PIDM lancar Laporan Tahunan 2018

Kuala Lumpur, 24 April 2019: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini melancarkan Laporan Tahunan 2018. Laporan tahunan itu yang bertemakan ‘Mendekati Pemegang Kepentingan’, mengetengahkan pencapaian PIDM berbanding keutamaan strategiknya.

“Pada 2018, bahagian fokus utama PIDM adalah ‘Mendekati Pemegang Kepentingan’. Kami menyedari kepentingan untuk melibatkan diri secara berterusan dengan orang awam, membina hubungan dengan pemegang kepentingan kami dan memahami kepentingan pemegang kepentingan, agar kami boleh bekerjasama untuk menggalakkan kestabilan dalam sistem kewangan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.  Kepercayaan dan keyakinan orang awam amat penting kepada kami, memandangkan mandat kami untuk menggalakkan keyakinan terhadap kestabilan sistem kewangan,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.

Kempen kesedaran ‘Jelajah Komuniti PIDM’ dijalankan untuk memupuk sikap masyarakat akar umbi sasaran terhadap PIDM dan menggunakan pendekatan penglibatan langsung. PIDM telah bertemu dengan kira-kira 10,800 orang menerusi kempen ini yang diadakan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

PIDM terutamanya juga berusaha untuk mewujudkan hubungan yang diperlukan dengan industri dan membiasakan pemegang kepentingan dengan PIDM, mandat dan matlamat kami. Ini memandangkan keperluan untuk bekerjasama rapat dengan industri bagi melaksanakan perancangan resolusi secara berkesan. Pada 2019, perancangan resolusi akan dijalankan dengan beberapa bank perintis sebelum kami melaksanakannya secara berfasa, bersama institusi ahli yang lain. 

Sejajar dengan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2016, yang mencadangkan pelaporan bersepadu sebagai amalan teladan bagi pendedahan efektif maklumat bukan kewangan, PIDM juga memulakan usaha pelaporan bersepadunya dengan rujukan Rangka Kerja Pelaporan Bersepadu Majlis Pelaporan Antarabangsa dengan Laporan Tahunan 2018 perbadanan.
 
“Kami berbesar hati menjadi salah sebuah entiti sektor awam pertama di Malaysia yang memulakan usaha ini. Sebagai sebuah badan kawal selia, kami percaya pendekatan pelaporan bersepadu, yang menggalakkan fokus kepada perkara penting secara ringkas dan padat, adalah cara terbaik untuk menyampaikan nilai tujuan kami dengan lebih baik lagi kepada pemegang kepentingan,” kata Rafiz.

Pada 2018, PIDM mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM588.5 juta dengan lebihan bersih operasi RM488.2 juta, meningkatkan kumpulan dana dan rizabnya kepada RM4.1 bilion.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai visi strategik, prestasi kewangan, tadbir urus korporat dan pewujudan nilai PIDM bagi semua pemegang kepentingannya, sila layari www.pidm.gov.my/AR2018. Ringkasan Rancangan Korporat 2018 – 2020 PIDM juga boleh didapatkan di www.pidm.gov.my.
 
Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
 
Yogendra Thavakumar, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03 2173 7455; Emel:yogendra@pidm.gov.my)
 
Masami Mustaza, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03 2265 4622; Emel: masami@pidm.gov.my)

MENGENAI PIDM

PIDM ialah badan berkanun yang menyediakan perlindungan terhadap kehilangan deposit dan manfaat insurans dan takaful dengan institusi ahlinya sekiranya berlaku kegagalan. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk operasinya. Ia mempunyai cara di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana yang mungkin diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya dalam melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan kewangan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.

Bagi maklumat lanjut: 
  • Hubungi 1-800-88-1266, 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum)
  • Emel: info@pidm.gov.my
  • Layari: www.pidm.gov.my
Share to