PIDM lancar Laporan Tahunan 2019

Kuala Lumpur, 23 Jun 2020: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini melancarkan Laporan Tahunan 2019 . Laporan ini menghuraikan hala tuju dan kemajuan PIDM pada tahun 2019.
 
PIDM memperkukuh daya tahan sistem kewangan Malaysia dengan melindungi deposit dan manfaat insurans atau takaful konsumer kewangan sekiranya berlaku kegagalan sesebuah institusi ahli.  Pada tahun 2019, PIDM terus mengukuhkan sistem-sistem perlindungannya bagi konsumer kewangan. Antara perkara-perkara yang dilaporkan di dalam laporan tersebut adalah:
 
  • PIDM terus berusaha mempelbagaikan opsyen pembayaran balik depositnya kepada pendeposit sekiranya berlaku kegagalan sesebuah bank ahli. Bagi memenuhi keperluan konsumer kewangan hari ini, opsyen ini menggabungkan pendekatan serba mudah dan teknologi terkini;
  • PIDM memulakan program rintis perancangan resolusi dengan bank-bank ahli terpilih. Perancangan resolusi akan memberikan maklumat penting mengenai potensi risiko sistemik dalam sistem kewangan kepada pihak berkuasa dan akan menyokong kesediaan krisis; dan
  • PIDM juga melancarkan perkhidmatan portal industri untuk institusi ahli. Kemudahan ni membolehkan penyerahan maklumat dengan lebih mudah dan selamat bagi tujuan pengiraan premium dan levi tahunan.
 
PIDM meneruskan inisiatif kesedaran awamnya pada 2019 menerusi gabungan pelbagai saluran komunikasi termasuk platform media sosial dan digital.  
 
Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, menekankan kepentingan kesedaran mengenai PIDM dalam kalangan orang ramai yang perlu tahu mereka dilindungi PIDM sekiranya berlaku kegagalan sesebuah institusi ahli, serta memahami manfaat dan had-had perlindungannya.
 
“Setiap rakyat Malaysia harus bijak membuat keputusan  dan mengawal dengan lebih baik pilihan kewangan mereka. Justeru itu, kami akan terus mendidik orang ramai dan pemegang kepentingan lain. Pengukuhan hubungan memerlukan jangka masa panjang namun ia mampu menyumbang kepada kepercayaan dan keyakinan yang lebih tinggi terhadap PIDM sebagai anggota jaringan keselamatan,” kata Rafiz.
 
“PIDM adalah sebahagian daripada jaringan keselamatan kewangan dan bekerjasama rapat dengan anggota jaringan keselamatan lain, iaitu, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia, dalam memastikan ketahanan dan kestabilan sistem kewangan. Sejajar dengan prinsip Pelaporan Bersepadu, Laporan Tahunan kami juga mengetengahkan peranan berkanun PIDM, bagaimana sistem-sistem perlindungan dibentuk dan pewujudan nilai untuk masyarakat secara keseluruhannya,” katanya. 
 
Laporan Tahunan 2019 PIDM boleh didapati di www.pidm.gov.my.
 
Bagi maklumat lanjut mengenai pengumuman ini, pihak media boleh menghubungi:
 
Sarina Ariffin, Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7457; E-mel: sarina@pidm.gov.my)    
 
Masami Mustaza, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam 
(Tel: 016-3643406; E-mel: masami@pidm.gov.my)
 
MENGENAI PIDM
PIDM adalah badan berkanun yang menyediakan perlindungan, sehingga had yang ditetapkan, terhadap kerugian deposit dan manfaat insurans atau takaful sekiranya berlaku kegagalan sesebuah institusi ahli. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk beroperasi. Ia memiliki kaedah-kaedah di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana tersebut yang mungkin diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya bagi melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan kewangan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.

Bagi maklumat lanjut: 
Share to