Kuala Lumpur 28 Mei 2019: Perlindungan yang disediakan kepada pendeposit bank, pemegang sijil Takaful dan polisi insurans oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) adalah secara automatik dan percuma.
Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM berkata, terdapat peningkatan aduan diterima daripada orang ramai yang diminta membayar bagi perlindungan PIDM pada tahun ini. Dalam kebanyakan kes, pengadu diminta membayar untuk 'mengaktifkan' perlindungan bagi menerima dana, biasanya dalam bentuk pinjaman, daripada pihak ketiga.
“PIDM ingin orang ramai tahu bahawa perlindungan PIDM adalah secara automatik dan percuma kepada pendeposit. Maklumat ini boleh didapati di laman web kami, dalam iklan dan brosur kami. Kami menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya diminta membayar bagi perlindungan PIDM,” katanya.
Kebanyakan insiden ini melibatkan individu yang memohon pinjaman menerusi pemberi pinjaman wang dan direkodkan menerusi pertanyaan yang diterima melalui pusat panggilan dan emel PIDM. Pengadu diminta membayar yuran pentadbiran dan guaman, dan dalam sesetengah kes, bayaran berasingan untuk mendaftar akaun bank baharu sebelum pinjaman dikeluarkan kepada mereka.
“Mereka yang tahu mengenai perlindungan percuma PIDM cenderung untuk menyemak dengan kami tetapi yang lain tidak begitu bernasib baik. Menurut aduan-aduan ini, pembayaran berjumlah beribu-ribu ringgit dibayar sebelum pengadu menghubungi PIDM," kata Rafiz.
“Kami ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa institusi ahli PIDM tidak termasuk pemberi pinjaman wang. Perlindungan PIDM juga tidak merangkumi pinjaman dan produk bukan deposit lain.”
Institusi ahli PIDM termasuk semua bank perdagangan konvensional dan bank Islam, syarikat insurans; kedua-dua am dan hayat dan pengendali takaful.
Orang ramai dinasihatkan menghubungi pusat panggilam PIDM di talian 1800-88-1266 atau menghantar emel kepada info@pidm.gov.my bagi mendapatkan sebarang penjelasan. Orang ramai juga diingatkan agar tidak mendedahkan maklumat kewangan mereka, terutamanya akaun bank atau butiran terperinci kad kredit mereka, kepada pihak ketiga.
PIDM adalah agensi kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta PIDM untuk mentadbir Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans.
PIDM melindungi pendeposit, sama ada individu atau perniagaan terhadap kehilangan deposit bank diinsurans mereka dan pemilik sijil Takaful dan polisi insurans terhadap kehilangan manfaat Takaful dan insurans mereka yang layak, sekiranya berlaku kegagalan institusi ahlinya.
Bagi maklumat lanjut mengenai sistem perlindungan yang ditadbir PIDM dan senarai institusi ahli, sila hubungi pusat panggilan kami di talian 1800-88-1266 atau layari laman web kami di www.pidm.gov.my.
MENGENAI PIDM
PIDM ialan badan berkanun yang menyediakan perlindungan terhadap kehilangan deposit dan manfaat insurans takaful dengan institusi ahlinya sekiranya berlaku kegagalan. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk operasinya. Ia mempunyai cara di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana yang mungkin diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya dalam melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan kewangan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.
Bagi maklumat lanjut: