PIDM, UNCDF dan GoGet bekerjasama tingkatkan kesihatan kewangan 20,000 pekerja gig

Kuala Lumpur, 17 Disember 2020: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan United Nations Capital Development Fund (UNCDF) di Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama mereka untuk meningkatkan kesihatan kewangan seramai 20,000 pekerja gig GoGet Malaysia, sebuah platform kerja atas permintaan. Bermula Januari 2021, program-program literasi kewangan yang berasaskan prinsip sains tingkah laku akan dilancarkan menerusi aplikasi  GoGetter.
 
“Terdapat keperluan mendesak untuk membantu pekerja gig meningkatkan daya tahan kewangan mereka bagi masa depan dan memperkasakan mereka dengan pengetahuan dan instrumen untuk menguruskan pendapatan yang tidak menentu. Penilaian ke atas keberkesanan program ini juga merupakan suatu aspek penting untuk menambah baik cara kami berkomunikasi dengan demografi pekerja ini yang semakin bertambah,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
 
GoGet menggalakkan pengguna platform untuk menyimpan pendapatan mereka dan melindungi diri mereka dengan amaun serendah RM1 sehari. Inisiatif ini dilaksanakan menerusi rakan teknologi kewangan (fintech) seperti POD, sebuah aplikasi mudah alih simpanan berasaskan matlamat, dan SENANG, sebuah platform teknologi insurans atas permintaan.
 
Menurut Francesca Chia, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama GoGet, apabila ditanya tentang pentingnya inisiatif ini, “Sebagai sebuah platform yang komited dalam usaha memperkasakan masyarakat untuk memperoleh pendapatan secara fleksibel, kami perlu memastikan komuniti kami dilindungi sama seperti pekerja sepenuh masa. Membantu GoGetter kami mendapatkan akses kepada manfaat seperti simpanan, skim insurans dan pinjaman adalah penting bagi memastikan pekerjaan fleksibel dapat berterusan bagi tempoh jangka panjang.”

Kadar langganan kemudahan tersebut oleh pengguna platform juga boleh digunakan sebagai cara untuk mengukur kadar penyertaan dan menilai keberkesanan program literasi kewangan PIDM. PIDM dan UNCDF juga akan mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada para peserta selepas selesai program tertentu supaya ia dapat membantu dalam pembangunan program-program akan datang.
 
“Berdasarkan kajian oleh UNCDF dengan beberapa platform ekonomi gig berkeupayaan teknologi utama di Malaysia, simpanan merupakan asas utama bagi kesihatan kewangan seseorang. Kerjasama kami dengan platform berkeupayaan teknologi seperti GoGet dan syarikat teknologi kewangan (fintech) seperti POD dan SENANG membolehkan kami memprogramkan peringatan ketika detik-detik penting dalam kehidupan pengguna platform tersebut. Detik ini termasuk apabila mereka menerima pendapatan atau menyasarkannya peringatan itu kepada mereka yang lebih cenderung untuk menabung atau membeli insurans. Apa yang lebih penting, ia juga membolehkan kami menjalankan eksperimen ini secara berskala,” kata Jaspreet Singh, Ketua Global Bahagian Kesihatan Kewangan dan Inovasi di UNCDF.

UNCDF, menerusi program i3, bekerjasama dengan rakan daripada sektor swasta dan awam untuk menambah baik kesihatan kewangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Malaysia. Program i3 dibiayai oleh MetLife Foundation.

PIDM, sebagai penginsurans deposit, menggalakkan literasi kewangan menerusi kesedaran tentang sistem perlindungannya. PIDM juga adalah ahli Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), suatu platform antara agensi yang terdiri daripada institusi dan agensi yang komited untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.  
 
Bagi maklumat lanjut mengenai  kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
 
Sarina Ariffin, Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwak Awam (Tel: 03-2173 7457; E-mel: sarina@pidm.gov.my)    
 
Masami Mustaza, Pengurus, Bahagian komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 016-3643406; E-mel: masami@pidm.gov.my)
 
MENGENAI PIDM
PIDM adalah badan berkanun yang menyediakan perlindungan, sehingga had yang ditetapkan, terhadap kerugian deposit dan manfaat insurans atau takaful sekiranya berlaku kegagalan sesebuah institusi ahli. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk beroperasi. Ia memiliki kaedah-kaedah di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana yang mungkin diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya bagi melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.
 
Bagi maklumat lanjut:   
MENGENAI UNCDF DAN FINANCIAL INNOVATION LAB
United Nations Capital Development Fund (UNCDF) membolehkan kewangan awam dan persendirian diakses oleh golongan kurang berkemampuan. Dengan mandat dan instrumen modalnya, UNCDF menawarkan model kewangan “last-mile” yang membuka ruang sumber awam dan persendirian, terutamanya pada peringkat dalam negeri, untuk digunakan bagi mengurangkan kemiskinan dan menyokong perkembangan ekonomi setempat.
 
Financial Innovation Lab (FinLab) melaksanakan cabaran inovasi bagi mencari dan menyokong penyelesaian yang membantu menambah baik kesihatan kewangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Malaysia dan China. Ia dibiayai oleh MetLife Foundation menerusi Program i3. Bagi maklumat lanjut mengenai FinLab, layari  https://www.uncdf.org/finlab atau e-mel kepada financial.health@uncdf.org.
 
MENGENAI PROGRAM INNOVATE, IMPLEMENT, IMPACT (i3)
Program i3 dilaksanakan di Bangladesh, China, Malaysia dan Vietnam untuk memanfaatkan teknologi digital dan melakukan penyelidikan menyeluruh mengenai keperluan, aspirasi dan tingkah laku golongan berpendapatan rendah dan sederhana (LMI) bagi membangunkan dan menyediakan perkhidmatan kewangan bagi pasaran secara besar-besaran. Golongan berpendapatan rendah dan sederhana ini mempunyai pilihan terhad yang boleh merangsang penggunaan perkhidmatan kewangan formal dan bergelut untuk menguruskan sumber terhad dan aliran tunai mereka. Program ini dibiayai oleh MetLifeFoundation dan dilaksanakan oleh MicroSave dan UNCDF.
 
MENGENAI METLIFE FOUNDATION
Di MetLife Foundation, kami komited untuk meluaskan peluang bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana di seluruh dunia. Kami bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan perusahaan sosial untuk mencipta penyelesaian kesihatan kewangan dan membina masyarakat yang lebih teguh, di samping melibatkan sukarelawan MetLife untuk membantu memacu impak. MetLife Foundation ditubuhkan pada 1976 untuk meneruskan tradisi sumbangan korporat dan pembabitan masyarakat. Sejak penubuhannya sehingga penghujung 2019, MetLife Foundation menyediakan geran bernilai lebih daripada $860 juta dan pelaburan berkaitan program yang berjumlah $85 juta untuk membawa impak positif kepada masyarakat di tempat Metlife beroperasi. Program kesihatan kewangan kami telah dimanfaatkan lebih 13.4 juta individu berpendapatan rendah dan sederhana di 42 negara. Bagi maklumat lanjut mengenai MetLife Foundation, layari metlife.org
Share to