20 Mahasiswa terima biasiswa PIDM

Kuala Lumpur, 17 September 2020: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) baru-baru ini menganugerahkan biasiswa kepada 20 mahasiswa daripada pelbagai jurusan pengajian. Sejak diperkenalkan pada tahun 2010, seramai 164 individu telah menerima biasiswa daripada PIDM.  
 
“Pendidikan adalah pemangkin terbaik bagi kejayaan masa hadapan dan Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM adalah langkah yang seiring dengan falsafah itu. Dengan biasiswa ini, kami berharap penerima-penerimanya akan komited dalam pembelajaran berterusan dan memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang kembali kepada masyarakat,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
 
“Biasiswa kami menyediakan sokongan bukan hanya sekadar bantuan kewangan semata-mata. Penerima biasiswa ini juga menerima sokongan dan bimbingan daripada mentor yang dipilih daripada kalangan kakitangan kami. Mereka juga berpeluang meneruskan latihan amali dengan PIDM dan melihat secara langsung peranan yang dimainkan PIDM dalam sistem kewangan,” katanya.
 
Rafiz berkata PIDM menerima lebih 1,300 permohonan bagi program biasiswa tahun ini.  
 
Putri Natasha Binti Mohammad Sharif, pelajar Sarjana Muda Perakaunan tahun kedua di Universiti Sains Malaysia, berkata beliau bersyukur atas peluang yang diberi kerana beliau kini dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajarannya.
 
“Saya terpaksa mengambil cuti belajar selama 1.5 tahun antara pengajian diploma dan ijazah saya untuk membantu keluarga. Ibu saya seorang ibu tunggal. Bukan mudah untuk mengimbangi antara kerja dan belajar pada masa yang sama jadi saya sangat gembira menerima biasiswa ini,” kata Putri Natasha, yang pernah bekerja di restoran makanan segeradan dalam perkhidmatan teknologi maklumat (IT) sebelum menyambung pengajian ijazahnya.  
 
Tang Hui Yui, 21, berasa lega kerana dapat meneruskan pengajian di tahun kedua sebagai pelajar Sarjana Muda Kewangan di Universiti Malaya dengan sokongan daripada PIDM.
 
Tang berkata dia pernah membuat kerja sambilan selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia untuk menampung perbelanjaan pengajian tahun pertamanya.
 
“Saya tidak pernah bergantung kepada ahli keluarga untuk mendapatkan wang, tetapi setelah menghabiskan wang simpanan saya, saya amat memerlukan biasiswa untuk meneruskan pengajian,” katanya. Menurut Tang, pandemik koronavirus telah menjejaskan pendapatan isi rumahnya. Bapa Tang bekerja sebagai nelayan manakala ibunya tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan.  
 
Kedua-dua Putri Natasha dan Tang berkata mereka berharap dapat menjalani latihan amali di PIDM kerana mereka berpendapat pengalaman yang bakal ditimba sangat sesuai bagi pendidikan mereka.
 
Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM diwujudkan untuk menyediakan biasiswa tanpa ikatan kontrak kepada individu-individu yang layak. Biasiswa ini menyediakan sokongan kewangan kepada pelajar untuk menamatkan pengajian pendidikan tinggi mereka yang merangkumi yuran pengajian, perbelanjaan kos sara hidup dan bahan berkaitan pengajian.
 
Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini,sila hubungi:
 
Sarina Ariffin, Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam (Tel: 03-2173 7457; E-mel: sarina@pidm.gov.my)    
 
Masami Mustaza, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 016-3643406; E-mel: masami@pidm.gov.my)
 
MENGENAI PIDM
PIDM adalah badan berkanun yang menyediakan perlindungan, sehingga had yang ditetapkan, terhadap kerugian deposit dan manfaat insurans atau takaful sekiranya berlaku kegagalan sesebuah institusi ahli. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk beroperasi. Ia memiliki kaedah-kaedah di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana tersebut yang mungkin diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya bagi melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.
Bagi maklumat lanjut: 
Share to