Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network - FEN) baru-baru ini menganjurkan sebuah Perbincangan Panel Maya Komuniti Amalan (Community of Practice - COP) buat julung-julung kali dengan tujuan untuk melengkapkan ahli FEN dan komuniti pendidikan kewangan dengan pengetahuan mendalam untuk membangunkan strategi yang lebih efektif serta menyediakan pendidikan kewangan yang berkesan kepada rakyat Malaysia.
Acara ini mengetengahkan dua perbincangan panel: “Global Insights on Measurement and Evaluation of Financial Education and its Effectiveness” dan “Harnessing Research to Improve Malaysia’s Financial Literacy”. Ia dihadiri oleh penggubal dasar, penyelidik, ahli akademik, organisasi antarabangsa, dan pemegang kepentingan lain yang terlibat dalam usaha meningkatkan literasi kewangan di Malaysia
Dalam ucapan perasmian beliau, Puan Jessica Chew, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia menyenaraikan pencapaian ahli FEN dan kepentingan literasi kewangan, termasuk peristiwa yang penting. Beliau juga menegaskan semula keperluan kesedaran dan sokongan dalam pendidikan kewangan lebih-lebih lagi ketika waktu yang mencabar ini.
“Kita perlu melengkapkan dan memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran yang tepat supaya mereka dapat membuat keputusan kewangan yang bijak dengan penuh keyakinan untuk setiap fasa kehidupan. Oleh itu, dalam merumus pendekatan yang sesuai, kita perlu mengambil kira pengalaman kewangan yang berbeza, perubahan sikap masyarakat semasa serta perubahan risiko yang dihadapi oleh konsumer kewangan dalam landskap kewangan yang sentiasa berubah” kata beliau.
Dua laporan hasil daripada kajian tingkah laku rakyat Malaysia terhadap simpanan dan generasi milenial terhadap insurans hayat dan kesihatan juga dilancarkan semasa COP berlangsung. Kajian-kajian ini adalah hasil kerjasama antara Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan The Behavioural Insights Team (BIT) untuk membentuk kerjasama lain dalam bidang literasi kewangan pada masa hadapan.
Kajian mengenai simpanan mendapati ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk menghadapi kejutan kewangan dan hanya menyimpan apabila mereka mampu, dan bukan secara konsisten dan jumlah tetap. Kajian insurans pula mendapati bahawa apabila membuat keputusan tentang insurans, generasi milenial kurang berminat jika berhadapan dengan terlalu banyak pilihan yang rumit. Antara cadangan yang dikemukakan dalam kajian tersebut untuk menggalakkan rakyat Malaysia membuat keputusan kewangan yang baik termasuk penggunaan tetapan lalai (
default settings) dengan lebih bijak untuk menggalakkan tingkah laku positif, dan alat cara yang dapat membantu individu menetapkan matlamat kewangan dan membangunkan tabiat menyimpan secara tetap. Di samping itu, kajian tersebut mendapati bahawa memudahkan pilihan dan memodelkan tingkah laku kumpulan sebaya boleh mempengaruhi keputusan insurans generasi milenial secara positif.
Laporan-laporan ini boleh didapati di
www.pidm.gov.my/behaviouralstudies atau di laman web FEN di: www.fenetwork.my.
Peranan penyelidikan telah dikenal pasti sebagai komponen utama untuk membimbing dan meningkatkan agenda literasi kewangan. Sehubungan itu, sebuah Research Advisory Panel (RAP) yang dipengerusikan oleh PIDM, telah diwujudkan. RAP terdiri daripada pakar-pakar literasi kewangan untuk menyokong objektif penyelidikan dan pembangunan FEN. Usaha untuk membangunkan sebuah repositori digital untuk perkongsian hasil penyelidikan dalam bidang ini sedang dijalankan. Ini akan memudahkan lagi perbincangan mendalam tentang analisis dan pengetahuan dalam bidang literasi kewangan untuk meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan
kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sejak pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 - 2023 pada Julai 2019, ahli dan rakan kongsi FEN telah melancarkan lebih daripada 400 program dan inisiatif pendidikan dengan kerjasama Kerajaan, sektor swasta dan sektor pendidikan. Sehingga kini, program komuniti FEN telah memperoleh lebih daripada 47 juta interaksi daripada orang ramai.
DITERBITKAN OLEH PERBADANAN INSURANS DEPOSIT MALAYSIA BAGI PIHAK JARINGAN PENDIDIKAN KEWANGAN.
Tentang Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN)
Ditubuhkan pada 2016, FEN bertindak sebagai satu platform antara agensi yang terdiri daripada institusi dan agensi bagi menambahkan impak inisiatif pendidikan kewangan dan mengenal pasti peluang-peluang baharu untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini dapat dilaksanakan melalui lebih banyak usaha penjajaran, kerjasama erat dan lebih tumpuan terhadap penilaian impak. Anggotanya terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.
Tentang Research Advisory Panel (RAP)
Research Advisory Panel (RAP) bertanggungjawab ke atas fungsi "Penyelidikan dan Pembangunan" di bawah Pelan Strategik FEN 2021 - 2025. Dipengerusikan oleh PIDM, organisasi ahli pengasas RAP yang lain ialah Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Universiti Malaya, Khazanah Research Institute, Fi Life, RinggitPlus dan United Nations Capital Development Fund (UNCDF).
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.