PIDM lancar Rancangan Korporat 2018 - 2020

Kuala Lumpur, 29 Januari 2018: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini melancarkan 'Ringkasan Rancangan Korporat 2018 – 2020’.
 
Sebagai sebahagian penting daripada sistem jaringan keselamatan kewangan Malaysia, PIDM diberi mandat untuk melindungi kepentingan pendeposit dan pemilik sijil takaful serta polisi insurans terhadap kegagalan mana-mana institusi ahli PIDM, serta menyumbang atau menggalak kepada kestabilan sistem kewangan.
 
Rancangan tiga tahun itu menggariskan tiga (3) keutamaan strategik PIDM:
  • Melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan kesediaan ke arah rejim resolusi yang efektif bagi Malaysia termasuk perancangan resolusi  
  • Membangunkan dan menyedia modal insan PIDM bagi kemampanan jangka panjang
  • Mengukuhkan penglibatan dengan pemegang kepentingan termasuk orang awam dan institusi ahli.
“Perubahan dalam persekitaran operasi kami bermakna kami memerlukan pelan yang memastikan PIDM dapat bertahan dan sentiasa bersedia bagi menyokong kestabilan sistem kewangan dengan baik. Keutamaan strategik kami menyokong sasaran ini," kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
“Bagi rejim resolusi yang efektif, objektif utama adalah untuk memastikan semua institusi ahli dapat ditangani secara teratur, tanpa gangguan sistemik kepada sistem kewangan,” tambah  Rafiz.
“Penglibatan secara kolektif dengan institusi ahli mengenai perancangan resolusi telah bermula secara rasmi pada Julai 2017 bersama dengan Bank Negara Malaysia, mengenai perancangan pemulihan. Mengenai perancangan resolusi pada masa hadapan, lebih banyak penglibatan  menerusi perundingan industri dijangka diadakan. Dalam tempoh terdekat ini, penglibatan dengan institusi perintis untuk memperhalusi rangka kerja perancangan resolusi PIDM akan dijalankan," jelas Rafiz.
PIDM akan terus mengukuhkan penglibatan dengan pemegang kepentingannya bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan PIDM dan sistem perlindungannya menerusi program pendidikan kewangan dan penglibatan orang awam, serta kempen pengiklanan.
Rancangan kewangan bagi tahun 2018 akan menyokong pelaksanaan keutamaan strategik PIDM. Perbadanan menganggarkan pendapatan sebanyak RM575 juta dan perbelanjaan operasi sebanyak RM120 juta, dengan lebihan bersih diunjurkan sebanyak RM455 juta.
Menjelang akhir tahun 2018, lebihan Kumpulan Dana Insurans Deposit dijangka berjumlah RM2.38 bilion dan Kumpulan Dana Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans berjumlah RM1.66 billion. Kedua-dua kumpulan dana ini adalah rizab terkumpul untuk menampung kerugian yang mungkin timbul bagi  perlindungan yang disediakan masing-masing kepada pendeposit dan pemilik polisi.
Rancangan Korporat 2018 – 2020 boleh didapati di laman web PIDM (www.pidm.gov.my) dalam tiga bahasa – Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.
 
Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
 
Sarina Ariffin, Pemangku Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7457; 012 – 347 5014; Emel: sarina@pidm.gov.my)
 
Mimi Faizura Mohd Rashid, Pengurus Kanan, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7570; Emel: mimifaizura@pidm.gov.my)

MENGENAI PIDM
 
PIDM adalah sebuah badan berkanun yang menyediakan perlindungan terhadap kehilangan deposit dan manfaat insurans dan takaful yang disimpan dengan institusi ahlinya sekiranya berlaku kegagalan. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk beroperasi. Ia mempunyai cara di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana sedemikian seperti yang diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya bagi melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan kewangan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.   
 
Bagi maklumat lanjut:
  • Hubungi 1-800-88-1266, 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat  (tidak termasuk cuti umum)
  • Emel: info@pidm.gov.my
  • Layari: www.pidm.gov.my 
Share to