Pada tahun 2017, PIDM mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM575.4 juta dengan lebihan bersih operasi sebanyak RM463.0 juta, meningkatkan jumlah kumpulan dana dan rizabnya kepada RM3.6 bilion.
Laporan Tahunan 2017 boleh didapati di laman web PIDM (
www.pidm.gov.my).
Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
Sarina Ariffin, Pemangku Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7457; 012 – 347 5014; Emel: sarina@pidm.gov.my)
Mimi Faizura Mohd Rashid, Pengurus Kanan, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7570; Emel: mimifaizura@pidm.gov.my) |
MENGENAI PIDM
PIDM adalah sebuah badan berkanun yang menyediakan perlindungan terhadap kehilangan deposit dan manfaat insurans dan takaful yang disimpan dengan institusi ahlinya sekiranya berlaku kegagalan. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk beroperasi. Ia mempunyai cara di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana sedemikian seperti yang diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya bagi melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan kewangan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.
Bagi maklumat lanjut:
- Hubungi 1-800-88-1266, 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum)
- Emel: info@pidm.gov.my
- Layari: www.pidm.gov.my