PIDM menaja lima ekor beruang matahari di Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo

Pilih beruang matahari Borneo sebagai ikon pengurusan kewangan

2021_BSBCC_Jelita_Photo_1_50.png2021_BSBCC_Kudat_Photo_2_1_50.png
Gambar dari Bornean Sun Bear Conservation Centre.

Kuala Lumpur, 19 Mei 2021: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) baru-baru ini mengambil lima ekor beruang matahari (tiga jantan dan dua betina) di Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC) sebagai haiwan angkat. Komitmen selama setahun ini adalah sempena menyokong Chief BerUang, ikon pengurusan kewangan PIDM.
 
Chief BerUang ditampilkan dalam siri video animasi yang dihasilkan oleh PIDM sebagai sebahagian daripada Kempen Ketahanan Kewangannya.
 
Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM berkata sokongan daripada PIDM akan membantu BSBCC meneruskan usaha pemuliharaannya dan meningkatkan kesedaran mengenai beruang matahari Borneo, salah satu daripada haiwan rentan Malaysia yang disenaraikan oleh IUCN (International Union for Conservation of Nature’s Red List of Threatened Species).
 
PIDM menyokong ketahanan sistem kewangan dengan memastikan konsumer kewangan Malaysia mempunyai akses kepada deposit bank mereka, dan manfaat insurans atau takaful mereka dalam keadaan tidak dijangka, iaitu apabila berlaku kegagalan atau kebankrapan sesebuah institusi ahli. Langkah mengambil beruang matahari sebagai ikon PIDM bertepatan dengan PIDM kerana beruang matahari ialah binatang asli Malaysia dan memerlukan sokongan ketika waktu yang sukar ini.
 
Dr. Wong Siew Te, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas BSBCC berterima kasih kepada PIDM atas sokongan dan usaha meningkatkan kesedaran mengenai beruang matahari. Pusat tersebut tidak dapat mengumpul dana daripada hasil jualan tiket dan cenderahati kerana ia terpaksa ditutup buat sementara waktu ini berikutan pandemik COVID-19. BSBCC menempatkan 43 ekor beruang matahari yang diselamatkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dari beberapa lokasi di Sabah.
 
“Kami juga turut teruja dengan Chief BerUang dan peranannya dalam menyokong pengurusan kewangan yang baik. Kami berharap Chief BerUang diberi peluang bekerjasama dengan rakan-rakan beruang mataharinya, bagi meningkatkan lagi kesedaran mengenai topik seperti kewangan peribadi, alam sekitar dan kelestarian,” kata Dr. Wong.
 
Chief BerUang merupakan program yang pertama daripada pelbagai program yang dirancang di bawah Kempen Ketahanan Kewangan 2021 PIDM. Dalam masa terdekat, orang ramai boleh menyertai webinar dan perbincangan panel secara maya mengenai pengurusan kewangan, cabaran simpanan 21 hari serta pelbagai aktiviti yang menawarkan hadiah menarik untuk dimenangi.  
 

Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam​,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.

Share to