Kuala Lumpur, 20 Ogos 2018: Seramai 21 pelajar baru-baru ini menerima biasiswa daripada Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda mereka di universiti tempatan.
Latar belakang kewangan dan pencapaian akademik merupakan kriteria utama dalam pemilihan penerima biasiswa PIDM. Kebanyakan penerima biasiswa berasal daripada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang dari RM2,000 sebulan.
“Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM menyokong golongan muda yang layak dengan menyediakan bantuan kewangan bagi melanjutkan pengajian di universiti sehingga tamat pengajian. Menerusi program ini, kami mengiktiraf dan menyokong potensi mereka sebagai bakal pemimpin di masa hadapan dan juga sebagai duta PIDM,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
Setakat ini, lebih daripada 120 pelajar telah menerima biasiswa PIDM.
Penuntut Universiti Sains Malaysia, Chong Siew Choo, berkata dengan biasiswa itu beliau dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian tanpa perlu bekerja sambilan lagi. Bapa Chong yang mempunyai masalah kesihatan tidak dapat bekerja sepenuh masa dan mampunyai dua tanggungan lain.
“Mendiang ibu saya menekankan kepentingan mengimbangi pelajaran dengan aktiviti kokurikulum. Dengan adanya biasiswa ini, saya kini berpeluang menyertai aktiviti sukan dan kerja-kerja sukarelawan,” kata Chong, yang melanjutkan pelajaran dalam ijazah Sarjana Muda Kepujian Pengurusan.
Pelajar ijazah Sarjana Muda Kepujian Sains Ekonomi di Universiti Utara Malaysia, Mohd Azreen Bin Arrifin berkata biasiswa ini memberi motivasi kepada beliau untuk melakukan yang terbaik dalam pelajarannya. Azreen bercita-cita untuk menjadi pakar ekonomi suatu hari nanti.
“Sebelum ini, saya menghadapai kesukaran untuk menyiapkan tugasan dan mencari maklumat. Kini, dengan adanya komputer riba saya tidak perlu lagi bergantung kepada perpustakaan universiti dan juga rakan-rakan,” kata Azreen.
Selain daripada sokongan kewangan, penerima biasiswa akan dibimbing oleh kakitangan profesional PIDM yang mempunyai pengalaman relevan dengan bidang pengajian mereka.
“Saya berbesar hati kerana bakal mendapat peluang bimbingan dari mentor PIDM yang berpengalaman dan saya tidak akan mensia-siakan peluang ini,” kata penuntut perakaunan daripada Universiti Malaya, Mathana Raj a/l Muniandy. Beliau juga berharap dapat menjalani latihan industri di PIDM.
Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM, yang ditubuhkan pada tahun 2010, adalah biasiswa yang tidak terikat dan merangkumi yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup serta bahan berkaitan pengajian.
Pemegang biasiswa dipilih berdasarkan kepada pencapaian akademik dan kokurikulum, kemahiran komunikasi, kematangan serta kualiti kepimpinan dan kemampuan kewangan.
Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
Yogendra Thavakumar, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 0321737455; Emel:yogendra@pidm.gov.my)
Masami Mustaza, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 0322654622; Emel: masami@pidm.gov.my) |
MENGENAI PIDM
PIDM adalah sebuah badan berkanun yang menyediakan perlindungan terhadap kehilangan deposit dan manfaat insurans dan takaful yang disimpan dengan institusi ahlinya sekiranya berlaku kegagalan. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk beroperasi. Ia mempunyai cara di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana sedemikian seperti yang diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya bagi melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan kewangan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.
Bagi maklumat lanjut:
- Hubungi 1-800-88-1266, 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum)
- Emel: info@pidm.gov.my
- Layari: www.pidm.gov.my