Kempen PIDM #SediaPayungKewangan menarik perhatian lebih 200 ribu peserta

Atlet Olimpik menutup tirai dengan perkongsian rahsia membina daya tahan kewangan dengan pemikiran juara​

Kuala Lumpur, 1 November 2021: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah mengakhiri kempen #SediaPayungKewangan sempena Bulan Literasi Kewangan 2021 dengan sebuah acara yang menampilkan atlet Olimpik Malaysia Cheah Liek Hou dan Farah Ann Abdul Hadi. Dalam acara ini, mereka berkongsi bagaimana penetapan minda mereka sebagai jaguh negara boleh diaplikasikan dalam perjalanan ke arah membina daya tahan kewangan.
 
Farah Ann dan Liek Hou, wakil Malaysia ke temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, berinteraksi secara terbuka bersama para peminat dalam sesi sembang santai tersebut. Menurut mereka, keazaman dan tumpuan yang diberikan dalam bidang kesukanan juga boleh diterapkan dalam kehidupan harian, terutamanya dalam soal kewangan.
 
Liek Hou mendedahkan, “Sama seperti sukan badminton, pembelajaran dan latihan berterusan adalah penting dalam mencapai daya tahan kewangan. Dengan apa yang saya tahu sekarang tentang wang, ada beberapa keputusan kewangan yang mungkin akan saya lakukan secara berbeza. Bagi saya, perancangan kewangan semasa zaman bujang juga berbeza dengan apabila sudah berkeluarga.”
 
Ketika ditanya bagaimana dia mempelajari kemahiran pengurusan kewangan, gimnas artistik Farah Ann berkata, “Ibu bapa saya banyak mempengaruhi keputusan kewangan saya. Mereka sentiasa di sisi saya dan saya amat bertuah kerana dapat memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman mereka. Sesetengah orang mungkin berfikir saya masih muda dan masih mempunyai banyak peluang, tetapi membina daya tahan kewangan memerlukan masa. Oleh itu, mulalah sekarang.”

Aktiviti #SediaPayungKewangan PIDM telah menarik perhatian ramai rakyat Malaysia. Sejak bulan September, kira-kira 200,000 orang daripada semua lapisan masyarakat telah menggunakan kandungan khas yang dibangunkan untuk kempen tersebut termasuk webinar, artikel kewangan peribadi, video kempen dan kalkulator bajet.

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah menyatakan bahawa sebagai ahli Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network - FEN), PIDM telah mendekati rakyat Malaysia dengan panduan, aplikasi dan nasihat kewangan yang berguna melalui pelbagai saluran komunikasi.
 
“Dengan objektif untuk memperkasakan pengetahuan kewangan dalam kalangan generasi millennial, kami berharap kempen #SediaPayungKewangan ini dapat membantu mereka menjadi lebih bersedia untuk menghadapi perubahan atau peristiwa kehidupan yang ketara, dan bukan setakat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Membantu mereka membina daya tahan kewangan sekarang amat penting supaya masa hadapan mereka tidak terjejas apabila situasi di luar jangkaan berlaku,” kata Rafiz.
 
Dalam matlamatnya untuk melaksanakan perubahan jangka panjang dalam pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, PIDM aktif dalam mendidik orang ramai dengan pengetahuan kewangan yang mudah melalui pelbagai aktiviti, bermula dengan siri video Chief BerUang pada bulan Mei lalu. Chief BerUang adalah ikon pengurusan kewangan PIDM yang semakin popular di saluran media sosial. Sehingga 31 October 2021, tiga video Chief BerUang telah mencapai tontonan terkumpul sebanyak 3.89 juta.
 
Sejak bulan Ogos, PIDM juga telah menganjurkan empat webinar yang menampilkan tokoh masyarakat seperti Dr. Soo Wincci, Issey Fazlisham, Dahlia Shazwan, Awal Ashaari dan Razif Hashim. Mereka berkongsi perjalanan peribadi mereka bersama penonton dan membincangkan panduan praktikal dalam membina daya tahan kewangan.
 
Satu lagi aktiviti menarik kempen ini adalah Cabaran FinFit (FinancialFitness) PIDM – cabaran tabiat kewangan baik di mana peserta melengkapkan cabaran harian selama 21 hari untuk membantu mereka menerapkan tabiat pengurusan kewangan jangka panjang yang lebih baik. Seramai 800 orang telah menyertai Kumpulan Facebook Cabaran FinFit PIDM.
 
“Sokongan positif rakan sebaya merupakan dorongan terbaik dalam melakukan perubahan dan kami gembira melihat galakan dan semangat yang ditunjukkan oleh peserta kami dalam membantu satu sama lain untuk menjayakan Cabaran FinFit. Dengan perkongsian pengalaman dan panduan pengurusan kewangan yang praktikal, kami berharap rakyat Malaysia mendapat inspirasi untuk menghadapi masa depan kewangan mereka dengan berfikiran sebagai juara,” tambah Rafiz.

Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam​,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.
Share to