Kuala Lumpur, 19 Ogos 2019: Seramai 21 pelajar dianugerahkan biasiswa tahun ini bagi pelbagai jurusan, menjadikan jumlah kesemua penerima sebanyak 144 orang sejak Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) mewujudkan program biasiswanya sedekad lalu.
Walaupun merit akademik merupakan kriteria yang penting, penerima Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM juga dipilih berdasarkan latar belakang kewangan, bakat dan keazaman untuk berjaya.
Penerima program biasiswa adalah daripada kumpulan pendapatan B40. Selain itu, PIDM juga memberikan biasiswa kepada seorang penerima di bawah program biasiswa untuk anak-anak kakitangannya.
“Program ini adalah komitmen kami ke arah meningkatkan kehidupan golongan muda yang berpotensi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
“Program biasiswa sering menjadi rebutan dan sangat kompetitif. Ia mungkin lebih sukar untuk mereka yang kurang kelebihan daya saing disebabkan oleh kekangan kewangan. Biasiswa PIDM memberikan penekanan kepada ketersediaan akses kewangan bagi calon-calon dan menyediakan bantuan sehingga mereka tamat pengajian peringkat tinggi.”
Mohamad Ishairullah Bin Ya’acob dari Muar, Johor, 23, merupakan calon paling tua tahun ini. Berikutan masalah kewangan, beliau tidak dapat menyambung pelajarannya selepas menamatkan pengajian asasnya. Antara lainnya, beliau terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah cawangan bank selama lebih dua tahun untuk menyara keluarga beliau.
“Ia bukan suatu perkara yang mudah, untuk mengimbangi antara bekerja dan belajar. Namun begitu saya berjaya menamatkan diploma saya dalam pentadbiran perniagaan dan sekarang kerana PIDM, saya dapat menyambung pengajian ijazah saya,” katanya sambil menambah biasiswa itu telah merangsangkan lagi cita-citanya untuk menjadi seorang ahli ekonomi.
“Saya menganggap Pengerusi PIDM, Tan Sri Dr. Rahamat Bivi Yusoff sebagai salah seorang contoh teladan dalam bidang ini terutamanya apabila saya mendapati beliau juga merupakan graduan jurusan ekonomi. Saya ingin membuktikan kepada semua orang bahawa dengan keazaman, saya boleh mencapai kejayaan yang sama.”
Ketika ini Ishairullah sedang meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Ekonomi Perniagaan di kampus Universiti Teknologi Mara di Kota Bharu, Kelantan.
Lokya Ting, 18, dari Sarawak, juga membesar dalam suasana kehidupan yang mencabar. Bapanya bekerja sebagai pengurus tapak pembinaan sebelum dikesan menghidap kanser kolon, yang memaksa beliau bersara lebih awal. Oleh kerana ibu Lokya juga tidak dapat bekerja disebabkan faktor ketidakupayaan fizikal, keluarganya menjual roti dan kek setiap hari di kawasan tapak pembinaan tempat ayahnya pernah bekerja dahulu bagi menampung kehidupan mereka.
“Saya bersyukur atas peluang yang diberikan oleh PIDM. Saya akan memanfaatkan sebaik mungkin program ini, terutamanya, peluang latihan serta mentor yang diberikan kepada penerima biasiswa,” katanya.
Lokya ketika ini sedang meneruskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di Universiti Utara Malaysia, Kedah.
Bersempena dengan ulang tahun ke-10 program biasiswa, PIDM juga menganjurkan sesi perangkaian rasmi alumni bagi penerima biasiswa sekarang dan sebelum ini untuk bertemu pada majlis penganugerahan biasiswa.
Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM diwujudkan pada 2010 bagi menyediakan biasiswa tanpa ikatan kepada individu yang layak. Biasiswa ini merangkumi bayaran tuisyen, perbelanjaan hidup dan bahan-bahan berkaitan pengajian. Program ini juga menawarkan mentor daripada kalangan kakitangan PIDM untuk memberi nasihat dan bimbingan kepada penerima biasiswa.
Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
Yogendra Thavakumar, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7455 sambungan 7455; Emel: yogendra@pidm.gov.my)
Masami Mustaza, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 016-3643406; Email: masami@pidm.gov.my) |
MENGENAI PIDM
PIDM adalah badan berkanun yang menyediakan perlindungan terhadap kehilangan deposit dan manfaat insurans takaful dengan institusi ahlinya sekiranya berlaku kegagalan. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk operasinya. Ia mempunyai cara di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana yang mungkin diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya dalam melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan kewangan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.
Bagi maklumat lanjut: